Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjemput Mesut Ozil ke Malaysia, khususnya bagi berkongsi pengalaman berkaitan bola sepak, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan anak muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat.

"Saya selaku penyokong Manchester United berkesempatan menerima kunjungan bekas bintang Arsenal, Mesut Ozil, di Istanbul.
"Beliau kini terlibat secara aktif dalam AK Party Republik Turkiye di samping terus komited dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan," jelas beliau dalam hantaran Facebooknya pada 8 Januari 2026.
Mesut Ozil adalah seorang bekas pemain bola sepak profesional Jerman yang terkenal sebagai salah seorang pemain tengah menyerang terbaik bagi generasinya.
Beliau sering digelar sebagai "Raja Assist" kerana kehebatannya dalam mencipta peluang gol untuk rakan sepasukan.
Kerana itu, Ozil merupakan watak penting yang membantu pasukan kebangsaan Jerman memenangi Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil.
Selain itu, beliau beraksi dengan Real Madrid (2010–2013) dan memenangi satu gelaran La Liga dan satu Copa del Rey.
Kemudian beliau bersama Arsenal (2013–2021) dan memenangi empat trofi Piala FA dan menjadi pemain paling pantas mencapai 50 assist dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Beliau memulakan karier bola depan dengan Schalke 04 dan Werder Bremen, serta menamatkan kerjayanya di Turkiye bersama Fenerbahçe dan İstanbul Basaksehir.

Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, beliau sempat berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan dengan beliau mengenai pelbagai perkara, termasuk melibatkan kepentingan umat Islam dan situasi kemanusiaan di Gaza.
"Sebagai selingan santai, perbualan kami turut menyentuh kisah cucu saya yang merupakan penyokong tegar The Gunners, satu perkara yang mengundang senyuman beliau.
"Saya juga mengambil kesempatan menjemput beliau ke Malaysia, khususnya bagi berkongsi pengalaman terkait bola sepak, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan anak muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat," tegas Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media
