Seni & Sukan 07 Dec, 2025

Gamit memori! Odeon KL dinaik taraf! Hab acara serba guna! Barbarik artis pertama jadi pilihan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Bagi warga kota lama, nama Odeon KL seringkali menggamit memori manis tentang zaman kegemilangan sinema klasik. 

Sejak ditubuhkan pada tahun 1936, panggung wayang ini berdiri megah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, menjadi saksi bisu kepada evolusi perfileman dan hiburan di Malaysia, serta menjadi salah satu mercu tanda paling ikonik yang dikenali selama hampir satu abad. 


 


 

Pawagam Odeon KL yang telah dinaik taraf.


Setelah sekian lama sepi, Odeon KL kini melalui fasa transformasi besar untuk kembali bernafas, bukan lagi sebagai panggung wayang, tetapi sebagai pusat seni persembahan dan hab budaya berskala profesional.

Terletak di atas tanah milik UDA Holdings Berhad, usaha untuk menghidupkan semula warisan ini kini diterajui sepenuhnya oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd, di bawah bimbingan Pengarah Urusan, Mozylir Mokhtaruddin

Dengan pelaburan RM6 juta dan pelan pembangunan 10 tahun, Rockstation bertekad untuk memulihara nilai sejarah bangunan ini sebagai hab acara serba guna.

Walaupun memelihara nilai sejarah bangunan, kemudahan moden menjadi fokus utama penaiktarafan ini dengan kelengkapan sistem bunyi, akustik, dan kemudahan teknikal bertaraf profesional.



Mozylir Mokhtaruddin di hadapan Odeon KL yang bakal siap sepenuhnya pada Mei 2026.



Ia turut merangkumi dewan konsert, ruang bilik persalinan artis, ruang logistik yang teratur untuk keperluan produksi  termasuk aktiviti niaga dan komuniti serta penambahan kemudahan parkir kenderaan dengan sasaran penyelesaian penuh pada Mei 2026.

Rockstation yakin lokasi Odeon KL yang strategik di Jalan Tuanku Abdul Rahman, dengan akses mudah hanya 300 meter dari Stesen LRT Bandaraya dan 500 meter dari Stesen Monorel Medan Tuanku, akan menjadikannya destinasi yang ideal di pusat bandar.

Selain menjadikan Odeon KL destinasi tumpuan baharu dalam mengangkat martabat seni persembahan tempatan untuk kunjungan pengunjung tempatan dan antarabangsa, ia turut menjadi pemangkin peluang perniagaan baharu kepada usahawan Bumiputera serta menyumbang secara langsung kepada perkembangan ekonomi setempat, selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sempena pembukaan semula ini, kumpulan rock tanah air, Barbarik, yang dianggotai Jo Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol, telah dipilih sebagai artis pertama membuat persembahan di pentas Odeon KL yang dinaik taraf. 



Konsert istimewa bertajuk Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL, dijadual berlangsung pada 12 Disember 2025 ini.

Pemilihan Barbarik bukan sekadar berpaksikan reputasi mereka dalam dunia muzik 'keras', tetapi juga sebagai ujian sebenar terhadap sistem bunyi, akustik dan kelengkapan teknikal baharu Odeon KL. 

Kejayaan siri konsert Peluru Cokelat pada Jun 2025 lalu serta sokongan luar biasa komuniti Rejim Barbarik turut mengukuhkan keputusan penganjur.



Kumpulan Barbarik, artis pertama diberi penghormatan mengadakan konsert di Odeon KL.


Mozylir menyatakan pihaknya berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan band popular itu pada masa akan datang, selepas melihat aksi hebat mereka ketika membuat persembahan di Zepp KL. 

“Pihak penganjur tertarik untuk menjemput Barbarik sebagai artis pertama tampil membuat persembahan di Odeon KL selepas melihat aksi hebat mereka ketika membuat persembahan di Zepp KL.

“Selepas melihat sambutan peminat sehingga kesemua tiket habis terjual, kami berharap agar kolaborasi ini akan dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya. 

Yang pasti, sambutan terhadap konsert pembukaan ini juga cukup menggalakkan apabila semua tiket habis dijual, dengan kehadiran dijangka mencecah 2,500 orang peminat pada malam bersejarah itu kelak. - KitaReporters

10
7
0
10
0
You will be interested