WALAUPUN kita sedang berhadapan serangan virus maut Covid-19 yang tiada hujung pangkalnya, ia bukanlah alasan untuk seseorang itu meninggalkan tanggungjawabnya. Ini termasuklah wakil rakyat yang diangkat hasil daripada pilihan rakyat dalam proses pilihan raya.
Atas kesedaran itu, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias mengambil pendekatan untuk terus turun padang, namun diadaptasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang khusus.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pandu lalu:
https://kitareporters.com/search?search=pandu+lalu
Pada Isnin, 15 Februari 2021, buat pertama kalinya Jalaluddin menjayakan sesi penyampaian sumbangan awal persekolahan secara pandu lalu atau 'drive thru'.
Berkongsi perkara tersebut, Jalaluddin menyifatkan beliau terpaksa mencari jalan untuk menolong rakyat yang berada dalam kesempitan, walaupun pandemik Covid-19 masih serius menjadi musuh utama negara dikala ini.
"Sebentar tadi saya bersama YB Razi (ADUN Sg. Lui) dan YB Azmi (ADUN Pertang) hadir ke Sesi Penyampaian Bantuan Awal Sekolah di Sekolah Kebangsaan Amar Penghulu, Jelebu.
"Selaku wakil rakyat, kami akur dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) agar semua pihak mengutamakan amalan norma baharu setiap masa," katanya dalam hantaran dalam laman Facebook miliknya.
Walaupun bergelar Yang Berhormat (YB), beliau dan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Jelebu tetap akur dengan perintah pihak berwajib.
"Jadi kami semua mengambil langkah berbeza tahun ini dengan menyampaikan bantuan awal persekolahan secara pandu lalu (drive thru). Bukan saja restoran makanan segera yang ada konsep sebegini, kita pun pun sudah mula meniru kaedah ini," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad tidak kisah akan cara sumbangan disalurkan kepada rakyat, asalkan ia mampu memberi manfaat kepada yang memerlukan.
"Tak kisahlah apapun caranya, yang penting rakyat dapat terima sumbangan untuk meringankan bebanan hidup mereka, dan arahan pihak berwajib sentiasa dipatuhi.
"Terima kasih diucapkan kepada PPD Jempol/Jelebu dan pihak pengurusan SK Amar Penghulu atas inisiatif dan kerjasama ini.
"Semoga kita dapat kurangkan beban ibu bapa, guru dan murid sempena sesi persekolahan ala norma baharu ini nanti," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut melakukan ziarah kasih ke rumah penduduk kampung setempat untuk memberi sumbangan dan memberi penerangan kepada penduduk akan kepentingan mengalakkan norma baharu ketika tempoh pandemik Covid-19 ini.
"Jumpa waghih-waghih terdekat, jiran tetangga dan sahabat handai di rumah mereka.
"Syukur ada sedikit sumbangan diberikan kepada mereka. Moga-moga dapat meringankan beban kesan daripada pandemik Covid-19 ini.
"Banyak tanda ada, sedikit tanda ingat. Semoga orang kampung saya sentiasa sihat dan dilindungi olehNya sentiasa, amin," tulisnya dalam laman Facebook pada Isnin, 15 Februari 2021. - KitaReporters