Seni & Sukan 21 Aug, 2020

Produk sukan berjenama murah! Moh ke karnival sukan di PWTC!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this

SIAPA peminat produk sukan berjenama asli dan berkualiti tinggi? Tetapi apabila fikirkan harganya yang bernilai ratusan ringgit malah ada juga yang berharga ribuan ringgit tentu sekali anda akan berfikir dua kali untuk membelinya apatah lagi ketika ekonomi tidak begitu mengizinkan dalam tempoh dilanda wabak COVID-19 ini. Namun, ada berita baik untuk anda!! : KitaReporters 


Majlis pelancaran disempurnakan oleh Roshtman Ibrahim (dua dari kiri) bersama Dr. Irmohizam (tengah) dan Vach Pillutla (dua dari kanan) di WTC Kuala Lumpur pada 20 Ogos 2020.


Lagi cerita-cerita berkaitan sukan:

https://kitareporters.com/search?search=sukan


Apa kata kunjungi Karnival Sukan Terbesar 2.0 yang kini sedang berlangsung sehingga 31 Ogos 2020.

Bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, karnival sukan terbesar anjuran Al-Ikhsan bersama Football Republic dan PWTC ini menyediakan kira-kira 170,000 unit barangan pelbagai jenama sukan terkenal seperti Adidas, Puma, Nike, Lotto, Acis, Umbro, Skechers dan banyak lagi.

Pendek kata, rambang mata melihat begitu banyak barang yang dijual pada potongan harga sehingga 80% bukan sahaja jualan kasut malah baju-T dan pelbagai lagi untuk dewasa dan kanak-kanak.

Wow! Bayangkan baju-T jenama Lotto boleh dibeli pada harga RM39 berbanding harga asalnya yang sudah tentu amat mahal, manakala kasut sukan contohnya yang biasanya berharga lebih kurang RM1,200, kini boleh dibeli pada harga RM599 sahaja. 

Banyak jimat tu kan? 


Tetapi dalam pada itu mesti korang tertanya-tanya kan selamat ke berada di sebuah karnival yang tentu sekali dikunjungi ramai dalam tempoh PKPP ini?

“Jangan bimbang kerana kami akan pastikan segala SOP dilaksanakan kerana setiap pengunjung perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup muka, suhu badan diperiksa dan perlu mencatatkan biodata serta nombor telefon masing-masing,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Vach Pillutla pada majlis pelancaran karnival berkenaan.


Turut hadir bersama  Pengarah Eksekutif PWTC Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Dato Rosthman Ibrahim selaku Presiden Kelab Peminat Manchester United atau dikenali ‘Red Army Malaysia’ serta bekas  pemain bolasepak Selangor, Shahril Arsat.

Bersama meraikan kemeriahan festival bagi menarik pengunjung terdiri daripada tiga selebriti tanah air, pelakon Roy Azman, Adeline Tsen dan penyanyi yang popular dengan lagu ‘Amalina’, Santesh Kumar.

Roy Azman mengajak orang ramai hadir ke karnival sukan yang kini sedang berlangsung di PWTC. - Kredit foto: Alias utvmedia.


Sementara itu, seperti tahun lalu, Red Army Malaysia membuka peluang kepada peminat Kelab Manchester United untuk menjadi ahli sambil berpeluang memenangi 10 tiket hadiah cabutan bertuah ke Stadium Old Trafford di England.

“Sebagai ahli mereka bukan sahaja berpeluang memenangi tiket itu bahkan dengan menunjukkan kad keahlian di mana-mana kedai Al-Ikhsan dan Football Republic, mereka boleh mendapat diskaun lumayan, malah kami juga akan memberikan ‘goodies’ edisi terhad,” ujar Rosthman sambil memberitahu yuran keahlian cuma RM50 sahaja.

Menurut beliau, orang ramai yang hadir pada majlis jamuan malam yang dijangka akan diadakan di Melaka dalam beberapa bulan lagi  berpeluang memenangi cabutan bertuah tersebut.

“Selain itu siapa yang berminat untuk menjadi ahli Kelab Manchester United UK juga boleh membuat permohonan secara dalam talian terus ke laman web rasmi kelab berkenaan,” akhiri Presiden Red Army Malaysia itu yang turut memeterai kerjasama selama semusim bersama Al-Ikhsan.

Apa pun, jika fikiran korang sekarang ni nak rebut produk sukan asli berjenama dengan harga berbaloi eloklah ke PWTC, di mana karnival akan bermula setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 10 malam sehingga 31 Ogos 2020 ini. - KitaReporters

Roy Azman. Adeline Tsen dan Santesh Kumar sempat melakukan 'tik tok' bersama sebelum membeli-belah. - Kredit video: IG @royazman30

0
2
0
0
0
You will be interested