Seni & Sukan 06 Oct, 2025

Road to Gold! Sukan Olimpik 2028! Perlu bantuan AI, latihan luar negara dan sparring partner dunia!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Kem badminton dan beberapa sukan elit negara terus mempamerkan perkembangan konsisten sepanjang tahun ini (2025) dengan sokongan padu Jawatankuasa Road To Gold (RTG), namun masih ada ruang penambahbaikan sekiranya Malaysia benar-benar mahu menamatkan penantian emas Olimpik di Los Angeles 2028. 

Hannah Yeoh (dua kiri) mempengerusikan mesyuarat RTG di Putrajaya. - Kredit foto: Foto FB Hannah Yeoh.


Mesyuarat ketiga RTG 2025 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pada Selasa 23 September 2025 lalu meluluskan pelbagai bentuk bantuan tambahan termasuk sains sukan, peralatan pemulihan serta rawatan khusus kepada atlet yang terjejas dengan kecederaan. 

Antara yang mendapat perhatian ialah jaguh beregu wanita negara Pearly Tan yang akan menerima rawatan kiropraktor dan rawatan prapemulihan buat Toh Ee Wei. 

Langkah tersebut penting bagi memastikan pemain utama kekal cergas sepanjang musim kompetitif yang semakin padat. 


Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik perlu lebih konsisten untuk menyaingi jagoan dunia. - Kredit foto: Agensi.

Rekod pencapaian tahun ini (2025) membuktikan pelaburan itu berhasil. 

Beregu lelaki utama, Aaron Chia–Soh Wooi Yik melonjak ke ranking No.2 dunia selepas mara lima kali ke final dengan tiga gelaran juara – pencapaian terbaik dalam karier mereka. 

Selain itu, pasangan Man Wei Chong–Tee Kai Wun turut mencuri tumpuan dengan menjuarai Masters Indonesia dan Masters Malaysia, sekali gus menembusi ranking tertinggi No.6 dunia. 

Pearly bersama pasangannya, M Thinaah pula mencipta sejarah sebagai gandingan pertama negara meraih pingat perak Kejohanan Dunia di Paris. Mereka kini menghuni ranking No.2 dunia selepas lima kali mara ke pentas final. 


Pearly Tan (kanan) dan M Thinaah menghuni ranking kedua dunia. - Kredit foto: The Star.

Ee Wei bersama gandingannya, Chen Tang Jie pula menghadiahkan kejutan manis apabila muncul juara dunia pertama Malaysia dalam acara itu, dan kini menduduki ranking No.3 dunia. 

Bagi skuad profesional, RTG turut bekerjasama dengan pasukan untuk mengenal pasti pangkalan latihan baharu selain meluluskan permohonan tambahan rakan sepelatih untuk gandingan Goh Sze Fei–Nur Izzuddin yang kini menghuni ranking No.3 dunia. 

Sementara itu, beregu campuran, Goh Soon Huat–Shevon Lai mengekalkan kedudukan dalam kelompok elit dunia di tangga kelapan. 

Ini menandakan skuad badminton negara kini memiliki lebih daripada satu sandaran di Olimpik. 


Chen Tang Jie (kiri) dan toh Ee Wei muncul juara dunia 2025 dalam acara beregu campuran. - Kredit foto: Agensi.

Pun  begitu, jika emas Olimpik menjadi sasaran mutlak, sekadar sokongan pemulihan dan dana tidak mencukupi. 

Pendekatan saintifik lebih mendalam perlu diperkenal termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis pergerakan, taktikal, serta tahap kecergasan atlet secara harian. 

Langkah kedua yang boleh dipertimbangkan ialah mewujudkan pusat latihan bertaraf dunia di luar negara. 


S Sivasangari berstatus kelapan dunia. - Kredit foto: Agensi.

Misalnya, skuad skuasy boleh berpusat di Eropah, skuad badminton di Jepun atau Korea Selatan, manakala berbasikal di Australia, agar atlet dapat membiasakan diri dengan suasana antarabangsa sebelum Olimpik. 

Tidak kurang penting, rakan 'sparring' bertaraf dunia wajar dijemput secara berkala. Ini memastikan pemain tidak hanya bergantung kepada sesama rakan tempatan, sebaliknya berdepan dengan cabaran sebenar daripada 'top' 5 dunia sebelum tiba di Los Angeles.

Aspek keempat yang perlu diberi perhatian adalah kekuatan mental. Ramai atlet Malaysia gugup ketika beraksi di pentas akhir dan program psikologi sukan lebih agresif perlu disusun. 

Simulasi tekanan perlawanan akhir Olimpik boleh membantu mereka membiasakan diri dengan suasana sebenar. 

Bagi skuasy, RTG turut meluluskan pembiayaan latihan S. Sivasangari di Prague yang membuahkan hasil apabila beliau mara ke final Grasshopper Cup dan separuh akhir Kejohanan Klasik London, sekali gus menghuni ranking No.8 dunia. 

Rakan sepasukan Ng Eain Yow pula muncul naib juara Squash On Fire dan kini di tangga ke-12 dunia. 

Skuasy juga dilihat mampu menjadi penyumbang emas sekiranya pelan jangka panjang peralatan dan pemulihan diberi penekanan termasuk teknologi terkini seperti 'cryotherapy', 'hyperbaric chamber' serta nutrisi berasaskan DNA bagi mengekalkan tahap kecergasan optimum.


Nurul Izzah Izzati menyerlah di Kejohanan Asia dengan dua emas, satu perak dan satu gangsa. - Kredit foto: Agensi.

Dalam acara berbasikal trek, Shah Firdaus Sahrom masih menjalani pemulihan lutut kanan dengan sokongan RTG. Rakan sepasukan, Nurul Izzah Izzati pula menyerlah di Kejohanan Asia dengan dua emas, satu perak dan satu gangsa, selain memecah rekod Asia dalam acara 1km ujian masa. 

Beliau kini menghuni ranking No.10 dunia. 

Bagi memastikan kesinambungan prestasi ini, atlet basikal perlu diberi lebih banyak peluang bertanding di kejohanan besar setiap tahun. Pendedahan sebegini akan menjadikan pentas Olimpik bukan sesuatu yang asing, sekali gus meningkatkan kebarangkalian meraih emas. 

Dalam acara angkat berat, Mohd Aniq Kasdan menyumbang perak di Kejohanan Komanwel meskipun mengalami kecederaan bahu. RTG meluluskan rawatan berterusan di Institut Sukan Negara (ISN) dan menempatkan pegawai suaian fizikal khusus. 

Pengurusan karier Aniq juga amat penting. Jadual kejohanan tidak boleh terlalu padat kerana prestasi mereka perlu sampai ke tahap puncak pada pertengahan 2028 – bukan lebih awal atau lebih lewat. 

Bagi sukan memanah, Nurul Azreena Mohamad Fazil masih menjalani fisioterapi bahu tetapi berjaya mengekalkan kedudukan dalam ranking No.12 dunia. Menerusi pemulihan sepenuhnya serta latihan psikologi, peluangnya untuk memberi kejutan di Olimpik tidak boleh dipandang remeh. 


Mohd Aniq Kasdan menyumbang pingat perak pada Kejohanan Komanwel di India. - Kredit foto Agensi.

Mesyuarat RTG kali ini turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ts. Dr. K. Nagulendran; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin; serta Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. P. Vellapandian. 

Bekas jaguh badminton, Datuk Seri Lee Chong Wei; legenda hoki, Datuk Mirnawan Nawawi;  dan legenda skuasy, Datuk Nicol David turut terlibat dalam perbincangan, menandakan usaha meraih emas Olimpik adalah tanggungjawab kolektif. 

RTG sudah kukuh dari segi asas dengan dana, sokongan perubatan dan pencapaian ranking dunia. 

Namun, untuk diterjemahkan kepada emas Olimpik di Los Angeles 2028, Malaysia perlu berani melakukan lonjakan – gabungan teknologi saintifik, latihan luar negara, 'sparring' bertaraf dunia dan pengurusan karier jangka panjang. 

Jika semua lapan aspek penambahbaikan ini dilaksanakan secara menyeluruh, insya-Allah impian negara untuk mendengar Negaraku berkumandang di Olimpik tidak lagi mustahil. - KitaReporters

11
10
0
16
0
You will be interested