TANGGAL 11 April 2021 ini dari pukul 4 petang hingga 7 malam - sebilangan besar wira silam bola sepak negara bakal kembali menjejak gelanggang bersejarah dan keramat, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan satu matlamat murni.
Shahrin Majid, Mohd. Zan Mat Aris dan Azmin Azram Aziz serta S. Balachandran merupakan antara yang bersetuju untuk hadir beraksi pada perlawanan amal untuk mengumpul Tabung Bantuan Covid-19 bagi membantu para pelajar sekolah yang terkesan dari segi pembelajaran akibat pandemik itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak
POSTER Perlawanan Bola Sepak Amal VI All Stars dengan VI GG FC bagi mengumpul Dana Bantuan Covid-19 buat para pelajar pusat tahfiz dan anak yatim. - Kredit foto VIFC.
Empat wira silam ini merupakan bekas penuntut atau alumni sekolah Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur yang turut pernah menyaksikan kemunculan legenda Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan ramai lagi jagoan sukan lain seperti Rashid Sidek (badminton) dan Tan Sri M. Jegathesan (olahraga).
Shahrin, Zan dan Azmin serta Balachandran akan membarisi pasukan VI All Stars dalam perlawanan amal menentang VI GG FC, manakala sebelum itu, satu perlawanan persahabatan tradisi menemukan para pelajar VI sekarang dengan bekas-bekas Victorian (gelaran mereka).
SEKOLAH VI, Kuala Lumpur banyak menyaksikan kemunculan jagoan sukan bukan sahaja bola sepak bahkan badminton dan olahraga selain tokoh politik. - Kredit foto viweb.school.
ANTARA wira silam bola sepak Malaysia dan Kuala Lumpur yang juga bekas pelajar VI, bakal kembali beraksi di Stadium Merdeka, 11 April ini. - Kredit foto VIFC.
Jurucakap penganjur perlawanan, Khairi Shahrin berkata, “kutipan dana sumbangan orang ramai menerusi akaun bank Kelab Bola Sepak VI (VIFC), akan disampaikan kepada pusat-pusat tahfiz dan rumah anak yatim di Shah Alam dan Kota Damansara (Selangor) dan Butterworth (Pulau Pinang).
''Wabak Covid-19 telah memberikan kesan yang cukup besar kepada masyarakat. Sebagai alumni VI, kami mengambil inisiatif untuk turut membantu pelajar-pelajar yang terkesan dengannya, menerusi platform VIFC dengan matlamat mengumpul dan meraih dana sumbangan orang ramai sebanyak mungkin.
''VIFC juga menyedari arahan pembelajaran dalam talian menyulitkan sebilangan besar pelajar. Bukan semuanya datang daripada keluarga yang mampu menyediakan peranti seperti komputer riba, telefon pintar atau tablet untuk mengikutinya.
“Justeru kami berharap Tabung Bantuan Covid yang disediakan bersempena perlawanan amal anjuran VIFC ini dapat membantu mengatasi kesulitan mereka untuk kembali menimba ilmu dan pelajaran,” katanya yang juga Bendahari kelab.
S. Balachandran (kiri) dan Azmin Azram Aziz, tonggak barisan jurulatih Harimau Malaya sekarang. - Kredit foto VIFC.
Jelasnya, perlawanan amal ini tetap bakal dianjurkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan hanya akan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial YouTube.
“Walaupun tanpa penonton di stadium, saya percaya perlawanan ini akan tetap berlangsung dengan meriah dan dapat menarik perhatian serta sokongan penonton secara digital,” katanya.
Shahrin merupakan bekas perantara Kuala Lumpur dan Selangor serta kebangsaan era 90-an, manakala Azmin, kini jurulatih penjaga gol Harimau Malaya, pernah berentap dengan Ronaldo dalam persahabatan menentang Brazil, juara Piala Dunia 2002, sementara Zan ialah antara tonggak pemenang pingat emas Sukan SEA 1989 manakala Balachandran sekarang sebagai penolong jurulatih negara.
Shahrin, bekas kapten VI pada era 80-an, berkata, “saya berasa amat teruja untuk kembali beraksi di Stadium Merdeka pada 11 April 2021 ini.
''Selain dapat kembali beraksi bersama rakan-rakan lama, saya melihat penganjuran perlawanan amal oleh VIFC ini satu inisiatif baik oleh para bekas pemain negara untuk turut membantu para pelajar yang kurang berkemampuan dan terkesan dek Covid-19,” katanya.
Orang ramai dan para peminat bola sepak tempatan khususnya amat dialu-alukan untuk memberikan sumbangan kepada Tabung Bantuan Covid VIFC ini menerusi akaun bank CIMB Berhad bernombor 8008454880 atas nama Kelab Bola Sepak Victoria Institution. - KitaReporters
SHAHRIN Majid, bekas perantara Selangor, Kuala Lumpur dan kebangsaan era 90-an. - Kredit foto VIFC