
Langit bola sepak Malaysia jarang benar tenang. Kadang redup, kadang ribut.
Dalam beberapa minggu terakhir, awan mendung makin pekat dengan kemelut penggantungan tujuh pemain warisan seolah seluruh harapan menuju Kelayakan Piala Asia 2027 direntap begitu saja.
Namun di tengah gundah itu, datang satu berita yang menghidupkan semula bara dalam hati penyokong.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diumumkan sebagai calon Anugerah Pengiktirafan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi kategori Bola Sepak Akar Umbi (Kategori Perak).
Berita itu bukan sekadar pengiktirafan. Ia ibarat sinar kecil yang menembusi gelapnya langit bola sepak tempatan tanda bahawa usaha pada peringkat pembangunan masih belum sia-sia.

FAM akan bersaing dengan Persatuan Bola Sepak Guam (GFA) dan Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) untuk merebut Anugerah Pengiktirafan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi kategori Bola Sepak Akar Umbi (Kategori Perak) pada AFC Awards Riyadh 2025.
FAM, yang sejak beberapa tahun lalu memperkukuh program akar umbi dan sistem pembangunan belia, kini menuai hasil kerja keras bermula dari akademi daerah hingga kejohanan komuniti. Semua itu menjadi asas kepada pencalonan bersejarah ini.
Namun laluan untuk merangkul anugerah bukan mudah. FAM berdepan dua saingan mantap, iaitu Persatuan Bola Sepak Guam (GFA) dan Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).
Pemenang akan diumumkan pada AFC Awards (Anugerah AFC) 2025 yang bakal berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, pada 16 Oktober 2025. Malam itu bakal menentukan sama ada Malaysia mampu berdiri megah di pentas tertinggi Asia.

FA Malaysia (FAM) pernah memenangi anugerah Dream Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 bagi kategori pembangunan di rumah AFC pada tahun 2018.-Kredit foto : Business Times.
Menariknya, bukan FAM sahaja yang mengibarkan bendera Malaysia di sana. Nama Arif Aiman Hanapi, pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim, turut tercalon bagi anugerah AFC Player of The Year (Pemain Terbaik Tahun Ini AFC) 2025.
Arif bukan sekadar pemain lincah di padang. Dia merupakan simbol generasi baharu bola sepak Malaysia yang berani, fokus, dan tidak gentar dengan tekanan antarabangsa.
Bagi penyokong setia Harimau Malaya, Arif membawa harapan yang belum padam. Dalam setiap larian dan sepakan, ada semangat untuk membuktikan bahawa pemain tempatan masih boleh berdiri sama tinggi dengan bintang Asia lain.
Kehadiran nama Arif dan FAM di pentas AFC Awards bukan sekadar kebetulan sebaliknya hasil perjalanan panjang yang diwarnai peluh jurulatih akar umbi, pengorbanan pemain muda dan ketekunan para pegawai yang terus percaya pada masa depan bola sepak negara.

Tujuh pemain warisan Malaysia yang digantung FIFA daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bolasepak yang memberi kesan besar kepada skuad kebangsaan.-Kredit foto : Pecinta Bolasepak.
Jika kedua-duanya berjaya, Arif menggenggam gelaran pemain terbaik dan FAM menjulang anugerah akar umbi, Malaysia akan mencipta sejarah tersendiri. Dua kemenangan besar dalam satu malam, dua bukti bahawa bola sepak negara masih punya denyut.
Kejayaan itu kelak bukan sekadar memadam luka isu pemain warisan, tetapi juga meneguhkan keyakinan bahawa masa depan Harimau Malaya dibina oleh rakyat sendiri.
Dan andai sejarah itu benar-benar tercipta di Riyadh, seluruh dunia akan tahu bahawa bola sepak Malaysia belum rebah. Ia hanya menunggu masa untuk bangkit dengan taring yang lebih tajam.
Malam 16 Oktober 2025 nanti mungkin sekadar satu malam anugerah bagi sesetengah orang.
Tapi bagi Malaysia, ia lebih besar daripada itu, malam untuk menebus maruah, membuktikan nilai usaha dan menyalakan semula semangat bangsa terhadap sukan paling dicintai.
Kerana pada akhirnya, bola sepak bukan sekadar permainan. Ia cermin kepada harapan, kebanggaan, dan keyakinan bahawa meskipun digoncang ribut, Harimau Malaya akan tetap mengaum semula. - KitaReporters

Wisma FAM di Kelana Jaya yang menjadi pusat pentadbiran bolasepak negara. - Kredit foto : Instagram.