
MELAKA FC muncul juara Liga A1 Semi Pro 2024-2025. - Kredit foto: Melaka FC
SELEPAS dua musim tersisih dari liga
utama bola sepak tempatan, Melaka FC akhirnya akan kembali ‘menggegau’ Liga
Super 2025-2026.
Mereka layak secara merit ke persaingan berprestij itu selepas menjuarai Liga A1 Semi Pro musim 2024-2025 serta memenuhi syarat dikenakan First Instance Body (FIB) untuk memperolehi lesen kebangsaan.
Berita gembira itu disambut oleh penyokong Sang Kancil dengan harapan skuad bimbingan K Devan dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negeri Hang Tuah itu sebagaimana pernah dikecap suatu ketika dahulu.

RAMLI JUNIT
Salah seorang penyokong yang teruja dengan perkembangan itu adalah Ramli Junit, bekas pemain Melaka dan skuad kebangsaan.
“Sebagai anak Melaka serta bekas pemain dan kini penyokong, sudah tentu saya gembira melihat negeri ini akan kembali beraksi pada Liga Super.
“Saya nampak kesungguhan mereka sepanjang beraksi pada Liga A1 musim lalu (2024-2025). Ternyata usaha keras pengurusan, kejurulatihan dan pemain berbaloi apabila layak ke Liga Super,” katanya.

PENYOKONG kembali memenuhi stadium untuk memberi sokongan kepada Melaka FC. - Kredit foto: Melaka FC
Ramli, salah seorang anggota skuad bola sepak negara yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1980 berharap Melaka tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh kali ini dengan memastikan pasukan itu bukan sekadar melengkapkan kuota.
Malah, beliau berkata, Melaka perlu bercita-cita tinggi dengan meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima pasukan teratas dengan memberi saingan sengit kepada pasukan seperti Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC dan Kuching City FC.
“Dengan ketiadaan tiga pasukan utama iaitu Pahang (Sri Pahang FC), Kedah FC dan Perak FC, Melaka perlu mengambil kesempatan itu untuk menjadi salah satu pencabar utama.
“Untuk itu, Melaka perlu memantapkan lagi pasukan dengan membawa masuk lebih ramai bintang tempatan serta pemain import yang berkualiti kerana saingan Liga Super adalah berbeza dengan Liga A1,” ujar Ramli.

JURULATIH, K Devan (tengah) bersama pegawai pasukan dan pemain meraikan kejayaan Melaka FC menjuarai Liga A1 Semi Pro. - Kredit foto: Melaka FC
Malah, beliau mengingatkan agar episod tunggakan gaji yang berlaku ke atas pasukan Melaka sebelum ini serta beberapa pasukan sejak beberapa musim lalu tidak berulang.
“Pasukan ini sudah berada pada landasan yang betul. Tapi, jika tidak diurus dengan cekap, cerita lama akan kembali berlaku dan sudah pasti akan menjejaskan prestasi pasukan.
“Melaka pernah lalui situasi ini sehingga ada pemain memboikot latihan dan perlawanan kerana tidak dibayar gaji. Harap ia tidak akan berulang.
“Dulu, bila pemain Melaka tak dibayar gaji, sayapun terkena tempiasnya bila kawan-kawan menelefon serta menyoal saya mengapa ia berlaku sedangkan saya tidak terbabit dengan pasukan dan tak tahu apa-apa," kata Ramli.

NUR AZMI dijulang oleh pemain selepas Melaka FC muncul juara Liga A1 Semi Pro 2024-2025. - Kredit foto: Melaka FC
Ramli menaruh harapan tinggi terhadap kepemimpinan Datuk Nur Azmi Ahmad selaku Presiden Melaka FC kerana amat mengenali sosok itu sejak zaman muda lagi.
“Datuk Azmi seorang pemimpin yang sangat komited dan berpengalaman. Selain Presiden Melaka FC beliau memegang beberapa jawatan penting dalam badan sukan kebangsaan.
“Saya sangat berharap beliau dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Melaka ,” katanya.
Untuk rekod, selain selaku Presiden Melaka FC, Nur Azmi adalah Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Presiden Persekutuan Karate Malaysia. - KitaReporters