Seni & Sukan 12 May, 2020

Batalkan Liga M 2020? Tuntutan penaja? Survival bola sepak?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SEPERTI ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa‘, begitulah ibaratnya situasi yang menghantui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku teraju utama sukan popular ini dalam memastikan survival industri sukan bola sepak di negara ini selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti. : KitaReporters

PEKAN Ramli (kanan) bersama Serbegeth Singh atau Shebby, bekas pemain negara dan pengulas sukan terkenal saluran antarabangsa. - Kredit foto Pekan Ramli


Menurut pengulas sukan TV saluran Foxs Sports Channel dan Astro Arena, Dr. Pekan Ramli, FAM dan MLF perlu mengimbangi tuntutan yang termaktub dalam kontrak penajaan dengan pihak penaja dan komitmen sejati untuk memanjanghayatkan masa depan bola sepak tempatan di tengah-tengah pandemik Covid-19 dan PKP.

Kedua-dua faktor ini dipercayai kuat mendorong FAM dan MFL untuk cuba menyambung semula Liga Super dan Perdana 2020 pada 1 September 2020, walaupun permohonan untuk meneruskannya pada Ogos 2020 telah ditolak Majlis Keselamatan Negara (MKN).  

PEKAN RAMLI


“Implikasi lebih buruk akan berlaku malah mungkin boleh diambil kesempatan oleh pelbagai pihak jika Liga M dibatalkan terus,” katanya.

Pekan, 55, merupakan bekas pelatih Liga Semi-Pro Kuala Lumpur yang pernah beraksi dalam Kejohanan Perayaan 100 Tahun KL 1991.

Penyerang ini turut sepasukan nama-nama besar bola sepak negara seperti Lim Teong Kim, Manja Man, Tang Siew Seng, Saidin Osman, Shahrin Majid, Yap Kam Choon malah tonggak import – K. Kannan dan Zoran Nikolic di bawah bimbingan Milous Kvacek dari Czechoslovakia.  

Pekan berkata, “FAM dan MFL bakal terjejas malah kantung kedua-dua pemegang taruh utama bola sepak Malaysia ini pasti ‘parah’ kerana tiada peruntukan daripada penajaan yang dapat digunakan setelah kontrak mereka mungkin dianggap ‘terbatal dan tidak sah’ gara-gara tiada perlawanan. 

“Kalaupun disambung seperti yang mungkin dipertimbang semula oleh MKN pada Jun 2020, perjalanan liga ini masih tidak banyak yang akan membantu kerana perlawanan masih perlu dijalankan di stadium kosong tanpa penonton selagi kes Covid-19 belum dapat dibendung,” tambahnya. 

Walau bagaimanapun, katanya, membatalkan sahaja Liga M 2020 yang baru memasuki tiga dan empat perlawanan boleh sahaja dilakukan dan masih sesuatu yang rasional. 

PEKAN Ramli (tengah) dan rakan panel program bicarawara Astro Arena, Bola@Mamak. - Kredit foto Pekan Ramli


Nenurut Pekan, penaja mungkin enggan meneruskan penajaan atau terpaksa menilai kembali amaun penajaan yang dijanjikan sebelum ini apabila ketiadaan penonton itu tidak akan membawa nilai pulangan pelaburan (ROI) atau mencapai sasaran bakal pelanggan mereka.

 

‘Melukut di tepian gantang, masuk tak penuh, keluar pun tak kurang!’, sekali lagi beliau merujuk peribahasa Melayu dalam menggambarkan hasrat FAM dan MFL itu selepas mereka menangguhkan Liga M (termasuk Piala FA yang kini telah dibatalkan) sejak 16 Mac 2020.  

“Perlawanan tanpa penonton (juga dimulakan 16 Mac 2020) turut memotong langsung talian hayat pasukan-pasukan dan persatuan-persatuan yang menagih kutipan jualan tiket stadium dalam menampung kos pengurusaan dan operasi mereka. 

“Pasukan-pasukan ini juga mungkin kehilangan rakan kongsi penajaan. 

"Mana lagi hendak dilema dalam menangani masalah kos sara hidup para pemain yang bakal kehilangan mata pencarian?,” kata bekas wartawan sukan TV3 dari 1995 hingga 2005 ini. 

“Pengurusan pasukan terpaksa membayar gaji sedangkan sedikit pun suntikan dana tidak masuk daripada penaja mahupun kutipan tiket penonton dalam tempoh ini,” katanya. - KitaReporters

PEKAN, wartawan TV3 menemu bual Merlene Ottey, bekas ratu pecut olahraga Jamaica ketika Sukan Olimpik Atlanta 1996. - Kredit foto Pekan Ramli

4
0
0
0
1
You will be interested