aBERTAHUN-TAHUN menyanyi tak ada orang nak kecamnya tapi baru lima minggu berada dalam program Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh (GV7) pelbagai kecaman dan kata-kata pedih diterima oleh penyanyi Ashira. Dia dituduh sengaja menjaja cerita-cerita duka kehidupannya. : KitaReporters
Program Gegar Vaganza 7 membuatkan Ashira ingin kembali aktif dalam bidang seni suara. - Kredit foto: IG Ashira
Lagi kisah-kisah berkaitan Gegar Vaganza:
https://kitareporters.com/search?search=gegar+vaganza
Ashira atau nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 35, yang popular dengan lagu Di Ombak Resah, dikatakan sengaja menjaja cerita tentang kehidupannya yang dihalau dari rumah sewa dan terpaksa berpisah dengan anak tunggalnya, Megat Shazril Haziq Hadi, 14.
Menurut Ashira, beliau tak berkecil hati dengan komen negatif netizen, cuma rasa sedih kerana orang ramai salah sangka terhadapnya.
“Saya tak kecil hati, cuma sedih sebab awal-awal lagi, saya memang tak nak orang tahu apa yang terjadi pada saya. Tapi bila orang bertanya, takkan saya nak menipu. Saya perlu cakap benda yang betul apabila media tanya, macam mana kehidupan sekarang?
“Yang kecam-kecam ni saya tak ambil pusing. Saya faham mereka ada hak untuk bersuara tapi bila ada yang cakap, Shira dari mula sampai minggu kelima, asyik cerita sedih untuk raih simpati juri, itu saya tak boleh terima.
“Kalau betul saya nak raih simpati juri dan mereka memang simpati dengan saya, setiap minggu saya akan Top 3, tapi kedudukan saya atas bawah juga. Minggu kelima, barulah buat pertama kali saya dapat nombor dua, alhamdulillah,” katanya yang mendendangkan lagu Dengarkanlah, berduet dengan Mark Adam untuk minggu keenam.
Ashira yang ditemui di Kota Damansara baru-baru ini berkata, dari awal lagi dinasihatkan oleh ayahnya, agar tidak membaca komen netizen.
“Saya
sebenarnya tak baca pun yang kecam-kecam ni. Awal tu saya ada baca, waktu
mula-mula sertai. Keluarga saya terutama ayah, pesan kat saya jangan baca dan
saya memang tak baca. Saya terbaca benda-benda yang orang akan tag nama saya
dan ternampaklah komen itu.
“Pada saya, tak ada langsung terniat nak meraih simpati. Ini benda betul. Kisah ini terjadi bukan saja pada saya, orang lain pun ada yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Cumanya sebab saya adalah penyanyi kelab malam dan bukan seperti pramugari yang bagus pada mata netizen.
“So, saya macam terdiam je la, tak apa rezeki daripada Allah. Saya tak ada niat langsung nak raih simpati, kalau tak suka tak payah tengok. Itu saja pada saya,” katanya yang kini mula bersemangat apabila anaknya berada di depan mata.
Berduet dengan Mark Adam sewaktu persembahan pada minggu keenam.
Kata Ashira, anak merupakan pembakar semangatnya dan apa yang dilakukan oleh pihak Astro amat dihargai. Malah sepanjang ‘berpisah’ dengan anaknya, Ashira jarang menghitung hari kerana tidak mahu bersedih.
“Bila anak
di samping, memang semangat saya lebih. Dia memang penyumbang terbesar untuk
semangat saya. Sejak kena keluar rumah, waktu sidang media GV hari tu, tak
jumpa sehinggalah Astro bawa jumpa.
“Saya tak nak kira berapa lama terpisah sebab nanti sedih. Sekarang kesedihan dah tak ada sebab dapat tengok dia di depan mata walaupun sekejap. Saya tahu dia okey dan bagi dia makan walaupun tak macam dulu, boleh masak hari-hari, tapi saya happy,” ceritanya dengan ceria.
Ashira dengan anaknya, Megat Shazril Haziq Hadi
Beliau yang bakal mendendangkan lagu Sekilas Senyumanmu (Fauziah Latiff) untuk minggu ketujuh berkata, beliau tidak terasa dengan komen juri kerana apa yang diperkata oleh juri ada benarnya.
“Masa kat kedudukan bawah, lagi tertekan sebab orang mengharapkan saya berada di kedudukan yang sepatutnya, tapi saya mengaku, bila dengar balik nyanyian saya memang banyak sangat kesalahan dalam nyanyian saya.
“Telinga
kita dengan telinga juri tak sama. Apa yang mereka dengar dan itu yang saya
dengar balik, memang betul. Saya setuju dengan kedudukan tempat kat bawah itu.
Tapi bila dah dapat Top 2 (minggu kelima), lagi terasa tekanan. Orang mengharap
kita maintain dan jangan turun lagi. Perkara itu memang stress dan saya cuba
buat yang termampu untuk setiap lagu yang diberikan kepada saya,” ceritanya
tentang perasaan sepanjang menyertai GV7.
Biarpun pada awalnya Ashira tak pernah terfikir untuk comeback, namun sejak menyertai GV7, perasaan untuk kembali aktif menguasai dirinya.
Semangat Ashira kini kembali kuat selepas anaknya dibawa bertemu dengannya oleh pihak Astro.
“Saya tak pernah terfikir untuk comeback, kalau bukan pasal GV, saya tak akan berada di sini. Bila dah dapat peluang begini, dan GV adalah platform yang sangat bagus. Tambah pula bila dapat tahu ramai yang menyokong saya dari dulu sampai sekarang dan peminat baharu, semangat untuk menghiburkan orang ramai sudah ada.
“Insya-Allah, kalau rezeki saya sampai ke final, kalau tak sampai pun saya akan teruskan. Mungkin akan keluarkan single untuk mereka yang sokong. Saya betul-betul rasa terkejut dan tak sangka masih ramai yang menyokong saya. Dari yang dulu dan sampai yang baharu. Alhamdulillah, ini salah satu penyuntik untuk saya sebab tak pernah terfikir untuk comeback,” katanya yang mula menyanyi sejak usia 14 tahun.
Sejak menyertai GV7, ramai yang ajak Ashira kahwin tapi hatinya belum terbuka untuk cari pengganti.
Ashira yang sudah lima tahun bergelar ibu tunggal berkata, dalam sibuk membuat persiapan untuk GV7, ada juga peminat nakal yang DM (direct message) ajak beliau berkahwin.
“Banyak DM kat Facebook dan Instagram. Ada yang cakap, awak janda, saya duda, apa lagi yang awak nak? Siap bagi nombor telefon dan ada yang ajak kahwin dan berkenalan. Bila dapat mesej begitu, saya hanya baca dan stalk balik untuk tahu siapa mereka.
“Alahai, kebanyakannya
tua. Bukan memilih tapi saya ini dah boleh jadi pangkat anak kepada mereka. Mungkin
dah terlalu lama hidup single dengan anak saja, jadi tak terfikir lagi nak cari
pengganti dan hati tak terbuka lagi,” katanya terus terang. - KitaReporters