USIA hanya pada angka. Demikian ungkapan sesuai buat Gabriel Lazaro yang mencecah usia 50 tahun apabila berjaya menewaskan ramai atlet muda untuk menjuarai Festival Endurance Antarabangsa 2025 @ Melaka di Pantai Klebang pada Ahad, 14 September 2025.

Atlet dari Sepanyol itu menamatkan acara yang melibatkan renangan sejauh 1.5 kilometer (km), berbasikal 40km dan larian 10km di sepanjang pantai yang indah itu selama 2:22:47 saat (s).
"Ini adalah pertandingan pertama saya di Melaka dan saya memenanginya di hadapan isteri dan dua anak lelaki. Ia satu detik yang tidak dapat dilupakan," ujar Lazaro.
Tempat kedua diraih oleh atlet dari Selangor, Faiz Rahim menerusi catatan masa 2:26:52, dan Goh Guan Xi (2:29:56) melengkapkan podium.

Lazaro seorang eksekutif insuran yang berpangkalan di Singapura telah menyertai acara multisukan itu sejak 20 tahun lalu dan pernah memenangi triatlon di Miami dan New York semasa bekerja di Amerika Syarikat.
"Laluan ini sangat indah dan penganjurannya hebat. Semua orang sangat mesra. Saya juga suka bandar Melaka. Kami berada di sini beberapa hari sebelum perlumbaan untuk bersiar-siar," ujarnya.
Misi Lazaro seterusnya adalah Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Marbella, Sepanyol, pada 9 November 2025 ini.
"Saya akan membuat persediaan untuk kejohanan di Marbella, percubaan pertama saya pada Kejohanan Dunia.
"Sebagai persiapan saya tidak akan menyertai mana-mana perlumbaan, sebaliknya akan menumpukan 10 hingga 12 jam seminggu untuk berada pada tahap terbaik di Marbella," katanya.
Lazaro juga memasang impian yang lebih besar apabila mahu menyertai Kejohanan Dunia Ironman di Kona, Hawaii yang diharapkannya dapat dicapai tahun depan (2026). "Kona adalah cita-cita saya tahun depan," tambahnya.

Dalam pada itu, Faiz yang berasal dari Gombak berharap dapat mencipta nama dalam acara multisukan sebagai seorang profesional.
Atlet berusia 30 tahun itu pada mulanya menyertai triatlon dan duatlon sebelum pandemik Covid-19, tetapi berhenti selepas merasakan dia tidak mendapat keputusan yang memuaskan.
Faiz kemudian menceburi sukan berbasikal jalan raya, bertanding dalam Tour of Terengganu pada 2022 dan 2023 untuk sebuah kelab berbasikal amatur.
"Saya aktif sebelum pandemik, tetapi merasakan diri tidak cukup bagus dalam acara multisukan. Dari 2020 hingga 2024, saya tidak menyertai mana-mana acara triatlon atau duatlon, sebaliknya menceburi sukan berbasikal jalan raya antara 2021 dan 2024.
"Saya hanya kembali ke perlumbaan multisukan tahun ini (2025) selepas mendapat penaja dan kini sebagai atlet sepenuh masa.
"Saya mendapat beberapa kedudukan podium tahun ini (2025), namun tidak boleh bandingkan prestasi saya dahulu dan sekarang. Untuk perlumbaan ini, saya lebih cergas daripada sebelumnya dan gembira dengan keputusan ini," katanya yang mahu menyertai Ironman Langkawi pada November 2025.
Faiz turut mendedahkan berdepan kesukaran dengan latihan renang apabila memutuskan untuk kembali ke triatlon.
"Saya memulakan latihan renang pada Januari 2025 lalu, tetapi prestasi tidak seperti diharapkan. Jadi saya terpaksa mengupah jurulatih untuk membantu saya dengan teknik terbaik," katanya.

Sementara itu, Nami Kanai menjuarai acara wanita dengan catatan masa 2:49:51, dengan diikuti Adel Zulin Sim (3:13:38) dan Norazian Manaf (3:23:33).
Festival anjuran Hype Haus itu menarik lebih 1,000 peserta dan sekitar 1,500 penyokong yang terdiri daripada rakan dan keluarga atlet.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman yang melepaskan perlumbaan mengucapkan terima kasih kerana menganjurkan acara berprestij itu di Melaka.
"Seronok melihat ramai peserta luar negara dan bukan penduduk Melaka menyertai acara ini yang menunjukkan ia telah mendapat pengiktirafan, sekali gus mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan," katanya. - KitaReporters
