Seni & Sukan 04 Dec, 2020

Video| Belang baharu Harimau Malaya! Mana Jalur Gemilang?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

"JERSI baharu ini akan menjadi saksi Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China, menjuarai Piala Suzuki AFF 2020 dan meraih pingat emas Sukan SEA Vietnam 2021." - Aidil Zafuan Abd. Radzak, kapten Harimau Malaya. : KitaReporters


LA'VERE Corbin-Ong (22), Syahmi Safari (4), Aidil Zafuan Abd. Radzak (7), Shahrel Fikri Md. Fauzi (10) dan Brendan Gan (15) serta Tan Cheng Hoe (tengah) segak memperagakan 'belang baharu' Harimau Malaya bagi edisi 2020-2022. - Kredit foto FAM. 


 "Jersi Harimau Malaya bukan satu simbol kecil. Inilah pencetus kecintaan dan satu rasa bermaruah bukan sahaja bagi saya sebagai seorang pemain tetapi juga peminat-peminat. Kita kemudiannya menjadi satu." -  La'Vere Corbin-Ong, bek kiri pasukan negara

"Semangat berkobar anak muda sentiasa ada setiap kali saya beraksi menyampaikan luahan rasa Harimau Malaya menerusi persembahan terbaik di padang." - Syahmi Safari, bek kanan pasukan negara.

"Selepas 16 penampilan antarabangsa dengan Harimau Malaya sejak 2016, satu penghormatan besar untuk diberikan peluang menyarung jersi keramat ini." - Brendan Gan, perantara pasukan negara.

"Satu kepuasan dan penambah semangat setiap kali saya menjaringkan gol dan berlipat ganda apabila saya melakukannya bersama skuad Harimau Malaya." - Shahrel Fikri Md. Fauzi, penyerang pasukan negara


SYAHMI SAFARI. - Kredit foto syahmisafari20


BRENDAN GAN. - Kredit foto IG brendangan.


Lima petikan kata tonggak skuad bola sepak kebangsaan Harimau Malaya itu dicanangkan pada laman Instagram masing-masing selepas pelancaran ‘belang baharu' bagi edisi 2020-2022 daripada jenama pengeluar kelengkapan pasukan, Nike pada 4 Disember 2020. 

Pelancaran jersi atau kelengkapan pasukan negara secara dalam talian atau maya ini pasti mengubat kerinduan setahun para penyokong setia, Ultras Malaya setelah skuad Tan Cheng Hoe ini terpaksa 'menyepi'  kerana pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sejak 18 Mac 2020 selain penundaan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan Piala AFF 2020.



Memecah tradisi terdahulu, jersi baharu utama atau home (kandang) Harimau Malaya yang berwarna kuning buat kali pertamanya, menampilkan reka bentuk berkolar, bersama seluar yang juga berwarna kuning.

Jersi kedua atau away (tandang) skuad Malaysia sebaliknya, berleher bulat dan berwarna hitam serta memilki lima jalur menyilang atau selempang kuning di seluruh hadapan badan manakala hujung lengan juga berwarna itu di samping seluar hitam.  

Buat julung-julung kalinya, jersi utama berkolar ditampilkan biarpun terdapat reka bentuk sebegitu pada jersi kedua berwarna biru berkolar putih ketika edisi 2014-2016 yang dilancarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Nike. 


JERSI biru away berkolar Harimau Malaya (satu-satunya pernah dikeluarkan Nike) dipakai penyerang, Ahmad Hazwan Bakri ketika perlawanan persahabatan melawan Fiji.


Nike mulai mengambil alih peranan pengeluar jersi pasukan negara daripada Adidas pada 2007, disusuli enam lagi reka bentuk yang berevolusi pada 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018.

Juga tiada lagi warna alternatif (bukan kuning dan hitam) bagi jersi kedua seperti biru, merah dan putih sejajar Jalur Gemilang malah logo Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan bukannya bendera negara, kekal menghiasi dada kiri.

Sepuluh pemain Harimau Malaya iaitu ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd. Radzak, Shahrul Saad, Syahmi Safari, La'Vere Corbin-Ong, Brendan Gan, Nor Azam Abdul Azih, Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan penjaga gol, Farizal Marlias serta ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mendapat penghormatan sebagai antara yang terawal menyarungnya dalam sesi fotografi dan video, baru-baru ini.


HAMIDIN Mohd. Amin diapit busana baharu pasukan Harimau Malaya, kandang (kiri) dan tandang (kanan). - Kredit foto FAM. 


Kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, “jersi home baharu ini biarpun ringkas, tampak lebih kemas dengan reka bentuk berkolar manakala pemilihan warna baharu bagi jersi away pula akan memastikan semangat Harimau Malaya kekal membara.

"Pasukan Harimau Malaya pasti lebih garang selepas ini kerana kedua-dua versinya menampilkan warna tradisi kita, hitam dan kuning. Dalam setiap aksi pasukan kebangsaan nanti, semangat dan aura Harimau Malaya akan sentiasa bersama para pemain dan penyokong," 

Walau bagaimanapun jersi home Malaysia 2020-2022 terus memelihara warisan dan evolusi pasukan bola sepak kebangsaan dengan mengekalkan warna tradisi kuning sambil digabungkan dengan reka bentuk moden bagi menyerlahkan ciri-ciri peredaran semasa.

Kata Ernest Rodrigues, Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia: "Warna kuning ikonik jersi 'home' ini dipadankan dengan kehadiran warna hitam pada kolar, lengan dan garis corak terkini Nike di bahagian sisi bagi menonjolkan kekemasannya

"Jersi 'away' ini mencerminkan semangat muda dan budaya ekspresif pasukan kebangsaan sambil memberikan penghormatan kepada Harimau Malaya yang kaya dengan tradisinya," ujarnya.


PEGAWAI-PEGAWAI kanan FAm menayangkan jersi baharu pasukan negara keluaran Nike. Ernest Rodrigues (tiga dari kanan). - Kredit foto FAM. 


Harimau Malaya yang kini menghuni ranking ke-153 dunia, akan kembali menyambung baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G yang ditunda sejak 8 Mac 2020 ke Mac 2021 dan Piala AFF 2020 yang ditunda dari bulan lalu ke 11 April 2021.

Jersi baharu pasukan kebangsaan Malaysia 2020-2022 yang berharga RM299 setiap satu home dan away sudah boleh didapati mulai 4 Disember 2020 di kedai-kedai Nike terpilih dan atas talian, www.nike.com/my dan www.al-ikhsan.com manakala secara kehadiran mulai 11 Disember 2020. - KitaReporters 

HARIMAU Malaya pernah 'diselubungi' duka dengan seragam serba hitam ini ketika tersingkir seawal peringkat kumpulan Piala AFF 2016 di Yangon.  


SERBA putih yang berdasarkan ciri-ciri Jalur Gemilang, turut pernah turut mewarnai penampilan Harimau Malaya. 


JERSI biru-merah dan seluar putih hanya pernah disarung Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan tidak rasmi dengan Maldives di Seremban, Negeri Sembilan pada 5 November 2019. - Kredit foto FAM. 



1
0
0
0
0
You will be interested