Wanita peniaga ikan di Pasar Malam, Matang Acheh,Beruas menggunakan teknik cara tersendiri untuk menarik minat orang ramai mengunjungi gerai jualan ikannya. - Kredit foto-foto: Video TikTok @juliapurnama16.
SEBAGAI usaha melariskan barangan jualan, seseorang peniaga yang kreatif akan bertindak mencari suatu kelainan supaya orang ramai boleh tertarik dan membeli barangan mereka.
Berbagai cara dan teknik mereka akan fikirkan supaya siapa sahaja mampu tertarik untuk mengunjungi premis niaga mereka tidak kira di pusat beli belah, kedai, warung atau di pasar-pasar pagi mahupun malam.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pasar malam:
https://kitareporters.com/search?search=pasar+malam
Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Pasar Malam Matang Acheh, Jalan ke Batu Hampar di Beruas, Perak mungkin terserempak dengan seorang wanita penjual ikan yang agak berlainan cara beliau untuk menarik orang ramai dalam usaha melariskan jualan ikannya.
Wanita dalam lingkungan umur 40-an dengan susuk badan dan perwatakan sederana serta tinggi lampai mempunyai tekniknya tersendiri dalam usahanya 'memikat' pelanggan atau sesiapa sahaja bagi tujuan membeli ikan yang dia jual.
Wanita ini menggunakan susunan rangkap kata-kata menarik sebagai kaedah 'memikat' pengunjung Pasar Malam Matang Acheh untul membeli jualan ikannya.
Dengan cara bersahaja, wanita berkulit cerah ini akan mengunakan susunan ayat dan bahasa menarik sambil berteriak memanggil orang ramai yang melintasi gerai jualannya di pasar malam berkenaan.
Teknik cara perkongsian beliau untuk menarik pengunjung membeli jualannya terpapar melalui sebuah video yang tular pada Jumaat 18 Febrauari 2021 dalam aplikasi TikTok yang menggunakan nama akaun @juliapurnama16.
Antara bait susunan ayat yang dituturkan ialah:
"Dua kilo sepuluh ringgit, dua kilo sepuluh ringgit sahaja. Temenung lemak, makan tak jemu badan tak gemuk-gemuk. Ikan baharu, orang lama. Tengok percuma".
Melalui paparan video tersebut semasa wanita yang berjubah dan bertudung hitam itu berteriak mengucapkan susunan ayat melalui teknik tersebut menarik ada seorang pengunjung secara tiba-tiba bertanya. Ikan lain tak ada ke Cik?
Dengan spontan dan tersenyum wanita itu menjawab "ada... dalam laut." Pengunjung yang bertanya terus beredar lalu.
Kemudian wanita penjual ikan berkenaan mengulangi rangkap kata-katanya dengan penuh semangat dan bersopan.
"Dua kilo sepuluh ringgit sahaja, Encik mari-mari dah tak banyak dah, semua baharu, orang sahaja lama. Ikan baharu orang lama."
Wanita gigih ini berniaga menjual ikan kembung atau temenung lemak di Pasar Malam Matang Acheh.
Semasa rakaman video ini wanita tersebut menjual ikan temenung lemak atau dipanggil juga ikan kembung dengan harga RM10 untuk setiap dua kilogram yang telah dimasukkan ke dalam bakal-bakul kecil yang dikhaskan.
Melalui kaedah atau cara dilakukan peniaga ini, bukan sahaja untuk jualan ikan tetapi juga pelbagai barangan lain boleh dilakukan tetapi perlu mengikut cara dan teknik kreatif seseorang.
Malahan melalui paparan tersebut ia boleh dijadikan contoh ikutan untuk sesiapa sahaja yang berniaga.
Kita perlu menggunakan apa sahaja teknik yang berbeza bagi membolehkan orang ramai mudah tertarik untuk membeli barangan yang dijual. Cuma apa yang perlu diingatkan setiap cara yang bakal ditonjolkan biarlah sesuai dan tidak melampaui batas kesusilaan serta adat budaya bangsa dan agama.
Dalam berniaga cara perkhidmatan dilakukan mestilah pandai. Barangan niaga sama, harga sama tetapi kata-kata untuk menarik pelanggan penting dan kena caranya. - KitaReporters
Wanita penjual ikan kembung ini menarik perhatian pengunjung di Pasar Malam Matang Acheh kerana cara beliau untuk 'memikat' orang ramai membeli jualan ikanya berbeza dengan peniaga lain.
Peniaga wanita ini menjawab dengan spontan dan tersenyum sinis semasa seorang pengunjung pasar malam berkenaan bertanyakan ada tak ikan jenis lain yang dijualnya.