Seni & Sukan 05 Mar, 2024

Video| Infaq Ramadan - Semarak Cinta Ramadan! Siti Nurhaliza pelawa orang ramai rajin bersedekah!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Siti Nurhaliza Tarudin, - Foto: FAS.


Penyanyi tersohor negara yang sentiasa menjadi perhatian ramai, Dato Seri Siti Nurhaliza mempelawa orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan budaya sedekah sempena bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Marilah kita mencontohi masyarakat di bumi Mekah yang sentiasa bersedekah setiap hari, itu satu perbuatan yang perlu kita amalkan di sini,” ujar Siti Nurhaliza ketika ditemui pada majlis Pelancaran Kempen Infaq Ramadan - Semarak Cinta Ramadan di Bamboo Hills, Kuala Lumpur pada 2 Mac 2024.

Menurutnya, bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan memberi peluang untuk kita menambah pahala dan sehubungan itu Yayasan Nurjiwa berhasrat menggandakan jumlah sumbangan pada bulan Ramadan tahun ini (2024) dengan mengatur beberapa program khas infak.



``Marilah kita mengambil peluang untuk menderma pada bulan Ramadan yang dilimpahi banyak kelebihan yang dijanjikan Allah SWT kepada hamba-Nya. 

"Semoga setiap kebaikan bersedekah akan Allah kurniakan pahala berlipat ganda,’’ tambah Siti atau lebih mesra disapa ‘Tok Ti’ selaku pengasas dan pengerusi bersama Yayasan Nurjiwa yang diasaskan sejak 17 tahun lalu bersama suaminya, Dato’ Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Meneruskan perancangan amal kebajikannya, Yayasan Nurjiwa mengambil pendekatan mengatur beberapa program khusus seperti bantuan kotak makanan kepada golongan asnaf, menganjurkan majlis iftar, menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh di surau serta masjid.



“Bantuan kotak makanan yang dinamakan Bantuan Nur-Muhamad ini memberikan keutamaan kepada golongan susah yang dikenal pasti oleh pihak yayasan sendiri. 

"Kami mengutamakan golongan miskin bandar khususnya yang belum berdaftar dengan mana-mana badan kebajikan,” jelas Siti sambil memaklumkan bakal membina sebuah sekolah tahfiz di Kampung Permatang Pasir, Kedah, dijadualkan bermula dengan acara pecah tanah tahun ini (2024).

Ujarnya, sepanjang Ramadan, Yayasan Nurjiwa juga akan mengedarkan al-Quran dan sejadah serta membaik pulih kerosakan di masjid dan surau yang telah dikenal pasti bagi memastikan para jemaah beribadah dengan lebih selesa. 

“Yayasan Nurjiwa turut merancang untuk mengadakan edaran bubur lambuk kepada orang ramai serta memberikan sumbangan baju raya kepada anak-anak yatim, golongan asnaf serta golongan kurang berkemampuan,” sambung Tok Ti.



Dalam pada itu, Siti berkata, bantuan khas ke Gaza merupakan misi yang diteruskan oleh pihak yayasan di mana saluran bantuan ke negara yang sedang dilanda perang itu telah dimulakan seawal 11 Oktober 2023 hingga kini. 

“Selama hampir lima bulan bantuan ke Gaza dilakukan tanpa henti dan Yayasan Nurjiwa menerusi wakilnya di sana telah memberikan sumbangan kewangan, makanan, air bersih, pakaian dan pelbagai keperluan lain,” kata Siti Nurhaliza.

Beliau berharap Kempen Infaq Ramadan ini dapat menampung sumbangan berterusan di mana keadaan rakyat Palestin yang kini berada di Rafah sangat memerlukan pertolongan terdesak terutama makanan.


Yayasan Nurjiwa menerima sumbangan dari Jay Ibrahim bernilai RM103,200.


Pada akhir acara, majlis turut menyaksikan sumbangan daripada tiga syarikat berjumlah keseluruhannya sebanyak RM274,200 kepada Yayasan Nurjiwa.

Sumbangan pertama diterima daripada Electra Technology Sdn Bhd., berjumlah RM111,000 dalam bentuk pakej umrah  disampaikan oleh Mohd Faizal Hadzmi, manakala sumbangan kedua bernilai RM103,200 oleh Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd diserahkan oleh Jay Ibrahim sendiri.

Seterusnya disusuli sumbangan ketiga daripada Perniagaan Sinar (M) Sdn Bhd berupa tajaan pakej umrah dan kotak makanan Ramadan bernilai RM60,000. 



Sementara itu,  dalam perkembangan lain mengimbau kembali kenangannya pulang ke kampung halamannya di Kuala Lipis dan meninjau pasar malam baru-baru ini, Siti menyuarakan rasa seronok dan puasnya dapat membawa anak-anak mengenali tempat di mana beliau mula menjual kuih muih pada zaman remajanya.

“Saya cerita pada Aafiyah, di sinilah ibu mula berniaga kuih,” kenang Siti yang akui tidak pernah lupa asal usulnya dari kampung walaupun kini telah mencipta nama di kota.

Terdekat, menghampiri bulan Ramadan, Siti menutup aktiviti seninya dengan ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 9 Mac 2024 depan, yang mencipta sejarah apabila dalam tempoh dua jam, jualan tiket habis disapu licin. - KitaReporters

11
16
0
15
0
You will be interested