SESUDAH terpinggir hampir setahun lamanya, Faisal Halim mendapat panggilan pertiwi semula bagi berdepan Nepal dalam Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 yang pasti turut dirindui jutaan penyokong negara. - Kredit foto: FAM
MANA Revolusi Harimau Malayanya kalau yang dipanggil hanyalah Natxo Insa, perantara Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang berusia 39 tahun!
Tidak nampak definisi revolusi mendadak yang dicanangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 16 Disember 2024 lalu dalam Harimau Malaya kali ini apabila tiada wajah baharu kalangan yang berdarah warisan mahupun naturalisasi.
Namun ketua jurulatih baharu negara, Peter Cklamovski menegaskan: "“Proses untuk memuktamadkan pemain warisan kini pada fasa akhir. Berita positif akan dapat kita dengar pada minggu depan berkenaan dengan beberapa pemain warisan.
“Pemain-pemain warisan baharu ini sedang pada peringkat dokumentasi terakhir untuk mendapat kelulusan kerajaan. Proses itu bakal dibuat setibanya nanti pemain berkenaan di tanah air," kata warga Australia ini, dipetik daripada laman sosial FAM, pada 13 Mac 2025.
PETER Cklamovski (kanan) tiba dengan reputasi penolong jurulatih Australia juara Piala Asia 2015 dan pengalaman kelab Liga J Jepun manakala di sebelahnya, Robert Friend pernah menjadi penyerang beberapa kelab Jerman dan kebangsaan Kanada. - Kredit foto: FAM
Senarai 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 27 Mac 2025 ini juga seperti indah khabar daripada rupa semata-mata.
Senarai yang dikeluarkan 13 Mac 2025 ini masih ‘mengitar semula’ Mohamadou Sumareh dan Romel Morales selaku naturalisasi dari JDT, Paulo Josue (Kuala Lumpur City FC) dan Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City FC).
Natxo, kelahiran Sepanyol sudah dianggap pemain warisan kerana pertalian darah neneknya dengan Sabah, kali akhir menyarung belang Harimau Malaya ialah ketika ditewaskan Bahrain 1-0 dalam saingan Kumpulan E Piala Asia di Doha, Qatar pada 20 Januari 2024 lalu.
Ketika tersenarai pada 6 November 2024 lalu, dia menarik diri atas alasan kecederaan menerusi laporan perubatan sahaja tanpa hadir melapor diri pun ke Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor bersama-sama rakan penyerang JDT, Romel.
Anak jati yang turut kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan setelah tercicir agak lama ialah Shahrul Saad, Afiq Fazail, Nazmi Faiz Mansor, Quentin Cheng dan yang menariknya ialah Faisal Halim sejak diserang simbahan asid pada 5 Mei 2024.
Kali akhir sayap kiri Selangor FC yang digelar ‘Mickey’ mewakili negara ialah ketika dikalahkan Oman 2-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Kumpulan D pusingan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Mac 2024 lalu.
Muka baharu panggilan Harimau Malaya kali ini ialah benteng Selangor FC, Ahmad Zikri Khalili yang sebelum ini kerap membarisi kesebelasan Bawah 23 Tahun negara.
AKSI Natxo Insa (24) ketika berdepan Bahrain dalam Piala Asia 2024 di Doha yang mengundang kritikan ramai peminat. - Kredit foto: FAM
Cita rasa Cklamovski mahupun Friend (Kanada) ini sebenarnya tidaklah begitu berbeza pun dengan mereka yang kerap menambat hati pengendali terdahulu, Kim Pan-gon (Korea Selatan) dan Pau Marti Vicente (Sepanyol).
Bukanlah mengejutkan apabila hanya sembilan daripada 26 pemain Harimau Malaya yang gagal ke separuh akhir Kejohanan ASEAN pada 20 Disember 2024 lalu yang dikekalkan oleh Peter untuk melapor diri ke Johor Bahru mulai 17 Mac 2025 ini.
Majoriti pemain pasukan ketika itu hanyalah pilihan kedua dan diperoleh Pau gara-gara gagal mendapat pelepasan kelab-kelab Liga Malaysia terutama JDT FC, Selangor FC dan Terengganu FC yang turut berdepan jadual padat Liga Super, Piala Malaysia dan Liga Juara AFC (ACL).
Tangan Pau seperti terikat apatah lagi kejohanan itu bukan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak mewajibkan arahan pelepasan itu malah ada kelab yang boleh ‘meminjam’ pemain tertentu dari kem negara untuk aksi tempatan mereka.
SEORANG lagi pemain naturalisasi kelahiran Argentina, Sergio Aguero (10) tidak tersenarai dalam panggilan Harimau Malaya ke kem latihan pusat menjelang menentang Nepal di Iskandar Puteri, Johor. - Kredit foto: FAM
Harimau Malaya berpindah ke kandang Harimau Selatan dari Bukit Jalil bagi berdepan Nepal gara-gara kerja-kerja penyelenggaraan di Stadium Dasharath, Kathmandu - venue tuan rumah asal yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Tim Peter kini menghuni ranking ke-132 dunia berbanding Nepal yang digelar ‘Si Gurkha’ (Gorkhalis), ke-175, manakala dua lagi rintangan Malaysia dalam Kumpulan F ini ialah juara Kejohanan ASEAN 2024-2025, Vietnam (ke-114) dan Laos (ke-186). - KitaReporters
DOMINIC Tan (6) dan Darren Lok (9) antara dua tonggak Kejohanan ASEAN 2024-2025 yang tidak dipanggil Peter Cklamovski bagi berdepan Nepal, 25 Mac 2025 ini. - Kredit foto: FAM
HARIMAU MALAYA
Penjaga gol: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Selangor FC), Haziq Nadzli (Perak FC).
Benteng: Shahrul Saad, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim FC), Quentin Cheng, Ahmad Zikri Khalili, Harith Haiqal Adam Afkar, (Selangor FC), Safwan Mazlan (Terengganu FC), Daniel Sang Ting (Sabah FC), Dion Cools (Buriram United FC, Thailand).
Perantara: Natxo Insa, Afiq Fazail, Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta’zim FC), Nooa Hamzah Laine (Selangor FC), Stuart Wilkin (Sabah FC), Syamer Kutty Abba (Penang FC), Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City FC, Vietnam).
Sayap: Arif Aiman Hanapi, Mohamadou Sumareh (Johor Darul Ta’zim FC), Faisal Halim (Selangor FC), Safawi Rasid, Akhyar Rashid (Terengganu FC).
Penyerang: Romel Morales (Johor Darul Ta’zim FC), Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC).
PERTEMBUNGAN Harimau Malaya (jersi hitam, Stuart Wilkin) dengan Nepal dalam perlawanan tidak rasmi di Stadium UiTM, Shah Alam yang dimenangi tuan rumah 5-1. - Kredit foto: FAM
BARISAN JURULATIH DAN PENGURUSAN PASUKAN MALAYSIA
Ketua jurulatih: Peter Cklamovski (Australia)
Penolong jurulatih: Mark Milligan (Australia)
Ketua Pegawai Eksekutif: Robert Friend (Kanada)
Pengarah Prestasi Tinggi: Dr. Craig Duncan (Australia)
CRAIG Duncan (belakang, kanan) dan Mark Milligan (kanan) dalam sidang media pengumuman senarai terbaharu Harimau Malaya di Wisma FAM, 13 Mac 2025. - Kredit foto: FAM