Seni & Sukan 27 Oct, 2025

Gila Hindustan| Pelakon wanita terbaik! Alia Bhatt tewaskan Kajol! Tapi Yami Gautam sepatut menang?

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

WALAU pun Kajol, 51, dianggap aktres sensasi Bollywood, dia tunduk kepada Alia Bhatt, 32, selaku Pelakon Wanita Terbaik di Bollywood berikutan kemenangan Alia pada Anugerah Filmfare 2025.


Alia Bhatt menang enam kali gelaran Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Filmfare, yang terbaharu pada majlis anugerah 11 Oktober 2025 di Ahmedabad, Gujarat, melalui filem 'Jigra'.


Alia Bhatt, 32, mencipta sejarah memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk kali keenam pada acara anugerah tersebut melalui filem ‘Jigra’ yang turut dibintangi Vedang Raina.

Anugerah Fimfare Edisi 2025 yang diadakan di EKA Arena, Ahmedabad, Gujarat pada 11 Oktober 2025, dihoskan oleh Shah Rukh Khan, Karan Johar dan Maniesh Paul.

Kemenangan Alia tahun ini (2025) juga rekod kejayaan kali ketiga berturut-turut dicapai sebagai Pelakon Wanita Terbaik. 

Pada 2023, Alia menang melalui filem ‘Gangubai Kathiawadi’, dan tahun 2024 melalui filem ‘Rocky Aur Rani Kii Prem Kahaani’.

Sebelum itu pada tahun 2017, dia menang melalui filem ‘Udta Punjab’, tahun 2019 melalui ‘Raazi’ dan tahun 2020 melalui ‘Gully Boy’. Ini bermakna sebelum ini dia telah pernah menang anugerah untuk dua tahun berturut-turut.


Kajol menang lima kali anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filmfare. Kedudukannya dipintas oleh Alia Bhatt yang menang enam kali.


Kejayaan Alia, isteri kepada aktor Ranbir Kapoor, melayakkannya mencipta rekod sebagai aktres paling banyak menerima anugerah bagi kategori pelakon wanita terbaik dalam sejarah penganjuran Anugerah Filmfare sehingga kini.

Dengan kejayaan itu, Alia memecahkan rekod yang dipegang oleh Kajol dalam kategori sama. 

Kajol menang lima kali anugerah pelakon wanita terbaik melalui filem ‘Dilwale Dulhania Le Jayenge’ (1995), ‘Kuch Kuch Hota Hai (1998), ‘Kabhie Kushi Kabhie Gam’ (2001), ‘Fanna’ (2006) dan ‘My Name Is Khan’ (2010).

Walau pun Alia mengatasi Kajol selaku pelakon wanita terbaik, dari segi kutipan trofi kedua-duanya setanding, masing-masing menang tujuh trofi.

Kajol pernah menang anugerah Pelakon Antagonis Terbaik menerusi filem ‘Gupt’ (1997) dan Anugerah Bintang Khas 90-an. 

Sementara Alia pernah menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Pilihan Pengkritik menerusi filem ‘Highway’ (2014).


Alia Bhatt dan Vedang Raina dalam filem 'Jigra' yang membolehkan Alia menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filmfare 2025.


Namun seperti biasa dalam dalam pertandingan dan pemberian anugerah, kerap berlaku ‘rumah siap pahat berbunyi’. Begitu juga dengan Anugerah Filmfare 2025. 

Kemenangan Alia Bhatt melalui ‘Jigra’ dianggap pengkritik tidak wajar kerana filem tersebut bukan ‘box-office’.

Mereka berpendapat aktres yang lebih layak menggondol trofi Pelakon Wanita Terbaik ialah Yami Gautam, 36, yang mempamerkan lakonan cemerlang dalam filem ‘Article 370’.


Aktres Yami Gautam dikatakan lebih layak menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Fimfare 2025 kerana penampilan hebat dalam filem 'Article 370'.


Pengkritik juga menyifatkan kemenangan Alia tiga tahun kebelakangan berturut-turut sebagai sukar diterima. Ada yang menyifatkan gejala tersebut berlaku kerana wujud pilih kasih.

Mereka mendakwa pengarah dan penerbit filem Karan Johar menjadi dalang memastikan kemenangan Alia. Ini kerana aktres itu merupakan pelakon kesayangan Karan sejak membintangi filem ‘Student of The Year’ (2012).

Namun apa pun kritikan atau bantahan, keputusan juri adalah muktamad. Kemenangan Alia, menantu kepada aktres Neetu Singh dan mendiang Rishi Kapoor (Bobby) sah walau pun ada yang mempertikai.  


Karan Johar didakwa memainkan peranan dalam menentukan kemenangan Alia Bhatt sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filmfare 2025.


Pada Anugerah Filmfare 2025 itu, dua aktor berkongsi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Abhishek Bachchan dan Kartik Aaryan.

Abhisek, anak aktor popular Amitabh Bachchan dan aktres Jaya Bhaduri dipilih melalui filem ‘I Want To Talk’. Kartik Aryaan pula menang melalui filem ‘Chandu Champion’.

Bagi Abhisek, kejayaannya begitu membanggakan. Inilah kejayaan pertama dikecapi suami aktres popular Aishwarya Rai itu sejak menceburi dunia perfileman Bollywood. - KitaReporters

13
6
0
15
0
You will be interested