Seni & Sukan 15 May, 2025

Pernah hadapi tekanan mental! Murung, panik! Putus asa, hampir bersara! Kisah Farah Ain bukan enteng!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

NOR Farah Ain Abdullah dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan 2024. - Kredit foto: MSN


KEJAYAAN tidak datang menggolek!

Dalam mengejar impian, tidak ada istilah ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’ kerana setiap kejayaan bukan dicapai dengan mudah sebaliknya menuntut usaha, komitmen dan kesungguhan yang tidak berbelah-bahagi.

Inilah inti pati ceritanya di sebalik kejayaan jaguh boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2024 pada Selasa, 13 Mei, 2025.

Farah Ain menerima anugerah itu ekoran kejayaannya meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April, 2024.

Malah, atlet berusia 24 tahun berkenaan, menduduki ranking nombor satu wanita dunia dalam World Bowls Series (WBS), mengatasi pencabarnya, Julie Forest (Scotland) dan Kelsey Cottrell (Australia).


FARAH Ain melakar sejarah apabila menjuarai acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024.


Namun, di sebalik senyuman yang terukir pada bibirnya semasa menjulang anugerah Olahragawati Kebangsaan itu, tidak ramai tahu betapa sukar perjalanannya sebelum sampai ke puncak.

Pada satu ketika, tekanan dalam mengejar kejayaan menyebabkan Farah Ain mengalami masalah mental apabila menghidap serangan panik dan kemurungan sehingga terpaksa mengambil ubat untuk menanganinya.

“Bermain boling padang sangat sukar sambil gemuruh berfikir bagaimana mahu menang. Tekanan itu akan datang bersama simptom gementar, mata berair dan dada sakit,” dedah Farah Ain kepada Astro Arena.

Bagi pakar psikologi sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rebecca Wong, apa yang dialami Farah Ain itu perlu diberi perhatian serta bantuan terutama oleh Institut Sains Sukan Negara (ISN).

Pandangan pakar seperti Dr Rebecca itu sudah tentu menunjukkan masalah kesihatan mental dialami Farah Ain bukan perkara kecil yang boleh dipandang enteng.


FARAH Ain bercita-cita beraksi pada Sukan Komanwel 2026.


Apatah kini tekanan dihadapi Farah Ain sudah pasti berganda terutama dalam mempertahan kedudukannya sebagai jaguh dunia di samping memenuhi impiannya untuk bertanding di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

Jika masalah tidak ditangani dengan cermat, kita bimbang, Malaysia akan kehilangan sebutir bintang yang sedang bersinar dan sepatutnta terus digilap.

Selain itu, kecederaan yang membelenggu dirinya juga sudah pasti merupakan satu lagi rintangan yang perlu diatasi.

Ketika ini Farah Ain sedang berehat susulan kecederaan bahu kanan, berharap dapat kembali beraksi pada Hong Kong International Bowls Classic, pada November 2025.

Malah, liku-liku dilaluinya sebelum kejayaan itu hampir membawa kepada keputusan Farah untuk bersara awal.

Ia berlaku selepas beberapa siri kegagalan dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) yang menyebabkan Farah berputus asa sehingga membulatkan tekad untuk berhenti daripada sukan itu.


SELEPAS menghadapi pelbagai cabaran, Farah Ain akhirnya meraih kejayaan.


"Memang saya tak pernah jangkakan untuk berada pada tahap sekarang sebab kalau nak ikutkan cerita, selepas Sukma 2022, memang saya sudah berputus asa untuk main sukan ini.

"Tetapi disebabkan jurulatih saya ketika itu (Ariffin Abdul Ghani) paksa untuk teruskan, saya pun teruskan.

"Matlamat utama adalah dapatkan hadiah pingat kepadanya dan alhamdulillah, saya dapat kalungkan pingat (di Kejohanan Kebangsaan) yang bernilai kepadanya.

"Sejak itu saya mula mewakili Malaysia dan dapat bawa balik pingat untuk jurulatih. Sebab sebelum ini, setiap kali Sukma, saya tak dapat beri hadiah kemenangan pingat kepadanya," kata Farah kepada Harian Metro.

Kini, segala kerja keras serta pengorbanan Farah Ain mula membuahkan hasil, Namun, dia sedar, tidak boleh leka dibuai kejayaan lalu kerana cabaran yang menanti di depan lebih hebat.

Untuk rekod, Farah Ain merupakan atlet boling padang pertama memenangi anugerah Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN). Tahniah! -KitaReporters

10
12
0
12
0
You will be interested