Seni & Sukan 04 Mar, 2022

Video| Zizi Kirana tak mahu kena Pijak lagi! Mahu berduet bersama suami! Sambil bayangkan anak!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Pemenang  Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35, Zizi Kirana, 37 atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil tidak menolak single terbaharunya ‘Pijak’ merupakan kesinambungan kepada lagu terdahulu ‘Eh’ dengan mesej terselindung.

‘Pendek kata, lagu ini menggambarkan sikap seseorang yang suka pijak kepala. Ini antara cara untuk saya sampaikan nasihat. Bukan nasihat untuk orang saja, tapi untuk saya sendiri supaya tidak ambil kesempatan atas orang lain,” akui Zizi Kirana ketika ditemu bual secara virtual dalam sidang akhbar lagu ‘Pijak’ pada 3 Mac 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Zizi Kirana

Zizi Kirana pada sidang media secara virtual yang dihoskan oleh pengacara Munaa Bella,


Keberaniannya menegur sikap segelintir pihak menerusi lirik dalam lagu bukan sekadar satu bentuk hiburan semata, tapi lebih pada ingin menyatakan suara dan isi hati, berkenaan apa yang berlaku di sekeliling hari ini.

“Jadi kita perlu saling menasihati antara satu sama lain dan sebab itulah ada kesinambungan antara lagu ‘Eh’ dan lagu ‘Pijak’  yang menceritakan mengenai orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan dan kelemahan orang lain,” tambahnya.

Berkongsi lanjut, Zizi turut mengakui pernah berdepan situasi seperti yang diluahkan dalam lagu ‘Pijak’ namun anggap ia satu ‘sejarah hitam’ yang tidak mahu atau perlu dikenangkan melainkan memaafkan sahaja perkara yang berlalu.

“Tidak manis untuk saya ceritakan pengalaman itu dan menyentuh sesiapa,” ujar Zizi berhubung lagu ciptaannya bersama Navigator dan Mambang itu.




Menurut Zizi beliau selesa mengekalkan pasukan yang sama iaitu Mambang dan Navigator memandangkan mereka tahu apa yang sesuai dengan jiwanya.

“Dari segi muzik memang Navigator yang menjalankan tanggungjawab itu seperti biasa dan saya suka bekerja dengan dia. Untuk lagu saya selesa bekerja dengan Mambang. Sewaktu bekerja pada tahun lepas kami semua hanya melalui telefon sahaja,” kenang Zizi.

Pun begitu katanya, beliau amat teliti untuk memberikan yang terbaik dan kerana itu walau pun lagu berkenaan sudah dicipta dua tahun lalu tetapi disebabkan PKP, rakaman terpaksa ditangguhkan.

“Saya ada cuba rekodkan suara di rumah malah selubung dalam selimut tebal lagi sebab tidak mahu ada gangguan bunyi lain di luar tetapi sudah tentu kualitinya tidak sama. Jadi hanya selepas tamat PKP baharulah saya ke studio untuk membuat rakaman sebenar dan baharu rasa puas,” cerita Zizi.



Dalam pada itu dengan perubahan imejnya kini malah sudah pun bergelar isteri kepada pelakon Yusof Bahrin, Zizi bukan lagi yang dahulu…yang digelar seksi tetapi kini berhijab.

“Dengan status sekarang sudah tentu tidak manis lagi untuk saya menari terkinja-kinja dan melompat sebagainya sehingga terasa gementar apakah peminat masih dapat menerima ZIzi dalam lagu bergenre rap,” luah penyanyi berasal Sabah ini.

Namun kegusarannya seketika sahaja apabila tanpa disangkanya penerimaan peminat terhadap lagu ‘Pijak’. amat memberangsangkan di mana dalam masa sehari dimuat naik dalam ‘Tik Tok’ sudah mampu menarik kira-kira 1.8 juta tontonan.

”Memang saya terkejut dan tidak sangka masih ramai yang sukakan lagu begini,” jelas Zizi dalam nada gembira.



Beralih kepada perkembangan lanjutnya, Zizi berharap dapat menghasilkan sebuah lagu duet bersama suaminya memandangkan Yusof yang dipanggil ‘Sayang’ boleh menyanyi.

“Kalau kat rumah dia yang banyak bernyanyi karaoke daripada saya cuma lagu yang disukainya berentak ala Hindustan atau balada gitu, jadi mungkin satu hari nanti saya akan belajar untuk menyanyikan lagu berentak balada pula khas untuknya,” Zizi membayangkan.

Pun begitu tambahnya, bagi meraikan bulan Ramadan, beliau bakal tampil dengan sebuah lagu bergenre keagamaan  dan selawat bersama penyanyi-penyanyi lain.

Tidak menolak kehadiran seorang cahaya mata, Zizi memberitahu tidak ada sebarang perancangan malah terima rezeki  kurniaan Allah SWT mengikut kehendak-Nya.

“Saya sudah membayangkan jika pergi studio rakaman bernyanyi, akan ada anak yang temankan bersama,” ujarnya dalam ketawa kecil sambil menambah kata tidak akan berhenti menyanyi selagi mendapat keizinan suami.

“Jiwa seni sudah tebal dalam diri saya malah saya suka menyanyi dari usia 3 tahun, jadi belum lagi terbayang untuk berhenti menjadi penyanyi selagi suami mengizinkan,” akhirnya yang tidak sabar untuk berpuasa bersama suami tercinta,

Zizi dan Yusof diijabkabulkan  pada 19 September 2021 dalam majlis tertutup di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur tepat jam 10.40 pagi tanpa kehadiran pihak media. - KitaReporters



15
7
0
13
0
You will be interested