Seni & Sukan 07 Jul, 2022

Hero banjir kepala air di Baling! Berjaya selamatkan empat mangsa! Terperangkap dalam rumah kedai!

@che saad noordin
Che Saad Noordin bekas stringer Bintang Timur, Utusan Malaysia/Utusan Melayu, Watan Harian, TV3, RTM dan Bernama untuk daerah Baling dan sekitarnya

Share this

Sebuah rumah yang rosak teruk akibat dilanda banjir beras kepala air di Kupang, Baling. - Kredit foto-foto: Che Saad Noordin


EMPAT mangsa yang terperangkap dalam rumah kedai hanya mampu menjerit meminta tolong supaya diselamatkan.

Ini kerana dalam masa tidak sampai lima minit rumah kedai tempat mereka berniaga itu telah dihanyutkan oleh arus banjir berpunca daripada kepala air dari kolam takungan di kawasan ladang Durian Musang King terbesar yang tidak jauh dari Kampong Iboi, Kupang di Baling, Kedah pada 4 Julai 2022 lalu.


Sopian Mohd Aziz


Sopian Mohd Aziz,, 53, yang menyelamatkan empat mangsa yang sedang terperangkap di dalam rumah kedai membuat kek di tepi jalan Kampong Iboi itu tidak dapat melupakan detik cemas tersebut.
Beliau yang baru pulang dari pekan Kupang menghentikan vannya di tempat parking kenderaan dan melintas jalan untuk pulang ke rumahnya dalam jarak 300 meter tetapi terdengar jerita meminta tolong.
Katanya, beliau melihat ke arah suara menjerit dan terlihat air dan arus deras melanda rumah kedai yang jarak 200 meter dari tempat beliau berdiri.
Beliau berkata, tanpa berlengah dia membuka kasut dan baju terus meluru ke rumah kedai yang di dalamnya masih terdengar jeritan wanita meminta tolong.


Jelas Sopian, sebaik tiba di depan pintu kedai yang tertutup, beliau sekuat tenaga merempuh pintu kedai yang dipenuhi air dan batang-batang kayu balak yang dihanyutkan oleh banjir.
Dengan sekali rempuhan pintu kedai berkenaan pecah dan terperanjat kerana ada tiga wanita dan seorang kanak-kanak di dalam kedai yang sudah dipenuhi air pada paras pinggang.
Menurutnya, dia menarik tangan setiap seorang ke kawasan yang selamat dan tidak menduga sama sekali bahawa tidak sampai lima minit rumah kedai dan semua peralatan di dalam kedai itu dihanyutkan oleh arus kuat banjir.
Katanya, dia hanya mampu terduduk dan menjerit "Allahhu akhbar" sebaik rumah kedai itu hanyut dalam sekelip mata di dalam arus banjir yang cukup dahsyat.
Sopian yang ditemui petang ini (Rabu, 6 Julai 2022) masih dalam keadaan tidak dapat menerima apa yang berlaku berkata, "semua yang saya selamatkan adalah jiran-jiran saya sejak selama saya membesar di Kamping Iboi ini."

Siti Tijah Husain


Sementara itu, mangsa yang diselamatkan oleh Sopian, Siti Tijah Husain, 73, dari Kamping Iboi berkata, dia bersama dua anaknya dan seorang kanak-kanak terperangkap di dalam kedai milik anaknya akibat tidak sedar arus banjir melanda.
Katanya, hujan tidak begitu kuat sangat, tiba-tiba air memasuki kedai sehingga paras pinggang dan mereka gagal untuk membuka pintu kedai akibat dihalang oleh peralatan membuat kek yang berat dan banyak dalam kedai itu.
Mereka hanya mampu  menjerit meminta tolong berkali-kali sehingga pintu dipecahkan dan Sopian menarik mereka keluar sebelum rumah kedai itu dihanyut oleh arus banjir.

Nurul Haliman Kuin


Dalam pada itu, anak Siti Tijah yang mengusahakan kedai kek itu, Nurul Halimah Kuin, 29, menceritakan, mereka langsung tidak sedar yang arus banjir melanda kerana hujan tidak begitu kuat.
Ceritanya, sebaik tersedar, air sudah pada paras pinggang dalam masa beberapa minit dan mereka terpaksa menjerit meminta tolong kerana gagal membuka pintu kerana tersekat dengan meja dan perkakas membuat kek.

Namun pintu kedai berjaya dipecahkan akibat dirempuh oleh "Pak Long" Sopian dari luar dan menarik mereka keluar seorang demi seorang ke tempat selamat, tambah beliau.

Menurut Nurul Halimah lagi, yang terperangkap dalam kedai itu ialah dia bersama ibunya, Siti Tijah; kakaknya, Siti Rohani Kuin, 34; dan anak saudaranya, Nurul Raudatul Jannah, 4.
Dalam sekelip mata sahaja sebaik sahaja mereka diselamatkan, rumah kedai hilang dalam arus banjir deras menggila dengan kayu kayu balak dan perdu kayu balak yang besar besar, katanya mengakhiri cerita. - KitaReporters

10
11
0
10
0
You will be interested