Kalau kita mengunjungi ke bandar Taiping melalui Jalan Stesen terdapat dua buah bangunan warisan yang terbiar berhadapan Sekolah Kebangsaan King Edward VII.

Bangunan tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Rumah Rehat Bandar merupakan salah satu bangunan warisan kolonial di Taiping.
Malangnya bangunan tersebut masih tidak dipulihara atau bagi mengekalkan kecantikannya. Ia terbiar dan jelas sekali memburukkan kawasan itu.
Pihak berkuasa tempatan seharusnya membaik pulih bangunan tersebut kerana ia mampu menarik dan menjadi tempat penginapan dan tarikan pelancong.

Papan Tanda Rumah Rehat Bandar yang masih berdiri di luar bangunan rumah itu di jalan Stesen Taiping
Menurut
cacatan sejarah, Rumah Rehat Bandar Taiping itu dibina pada tahun 1870 dan
pernah menjadi kediaman gabenor. Pada zaman kolonial, rumah rehat ini menjadi
tempat persinggahan pegawai British.
Pada tahun
1894, ia dinaik taraf menjadi bangunan batu dua tingkat dengan perkataan
"Rest House 1894" terukir di bahagian tengah bangunan.
Rumah Rehat Bandar Taiping kini dikenali sebagai rumah rehat pertama di Negeri-Negeri Melayu.
Tinjauan yang dibuat mendapati keaslian bangunan berusia lebih 139 tahun itu semakin mengalami kerosakan dan ia sepatutnya dipulihara dan tidak terbiar sehingga beberapa struktur bangunan tersebut runtuh dan menjadi tempat haiwan berbisa.
Bangunan dan
tanah tersebut difahamkan adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Namun ia dipercayai telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan Taiping
untuk dibangunkan.
Malangnya sehingga hari ini, kedudukan bangunan itu yang ditumbuhi semak samun telah menjejaskan imej bandar Warisan Taiping.

Setiap
pengunjung yang melalui jalan tersebut
tertanya-tanya kenapa ia tidak dibaik pulih sedangkan ia menjadi salah satu
tarikan kepada pelancong.
Amat
merugikan pihak berkuasa tempatan dn impak kepada ekonomi jika bangunan bersejarah itu diabaikan sedang
bandar ini menjadi salah satu bandar tumpuan pelancong di Perak. - KitaReporters