.
‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ terbitan Kembara Studio pada 2022 membuat kejutan apabila berjaya menjadi filem Malaysia dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman setelah dengan kos kira-kira RM8 juta berjaya mengutip RM97 hanya dalam 40 hari tayangan.
Dalam kalangan penglibat industri filem tempatan ramai yang menjangka rekod itu sukar diatasi dalam satu tempoh yang panjang.
Filem ‘Sheriff: Narko Integriti’ keluaran 2024 yang bermodal RM6 juta memperoleh RM64 juta. Ia hanya mampu menduduki tempat kedua dalam kutipan filem Malaysia sepanjang zaman.
Namun tiada yang mustahil untuk memecahkan angka RM100 juta bagi pendapatan filem terbitan Malaysia dan mampu mendunia.

Ia boleh dilakukan jika ada perancangan rapi pihak produser dan pihak-pihak lain yang berkaitan. Ia membabitkan wang yang dikeluar dan dibantu dengan idea melibatkan jalan cerita, skrip, arahan, barisan pelakon berwibawa dan aspek teknikal serta bantuan promosi yang hebat dan terancang.
Kerjasama dengan Primeworks Studios membolehkan syarikat penerbitan TV dan radionya memberi publisiti padu untuk ‘Blood Brothers: Bara Naga’.
Kerana promosi yang padu ini membuat ramai berminat untuk menonton di pawagam walaupun selama ini ramai yang memandang rendah terhadap terbitan filem Melayu. Tetapi kini ramai yang memuji kualitinya setelah menonton.

Antara barisan pelakon ‘Blood Brothers: Bara Naga’
Filem ‘Blood Brothers: Bara Naga’ dilihat mampu bukan sahaja ‘boom’ atau meletup bagi tahun 2025, dan berkemampuan mengatasi filem ‘Sheriff: Narko Integriti’ dan boleh mengalahkan ‘Mat Kilau’ sebagai filem kutipan tertinggi Malaysia sepanjang zaman.
Empat hari pertama tayangan menjadi pertunjuk sama ada sesebuah filem yang ditayang akan meledak atau tersungkur. Dan ‘Blood Brothers: Bara Naga’ membuktikan ia mampu meledak di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Baharu empat hari tayangan pertama di 146 pawagam seluruh negara, ia berjaya memperolehi kutipan pecah panggung dengan mendapat kutipan RM21 juta.
Dengan momentum memberangsangkan, apabila mencapai hari ke-40 tayangan ‘Blood Brothers’ dengan bajet RM7 juta ini dijangka mencapai kutipan luar jangkaan.
Dengan bekerjasama dengan Primeworks Studios, ‘Blood Brothers diberi promosi dan publisiti ‘luar biasa’ melalui platform media sosial, siaran radio dan stesen TV milik syarikat media itu.

Filem aksi ‘Blood Brothers’ memiliki ciri filem bertaraf antarabangsa meliputi jalan cerita, arahan, lakonan dan aspek teknikalnya.
Filem aksi dan berunsur gengsterisme seperti ini disukai peminat antarabangsa bukan sahaja di Amerika, Eropah malah di rantau Asia.
‘Blood Brothers’ selain boleh ditayang di pawagam luar negara, tontonannya semakin mendunia apabila ditayang dalam platform pengstriman antarabangsa seperti Netflix. Filem seperti ‘Blood Brothers’ akan menerima bayaran mahal untuk hak siaran platform pengstriman.

