Seni & Sukan 10 Jan, 2021

Video| Ketika banjir membadai, wira Lipis datang bantu! Ada 4X4, lori King Kong redah banjir!

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this

ANTARA daerah yang paling terkesan dengan bencana banjir besar kali ini adalah kawasan Lipis di Pahang. Namun berkat permuafakatan antara kepimpinan masyarakat, agensi kerajaan dan penduduk setempat, keadaan pengurusan bencana di Lipis nampaknya begitu lancar. : KitaReporters



Lagi kisah-kisah berkaitan Lipis, Pahang:

https://kitareporters.com/search?search=lipis


Permuafakatan erat ini telah membuatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan untuk mencemar duli, berangkat melawat Pusat Pemindahan Sementara di Daerah Lipis pada 7 Januari 2021 yang lalu. 

Bukan itu sahaja, pada hari sebelumnya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut telah berangkat perkenan bercemar duli, melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Budu, Lipis yang menempatkan seramai 24 keluarga.




Sikap saling bekerjasama ini dapat dilihat dari sebesar-besar pangkat di sana iaitu bermula dengan Ahli Parlimen Lipis sendiri yang hampir setiap hari berada di kawasan banjir untuk membantu para mangsa yang memerlukan pertolongan, sehinggalah ke anak-anak remaja yang turut berganding bahu meringankan urusan melalui amalan gotong royong sesama mereka terutama ketika berada di PPS.

Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad selaku Ahli Parlimen di situ juga dilihat sanggup menggunakan kenderaan 4x4 sendiri untuk meredah air banjir bagi mencari mangsa yang masih terkandas dan terputus hubungan.



Beliau yang juga Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar baru-baru ini sudi berkongsikan beberapa gambar dan video bagaimana beliau menggunakan kenderaan 4x4 untuk tujuan tersebut. 

Ia bukan sekadar sebuah khidmat, malah ia juga boleh dianggap suatu memori abadi yang menarik apabila kenderaan kesayangannya itu turut menabur jasa kepada mereka yang memerlukan pertolongan.

"Saya pandu kenderaan 4x4 saya sendiri ketika misi menghantar bantuan memandangkan jumlah mangsa yang terlibat semakin meningkat.

"Salah sebuah kenderaan dari pasukan kami terkandas dan ditenggelami air ketika misi menyampaikan bantuan bencana. Namun sedikit pun tidak mematahkan semangat kami untuk terus bantu mangsa-mangsa yang terlibat," tulisnya dalam laman Facebooknya, Abdul Rahman Mohamad P079.

Bukan Ahli Parlimen Lipis sahaja yang berbuat demikian, malah masyarakatnya juga turut sentiasa 'ringan tulang' menggunakan harta benda sendiri bagi membantu para mangsa banjir di Lipis.



Sadri Asreil Sahair sudah 13 tahun mengendalikan jentera berat ‘dumper truck’ (lori pembuang) dalam aktiviti perlombongan, tidak pernah terlintas di fikiran untuk khidmatnya diperlukan bagi 'melombong' mangsa banjir.

Lelaki berumur 35 tahun itu berkata, operasi menyelamat mangsa banjir bermula 4 Januari 2021 lalu selepas pihak Polis Lipis, meminta bantuan jentera itu yang kemudian digelar orang ramai sebagai 'King Kong', bagi mengeluarkan mangsa banjir kerana paras air naik mendadak.

Anak jati Lipis itu berkata, selain menyelamatkan mangsa banjir, khidmat King Kong juga digunakan untuk menghantar bekalan makanan serta kakitangan kesihatan ke lokasi penugasan.



Walaupun semangatnya masih berkobar-kobar untuk membantu, beliau terpaksa akur apabila King Kong 'masuk bengkel' hanya selepas tiga kali perjalanan kerana beberapa komponen enjin dimasuki air dan perlu dibaiki yang dijangka mengambil masa seminggu.

"Walaupun hanya dapat membantu sekejap, perkara ini akan menjadi kenangan seumur hidup. Letih dan penat hilang apabila mendengar ucapan terima kasih. Memandu dalam keadaan banjir juga menguji kemahiran saya kerana tidak tahu apa yang berada dalam air banjir.

"Saya membawa mangsa banjir dan setiap percaturan yang dibuat semasa memandu bukan hanya melibatkan diri sendiri tetapi banyak nyawa menyebabkan saya sering mengingatkan diri supaya tidak gopoh dalam membuat sebarang keputusan," katanya. - KitaReporters




1
2
2
0
1
You will be interested