Seni & Sukan 27 Dec, 2025

Apa rahsia? Dulu David Teo reject jadi pelakon! Kini ambil Tyka Zatyka jadi penyanyi Rahsia Abhasa!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Masa dan kematangan ternyata menjadi senjata paling ampuh bagi penyanyi Tyka Zatyka apabila beliau kembali ke pangkuan Metrowealth bukan sebagai peserta uji bakat yang gagal, tetapi sebagai tunjang utama bagi runut bunyi asli (OST) filem psikologi-seram terbaharu, Pemuja



Kisah ini menjadi bukti nyata bahawa penolakan yang diterima daripada penerbit terkenal, David Teo pada tahun 2014 bukanlah satu noktah, sebaliknya merupakan fasa persediaan buat Tyka untuk muncul dengan kualiti seni yang lebih jitu sedekad kemudian.

Kini, hubungan tersebut berubah wajah apabila Tyka bukan sahaja diberi kepercayaan penuh untuk menghidupkan nadi filem berkenaan melalui suaranya, malah turut mendapat tawaran untuk berlakon di bawah naungan Metrowealth bagi projek akan datang.

Kepercayaan yang diberikan oleh MIG Pictures Sdn Bhd ini memperlihat pengiktirafan mereka terhadap bakat serta kematangan yang telah diasah oleh Tyka sepanjang penglibatannya dalam industri muzik.

Melalui kerjasama antara Chevy Amry Production (CAP) dan MIG Pictures, lagu berjudul Rahsia Abhasa yang telah dihasilkan sebagai runut bunyi asli bagi filem Pemuja itu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Chevy Amry, dengan sentuhan lirik yang digarap bersama oleh Tyka sendiri bagi memastikan setiap bait kata mampu menterjemah emosi watak-watak dalam filem berkenaan.



Lebih mengukuhkan lagi kualiti karya ini, susunan muziknya telah mendapat sentuhan profesional daripada maestro muzik tanah air, Azlan Abu Hassan, yang memberikan nuansa megah dan penuh misteri.

Menurut Ketua Eksekutif CAP, Chevy Amry, pemilihan Tyka adalah sangat tepat kerana penyanyi itu berjaya membawakan vokal yang sarat dengan konflik batin, ketakutan dan misteri selari dengan tema filem yang membelenggu watak-watak dalam naskhah Pemuja.

Kolaborasi ini juga dilihat sebagai langkah strategik CAP untuk menetapkan piawaian baharu dalam penghasilan OST tempatan, di mana muzik bukan sekadar pelengkap visual tetapi berfungsi sebagai penggerak emosi penonton.



Amry yakin bahawa penggabungan kepakaran produksi muzik moden dan pengalaman luas MIG Pictures dalam penerbitan filem arus perdana dapat memberikan impak besar kepada lanskap industri kreatif tanah air serta serantau.

Dalam pada itu, filem ‘Pemuja’ dijadualkan bakal menggegarkan layar perak di seluruh negara pada 22 Januari 2026 - KitaReporters


Chevy Amry  (dua dari kanan) dan Tyka Zatyka bersama penerbit MIG Pictures, David Teo. Turut serta ibu Tyka, Rosiah Misri dan anak David iaitu Jackhu Teo (kiri).

17
16
0
11
0
You will be interested