Seni & Sukan 24 Jul, 2025

Singapura, Palestin bertandang KL! Ganti saingan Piala CAFA! Dapatkah tonggak warisan Harimau kita?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: [email protected]

Share this

 


BUKAN Pestabola Merdeka yang mahu dikembalikan sebaliknya hanya dua perlawanan antarabangsa tahap 1 di Kuala Lumpur sebagai galang gantinya pada 4 dan 8 September 2025 ini.

Ura-ura melangsungkan kejohanan jemputan bersejarah yang meraikan kemerdekaan negara itu timbul semula, baru-baru ini setelah penarikan diri Harimau Malaya daripada Piala Negara-negara CAFA di Tajikistan dan Uzbekistan diumumkan pada 16 Julai 2025 lalu.

Laman sosial Malaysia NT dan Persatuan Bola Sepak Malaysia pada 23 Julai 2025 memaklumkan kedua-dua perlawanan berkenaan dengan memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend.    



“Kami amat berbesar hati kerana berjaya mengatur dua perlawanan berkualiti. Ini merupakan peluang luar biasa untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri di Kuala Lumpur. 

“Singapura membawa cabaran serantau yang berdaya saing dan penuh sejarah.

“Palestin pula merupakan lawan taktikal yang berbeza dan berada antara 100 terbaik dalam ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” kata bekas penyerang Kanada ini.



Kedua-dua perlawanan ini jelasnya, turut akan menjadi medan penting untuk menambah pengalaman serta memperkukuh kualiti Harimau Malaya.

Menentang jiran Tambak Johor - Singapura dan Palestin dari Asia Barat juga dijadualkan dalam kalendar FIFA, justeru tiada masalah buat FAM dan Harimau Malaya memanggil lebih 20 pemain terbaiknya daripada Liga Super mahupun liga-liga luar negara ke kem latihan pusat.   

Siri perlawanan ini juga menjadi pemanas badan sebelum Harimau Malaya menyambung kempen Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F menentang Laos di Vientiane dan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 dan 14 Oktober 2025 nanti. 

Malaysia memimpin kumpulan ini selepas dua perlawanan dengan menewaskan Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0 pada 25 Mac dan 10 Jun di Iskandar Puteri, Johor dan Bukit Jalil. 


ROBERT Friend (kiri) dan Peter Cklamovski yang sudah mengumpul dua kemenangan dan satu seri sejak 25 Mac hingga 10 Jun 2025 lalu termasuk 1-1 dengan Cape Verde. - Kredit foto: FAM


Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski ketika penarikan diri daripada Piala Negara-negara CAFA pada 29 Ogos hingga 8 September 2025 ini, memberikan alasan: “Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jadual perlawanannya.”

Warga Australia ini merujuk khusus kepada sebilangan pemain warisan Harimau Malaya yang beraksi dalam liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun.

Mengulas Piala Negara-negara CAFA yang Malaysia mulanya diundi dengan Iran, Tajikistan dan Afghanistan dalam Kumpulan B, Friend menambah, “keputusan  menarik diri dibuat secara terperinci dan berpandukan pertimbangan strategik.

“Kami turut bekerjasama rapat dengan CAFA bagi membantu mengenal pasti pengganti yang sesuai.

“Kami percaya adalah penting untuk bertindak secara profesional dan berintegriti demi memelihara hubungan baik dalam komuniti bola sepak antarabangsa,” katanya.


PERANTARA Harimau Malaya, Stuart Wilkin (kiri) ketika menghadapi Singapura dalam Kejohanan ASEAN 2024 di Bukit Jalil yang berkesudahan seri 0-0 dan gagal ke separuh akhir. - Kredit foto: FAM


Kali akhir menentang Singapura menyaksikan Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente (Sepanyol) terikat 0-0 dalam saingan Kumpulan A Kejohanan ASEAN pada 20 Disember 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Skuad negara bimbingan sementara Datuk Ong Kim Swee pula dibelasah Palestin 6-0 di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan pada 12 November 2015 dalam Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 Kumpulan A. 

Malaysia kini menghuni ranking ke-125 dunia manakala Singapura, ke-159 dan Palestin, ke-98. - KitaReporters


DAPATKAH Harimau Malaya beroleh khidmat Jon Irazabal, Dion Cools dan Facundo Garces (belakang, empat, tiga dan dua dari kanan) serta Rodrigo Holgado (depan, dua dari kanan) yang berpangkalan di luar negara apabila berdepan Singapura dan Palestin? - Kredit foto: FAM  

16
9
0
13
0
You will be interested