
MOHD. Firuz Jaffril (dua dari kanan) mengumumkan keputusan pemilihan MOM 2025-2029 sambil menyentuh mengenai lima undi rosak bagi calon Naib Presiden. - Kredit foto: FAM
LIMA undi rosak oleh segelintir perwakilan ahli biasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam pemilihan pucuk kepemimpinan penggal 2025-2029, mungkin menyumbang kepada kecundangnya Datuk Paduka Mumtaz Jaffar.
Bekas ratu pecut olahraga negara era 80-an itu kehilangan jawatan Naib Presiden MOM dalam persaingan tujuh penjuru sempena Perhimpunan Agung majlis ke-44 di sebuah hotel di ibu negara pada 19 April 2025.
Sekadar beroleh 52 undi, Mumtaz menduduki tempat keenam untuk mengisi lima kerusinya berbanding seorang lagi penyandang, Datuk Chong Kim Fatt yang meraih 56 undi, malah muka baharu, Azizul Annuar Adenan mencatat kutipan tertinggi, 81 undi.
Tiga perwakilan daripada setiap 34 ahli biasa MOM (persatuan sukan kebangsaan) turut memberikan mandat kepada tiga lagi pendatang baharu - Datuk Mohd. Sumali Reduan (80 undi), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli (65) dan bekas ratu renang 80-an negara, Nurul Huda Abdullah (62).
Turut tewas ialah Monteiro Gerard Clair yang juga Presiden Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) yang hanya memperoleh 49 undi.
Mumtaz menang tanpa bertanding Naib Presiden Wanita (kuota wajib) MOM pada pemilihan penggal 2015-2018 ekoran penarikan diri pencabarnya, Norcigi Norizan Ismail, malah mempertahan jawatan tersebut bagi dua penggal berturut-turut, 2018-2021 dan 2021-2025.

BARISAN baharu kepemimpinan MOM 2025-2029 selepas pemilihan sempena Perhimpunan Agung Ke-44 di Kuala Lumpur. - Kredit foto: FAM
Pegawai
Pemilihan Panel Bebas, Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril berkata, “undi dikira
sebagai rosak apabila ada perwakilan yang tidak menanda kelima-lima calon
yang dikehendaki bagi jawatan Naib Presiden MOM.
“Undi juga rosak jika mereka hanya menanda lebih atau kurang daripada lima calonnya,” katanya ketika mengumumkan keputusan pemilihan yang turut membabitkan dua lagi jawatan,
Timbalan Presiden dan Penolong Setiausaha Lelaki MOM, masing-masing
dimenangi Datuk Wira Nur Azmi Ahmad dan Ahmad Arif Astaman.
“Kami
(panel) telah mengingatkan anda (pengundi) bahawa pengundian hanya bagi tiga
calon atau empat calon Naib Presiden, akan dikira rosak. Jumlah undi yang sah
ialah 445 undi, manakala lima lagi, rosak,” katanya yang juga Hakim Mahkamah
Rayuan.
Beliau
dibantu oleh dua lagi anggota panel berkenaan iaitu Hakim Mahkamah Tinggi,
Datuk Anand Ponnudurai dan Ejen Cukai Lesen Kementerian Kewangan, Datuk Harjit
Singh Sidhu.
Nur Azmi
yang ‘naik pangkat’ daripada Naib Presiden MOM bagi penggal 2021-2025 lalu selain
menjadi Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), menewaskan Datuk Awalan
Abdul Aziz, Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (MLBF) 70 berbalas 20
undi.
Ahmad, Setiausaha Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pula mendapat 51 undi untuk memenangi persaingan sengit Penolong Setiausaha Agung MOM (Lelaki) dengan Presiden Persekutuan Snuker & Biliard Malaysia (MSBF), Melvin Chia See Oon yang mengumpul 39 undi.

NUR Azmi Ahmad (kanan) bersalaman dan berpelukan dengan Mohamad Norza Zakaria selepas diisytiharkan secara rasmi sebagai Timbalan Presiden dan Presiden MOM penggal 2025-2029 oleh Panel Bebas Pemilihan. - Kredit foto: FAM
Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pula disahkan kekal menerajui MOM selaku Presiden bagi penggal ketiga berturut-turut sejak 5 Mei 2018, manakala Datuk Mohd. Nasir Ali juga secara rasmi bergelar Setiausaha Agung yang baharu, menggantikan Datuk Nazifuddin Najib yang tidak mempertahannya.
Tiga lagi jawatan turut disahkan pemiliknya tanpa pertandingan iaitu Penolong Setiausaha Agung Wanita, Bendahari dan Penolong Bendahari MOM buat Moira Tan Siew See, Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin dan Datuk V. Subramaniam.
Ulasan Norza:
“Rata-rata
ahli biasa MOM pengundi ada pemikiran sendiri walaupun ada yang dikatakan calon-calon
pilihan utama. Mereka meletakkan calon yang boleh membantu membawa MOM ke
peringkat setinggi-tingginya.
“Agenda saya ialah Rumah Olimpik (di Bandar Sukan Bukit Jalil) yang akan siap antara 24 hingga 36 bulan dan kedua serta Sukan SEA Malaysia 2027.
"Saya juga mahu pentadbiran MOM lebih dimodenkan atau digitalisasi dengan membawa Nasir (sebagai Setiausaha Agung) dari dunia korporat selain pernah bergelar Ketua Kontinjen Sukan SEA Kemboja 2023. Dia juga sudah berada dalam MOM sekian lama dan memahami apa yang diperlukan kami.
“Saya gambarkan sebuah pasukan yang efektif dan efisien sebab saya tidak ingin penumpang kerana kalau harapkan Presiden dan Timbalan, kami tidak akan jadi unit yang besar yang memerlukan gabungan semua latar belakang.”

MUMTAZ Jaffar (kanan) yang tewas dalam persaingan Naib Presiden bersama-sama Tan Sri Hamidin Amin dan Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib (dua dan empat dari kanan) yang tidak mempertahan jawatan Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung dari penggal 2021-2025. - Kredit foto: FAM
Ulasan Azmi:
“Terima kasih kepada perwakilan persatuan sukan kebangsaan (PSK) yang datang mengundi saya, mungkin mereka sudah nampak niat dan hasrat kenapa saya bertanding Timbalan Presiden.
“Kepada
Awalan, anda tidak kalah lagi, saya percaya kami boleh bekerjasama, ini adat
pertandingan ada kalah dan menang. Mungkin apa yang saya buat kepada karate
dengan program pembangunan lima tahun negara untuk bawah 14 hingga 16 tahun, menampakkan
usaha yang saya akan agihkan kepada PSK lain.
“Saya boleh
bekerja dengan Presiden dan saya tahu di mana saya berdiri. Kami akan bekerja
sepasukan, kalau menang dan kalah, kami sama-sama. Saya kena bantu Presiden dan
turun bekerjasama dengan semua Naib Presiden dan pasukan baharu ini termasuk
PSK. Tugasnya menyelesaikan masalah.
“Saya percaya mampu melakukannya. Bukan kemenangan mudah (70-20 undi). Kelebihan saya mungkin sebagai Naib Presiden lalu dan Ketua Kontinjen Sukan SEA Vietnam 2022 yang menyelesaikan masalah selepas Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan bagaimana saya mencari dan mengatasi sasaran pingat emas negara.” - KitaReporters

AZIZUL Annuar Adenan, 34, - Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjong Datu, Sarawak yang meraih undi tertinggi (dua dari kiri) bersama-sama Mohd. Nasir Ali, Mohamad Norza Zakaria, Nur Azmi Ahmad, Mohd. Sumali Reduan dan Mohamad Iruan Zulkefli serta Nurul Huda Abdullah (kiri). - Kredit foto: FAM
PUCUK KEPEMIMPINAN MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA (MOM) 2025-2029
Presiden:
Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Timbalan
Presiden: Datuk Wira Nur Azmi Ahmad (karate)
Naib
Presiden: Azizul Annuar Adenan (taekwondo), Datuk Mohd. Sumali Reduan (sepak
takraw), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli (tinju), Nurul Huda Abdullah (renang),
Datuk Chong Kim Fatt (wusyu)
Setiausaha
Agung: Datuk Mohd. Nasir Ali (angkat berat)
Penolong Setiausaha Agung Lelaki dan Wanita: Ahmad Arif Astaman (berbasikal) & Moira Tan Siew See
Bendahari:
Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin
Penolong Bendahari: Datuk V. Subramaniam (badminton)

BARISAN baharu kepemimpinan MOM penggal 2025-2029 berlatarbelakangkan gambar masing-masing selaku pemenang pemilihan termasuk secara tanpa bertanding. - Kredit foto: FAM