Seni & Sukan 30 Jun, 2025

Video| Rindu terubat! Ex-Treble Kelantan tewaskan Ex-Double Treble Kedah! Klon Pan-gon curi tumpuan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

.


GELAGAT klon Kim Pan-gon menghiburkan penonton.


GELAGAT seorang lelaki persis jurulatih yang kelihatan begitu sibuk memberi arahan kepada pemain ketika aksi bola sepak antara Ex-Treble Kelantan menentang Ex-Double Treble Kedah menarik perhatian penonton yang hadir di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bahru pada Jumaat, 27 Jun, 2025.

Watak yang ditampilkan oleh personaliti itu segera mengingatkan kita kepada bekas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon kerana gelagat dan aksi lelaki berkenaan saling tak tumpah seperti jurulatih dari Korea itu.

Tidak hairan jika lelaki itu dianggap sebagai jelmaan atau klon Pan-gon yang sememangnya tidak betah duduk diam sepanjang perlawanan membabitkan Harimau Malaya. Walaupun sudah meninggalkan pasukan negara, namun namun perwatakannya tetap diingat oleh peminat.

Apa yang pasti, penonton sangat terhibur dengan gelagat pelakon, Kamarool Yusof yang berperwatakan seolah-olah sebagai  jurulatih sehingga ia menggamatkan stadium.


KAMAROOL bertindak sebagai jurulatih memberi arahan kepada Ghaddar.


Malah, rakaman gelagat Kamarool itu kini menjadi trending menerusi pelbagai medium media sosial dengan paparan menerusi TRW Treble 12 mendapat lebih 1 juta tontonan, 30,000 tanda suka, 2,000 perkongsian dan hampir 3000 komen.

Turut dikongsi adalah video Kamarool sedang menerangkan strategi pasukan di bilik persalinan sebelum Kelantan turun ke padang.

Kamarool, 67, merupakan pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Gila-Gila Remaja. Beliau sudah berlakon banyak filem dengan membawa pelbagai watak sama ada serius mahupun komedi.

Namun wataknya sebagai Cik Man menerusi filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid meninggalkan impak sehingga dirinya kini lebih dikenali dengan panggilan Cik Man.

Ternyata gelagat Kamarool pada malam itu menambahkan kehangatan suasana di stadium yang menyaksikan sambutan luar biasa peminat terhadap perlawanan berkenaan.



Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang sekian lama sepi ekoran kemerosostan bola sepak Kelantan selepas era The Red Warriors (TRW) tiba-tiba kembali bergegar.

Dianggarkan lebih 20,000 peminat hadir, bukan saja memenuhi setiap inci ruang stadium malah melimpah hingga ke luar satdium dan di atas trek.

Ia hanyalah perlawanan persahabatan antara pasukan Ex-Treble Kelantan menentang pasukan Ex-Double Treble Kedah tapi sambutan peminat seolah-olah ia satu perlawanan akhir sebuah piala berperstij.

Sebenarnya, sejak bola sepak Kelantan mengalami kemerosotan selepas era TRW, peminat sangat dahaga serta merindui suasana yang pernah mereka kecapi sebelum ini.


EX-TREBLE KELANTAN.


Kemunculan kelibat bintang-bintang yang pernah menjulang nama Kelantan seperti Badhri Radzi, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohamad, Daudsu Jamaludin dan Shakir Shaari jelas menjadi tarikan apatah lagi dengan kehadiran bekas pemain import pasukan itu, Mohamad Ghaddar.

Perlawanan itu mencetuskan kembali nostalgia peminat pada zaman kegemilangan Kelantan ketika era TRW yang mana pelbagai kejayaan dicipta terutama pada tahun 2012 apabila mereka menjuarai tiga piala semusim iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.


EX-DOUBLE TREBLE KEDAH.


Sementara itu, Kedah pula menurunkan pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen Zambri dan Khairul Helmi Johari.

Walaupun semua pemain yang beraksi tidak selincah dahulu namun kemahiran serta sentuhan mereka belum hilang malah masih mampu melakukan gerakan yang menarik.

Pada perlawanan itu, Kelantan mengalahkan Kedah 3-0 dengan dua jaringan dilakukan oleh Ghaddar, sementara satu gol lagi dijaringkan oleh Khairul Izzuan Rosli.

Sambutan penyokong ternyata membuktikan bola sepak Kelantan belum mati dan peminat memberi ‘signal’ yang jelas bahawa mereka bersedia menjadi pemain ke-12 dengan syarat pasukan Kelantan Rew Warriors (KRW) FC kembali menggegar. - KitaReporters


BERPULUH-PULUH ribu penonton hadir menyaksikan perlawanan pasukan bekas Treble Kelantan dan pasukan bekas Double Treble Kedah. 

 

12
13
0
11
0
You will be interested