
FAISAL Halim meraikan jaringannya ketika Selangor FC menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Bandaraya Petaling Jaya. - Kredit foto Selangor FC.
TIGA gol jaringan Faisal Halim untuk membantu Selangor FC membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 7-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu, 8 Mac, 2025 mungkin dianggap biasa jika diledak sebelum tragedi simbah asid menimpanya. Tetapi, apa dilakukan pada malam itu memberi makna yang sangat besar.
Bagi bekas pemain Selangor, Razman Roslan berkata, jaringan hatrik itu memberi pelbagai justifikasi terhadap karier Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey, selepas apa yang dilaluinya sejak Mei 2024 lalu.
“Jaringan itu walaupun sekadar ke atas pasukan lemah seperti Kelantan tapi tetap berharga kepada Mickey. Ia sudah pasti menjadi suntikan semangat kepadanya dalam usaha mengembalikan prestasi.

RAZMAN ROSLAN
“Hatrik itu juga membuktikan Mickey belum hilang sentuhan gol walaupun lama berehat. Bukan mudah untuk seorang pemain yang berdepan situasi dihadapi Mickey untuk bangkit.
“Dia bukan saja menghadapi kecederaan fizikal tapi
juga emosi akibat perbuatan jenayah ke atasnya. Saya menjangkakan Mickey perlu
mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk kembali ke padang tapi dia
hanya berehat tiga bulan.
“Pada saya itu luar biasa!,” kata Razman. “Tenyata semangatnya sangat kuat,” tambahnya.
Tiga gol yang dihasilkannya ke atas KDN FC itu menamatkan kemarau gol Faisal selama 447 hari, sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Kali terakhir dia menjaringkan gol adalah ketika Selangor mengalahkan PDRM FC 3-1 pada 17 Disember, 2023.
Kemenangan besar ke atas KDN FC itu juga mengesahkan kedudukan Selangor sebagai naib juara Liga Super 20224/2025 yang melayakkan mereka bertanding Liga Juara-Juara Asia 2 pada musim depan.

FAISAL dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada pertembungan Selangor FC menentang Kelantan Darul Naim FC.
Menurut Razman walaupun pemain kelahiran Pulau Pinang itu belum mendapat 100 peratus tahap prestasinya namun dia menunjukkan perkembangan sangat positif.
“Sekarang, mungkin prestasinya hanya mencapai 75 peratus tapi saya yakin jika dia terus berusaha keras serta mendapat lebih banyak minit permainan, Mickey akan kembali ke tahap sebenarnya.
“Dalam hal ini, saya memuji jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi kerana bijak memilih perlawanan untuk menurunkan Mickey. Perlawanan menentang Kelantan memang sesuai untuk pemain itu memulihkan prestasi.
“Dan apabila dapat pula menjaringkan tiga gol, sudah pasti ia menjadi satu bentuk motivasi kepada Mickey. Inilah yang mahu kita lihat,” katanya lagi.
Mengenai kedudukan Fisal dalam pasukan kebangsaan yang bakal menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia, Razman berkata ia terserah kepada jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
“Apa yang penting sekarang adalah Mickey terus meningkatkan permainan, selebihnya biarlah jurulatih yang menilai. Dia mungkin akan terlepas beberapa perlawanan awal kelayakan tapi tidak perlu terburu-buru kerana yang penting pastikan dia benar-benar bersedia untuk kembali,” ujar Razman.

FAISAL menghadiahkan bola perlawanan kepada anaknya, Khalish Aryan. - Kredit foto IG Instagram faisalhalim.
Sementara itu, selain mendedikasi jaringannya kepada penyokong Selangor, Faisal juga menghadiahkan bola perlawanan kepada anaknya Khalish Aryan sebagai menghargai sokongannya.
Melalui perkongsiannya menerusi IG Instagram miliknya, Faisal berkata Khalish yang dipanggil ‘Abang’ sering bertanya bilakah dia akan kembali bermain selepas lama berehat akibat serangan asid, soalan yang sukar untuk diberikan jawapan.
"Alhamdulillah, ini rezeki abang (Khalish). Abang selalu tanya daddy bila nak main, daddy tak tahu nak jawab macam mana dekat abang, ini (bola) untuk abang," kata Faisal di IG Instagram miliknya.
Dalam pada itu, isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril turut berkongsi kegembiraan dengan kejayaan Faisal menjaringkan tiga gol.
"Alhamdulillah daddy, selepas jatuh bangun, tersenyum dan menangis, Allah sentiasa ada dengan kita. Awak layak dapat (jaringan gol). Usaha tak pernah mengkhianati hasil. Saya bangga dengan awak. Teruskan usaha daddy," katanya. - KitaReporters

SELANGOR FC membelasah Kelantan Darul Naim FC 7-0 sekaligus menobatkan mereka sebagai naib juara Liga Super dan layak ke Liga Juara-Juara Asia musim depan. Kredit foto Selangor FC.