Seni & Sukan 26 Aug, 2021

Insiden video kenyataan 'panas' Syazwan! Faisal tampil beri penjelasan! Saya bukan budak jahat!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Faisal Halim @ Mickey. - Kredit foto: Terengganu FC


PEMAIN pasukan Terengganu FC, Faisal Halim tampil memberi penjelasan berhubung insiden yang membabitkan dirinya dengan pemain Kedah FC, Syazwan Zainon semasa pertembungan kedua-dua pasukan pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu, pada Sabtu, 21 Ogos, 2021 lalu.

Faisal yang menerima kecaman daripada penyokong Kedah sebagai punca Syazwan hilang sabar dan naik angin sehingga mengeluarkan kata-kata ‘panas’ semasa meninggalkan padang, mempertahankan dirinya tidak bersalah dalam isu itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Terengganu FC


“Saya terkejut apabila tiba-tiba media sosial saya dihujani kecaman daripada penyokong pasukan Kedah selepas perlawanan itu. Ia ekoran tularnya sedutan video yang memaparkan Syazwan meluahkan kemarahannya. 

“Walaupun dalam video itu Syazwan tidak menyebut nama saya namun daripada reaksi yang diberikan oleh penyokong Kedah serta kecaman yang saya terima, saya yakin kata-kata itu ditujukan kepada saya,” kata Faisal.


Video kenyataan 'panas' Syazwan yang dikaitkan dengan Faisal kini tular serta jadi perbincangan dalam kalangan penyokong bola sepak.


Melalui sedutan video daripada siaran langsung perlawanan itu yang kini tular dalam pelbagai media sosial, Syazwan atau mesra disapa sebagai Wan Karpet, dirakam mengeluarkan kata-kata berbunyi ‘ancaman’ ke atas seseorang yang dipercayai ditujukan kepada  pemain lawan.

“Kita tak kisah kena kad merah! Pecah muka dia satgi!” kata Syazwan spontan kepada pembantu pengadil tanpa menyedari kenyataan lepas geram itu jelas dapat didengar oleh penonton yang menonton siaran langsung itu.

Dalam rakaman itu kedengaran pembantu pengadil cuba menenangkan Syazwan dengan berkata: “Dah, dah… mikrofon dengaq (dengar) satgi, tak baik.”

 Ia kemudian dibalas oleh Syazwan itu dengan kata-kata: “Kuang ajaq (Kurang ajar). Muda lagi kot.”



Tak mungkin Syazwan nak pecahkan muka saya sebagaimana dikatakannya kerana dia tahu akan akibatnya jika dia benar-benar melakukan."


Menurut Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, dia sebenarnya tidak ambil serius dengan apa yang dikatakan oleh Syazwan itu kerana tahu ia sekadar luahan ketika sedang marah.

“Orang tengah marah, dia memang akan cakap apa saja yang terkeluar dari mulutnya ketika itu. Saya tak ambil kisah sangat dan anggap perkara biasa dalam bola sepak.

“Tak mungkin Syazwan nak pecahkan muka saya sebagaimana dikatakannya kerana dia tahu akan akibatnya jika dia benar-benar melakukan. Ia bukan sekadar kad merah tapi mungkin menerima hukuman lebih berat seperti digantung permainan dalam tempoh yang lama.

“Tapi, bila penyokong Kedah mula menyerang saya melalui media sosial serta IG (Instagram) peribadi saya dengan pelbagai bentuk kecaman, saya tidak boleh berdiam diri. Saya perlu tampil untuk mempertahankan diri saya serta menjelaskan perkara sebenar agar mereka faham,” katanya.


Syazwan (kiri) dan Rabih Ataya saling berpelukan selepas masing-masing menjaringkan gol untuk Kedah kalahkan Terengganu 2-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 21 Ogos 2021 lalu. - Kredit foto: Kedah FC.


Faisal meminta penyokong Kedah yang mengecamnya agar menonton semula aksi perlawanan itu secara keseluruhan serta membuat penilaian, bukan sekadar melihat sedutan video yang ditularkan.

“Sebagai pemain, dalam padang, kami bersaing untuk menang, jadi kadangkala semasa persaingan merebut bola, berlaku kekasaran yang tidak dapat dielakkan namun bukan disengajakan.

“Kami bersaing secara ‘gentleman’, tidak ada niat mahu mencederakan sesiapa. Kalau benar saya bermain jahat, sudah tentu saya sudah dilayangkan kad kuning atau merah sebaliknya dalam perlawanan itu, Syazwan yang dikenakan kad kuning kerana mengasari saya.

“Dalam insiden itu, saya tidak bertindak balas walaupun terjahan dilakukan Syazwan boleh mencederakan apatah ia mengenai bahagian kecederaan yang belum pulih sepenuhnya.

“Saya mengakui dalam satu insiden, saya terpijak jari Syazwan, itu pun berlaku tanpa sengaja ketika kami sama-sama mahu memenangi bola. Saya pun dah minta maaf pada Syazwan semasa kami bersalam selepas perlawanan,” jelas Faisal.



Dua insiden membabitkan Faisal dengan Hadin Azman (gambar kiri) dan Azmuddin Akil (gambar kanan) sehingga dia dilabel sebagai 'budak jahat'.


Mengenai label ‘budak jahat’ yang diberikan kepada dirinya ekoran beberapa insiden, Faisal berkata, rekodnya jelas menunjukkan gelaran itu tidak layak diterimanya.

“Saya sedar ramai yang memainkan semula isu saya dicekak oleh Alex (Azamuddin Akil) dan Hadin (Azman) untuk menggambarkan saya seorang pemain yang sentiasa mencetuskan masalah dalam padang.

“Insiden dengan Alex berlaku secara tidak sengaja apabila saya terkait kakinya. Tapi, dalam insiden dengan Hadin, saya mengaku menariknya yang mencetuskan kemarahan Hadin serta mencetuskan pergeseran sehingga kami berdua dikenakan kad kuning.

“Tapi, rekod saya sepanjang musim ini membuktikan saya seorang pemain yang bersih. Kalau tidak, sudah tentu saya kena kad merah atau banyak dapat kad kuning tapi setakat ini, saya hanya dikenakan dua kad kuning.

“Itu membuktikan saya bukan seorang pemain jahat sebagaimana digambarkan oleh sesetengah pihak. Saya pemain bersih dan akan cuba sedaya upaya mempertahankan rekod ini dalam baki perlawanan musim ini,” kata Faisal. - KitaReporters


Aksi Faisal ketika menentang Kedah. - Kredit foto: Terengganu FC

1
0
0
1
0
You will be interested