Seni & Sukan 05 Sep, 2021

Budak rempit ‘tiada masa depan’ kini gegar dunia! Pertahan emas Paralimpik! Tahniah Latif Romly!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Abdul Latif Romly mempertahankan pingat emas Paralimpik di Tokyo. - Kredit foto: MSN


SEWAKTU berusia enam bulan, dia kerap mengalami kekejangan yang berlanjutan sehingga berumur lebih setahun. Tapi, dia seorang yang lasak dan tidak pernah duduk diam. Ketika berumur enam tahun, dia digigit oleh 14 ekor tebuan kerana mengusik sarangnya.

Bila masuk sekolah, dia tidak minat belajar malah kerap ponteng. Tahap pembelajarannya sangat lemah, sehingga menjejakkan kaki ke sekolah menengah, dia belum mampu menulis mahupun membaca.

Apabila meningkat remaja, dia terbabit pula dengan aktiviti lumba motor haram. Malah, dia dikenali sebagai ‘kepala rempit’ kerana pengaruhnya yang kuat dalam kalangan remaja yang sama-sama merempit bersamanya.

Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengutuskan ucapan tahniah kepada Latif atas kejayaannya memenangi emas Paralimpik 2020, Tokyo.  


Itu adalah antara cerita mengenai jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly yang pernah dikongsi oleh ibunya, Salmah Yatim dengan penulis.

Ia kisah silam Latif, 24, anak muda yang pernah mencetuskan kerisauan keluarga dengan pelbagai ragamnya sejak kanak-kanak. Hari ini, budak yang pada suatu ketika dianggap tidak punya masa depan itu sudah bertukar menjadi wira negara.

Pada Sabtu, 4 Ogos, 2021, Latif sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 lelaki pada Sukan Paralimpik 2020, Tokyo sekali gus mempertahankan kemenangan yang diciptanya pada Paralimpik edisi 2016 yang berlangsung di Rio de Janeiro.


Latif melakukan lompatan pada jarak 7.45m. - Kredit foto: MSN 


Menurut Salmah, sebelum membabitkan diri dengan sukan, Latif, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu tidak memberi apa-apa harapan kepada keluarga sebaliknya kerap memeningkan kepala mereka.

“Bila masuk sekolah, Latif tidak minat belajar malah kerap ponteng. Kalau dia tidak mahu ke sekolah, dipaksa bagaimana sekalipun dia tetap tidak akan pergi. Sehingga darjah enam dia masih belum mampu menulis dan membaca.

“Apabila bersekolah menengah, Latif pada mulanya ditempatkan ke kelas khas tapi dia minta ditukarkan ke kelas biasa kerana malu. Tapi, bila dipindahkan ke kelas biasa, dia semakin ketinggalan. Semasa berumur 15 tahun, baru dia boleh membaca dan menulis, itu pun sedikit-sedikit.


Latif bersama ibu bapanya, Salmah Yatim dan Romli Mat.


“Cikgu kerap mendendanya sama ada kena berdiri di atas kerusi atau dihukum semasa perhimpunan kerana ponteng kelas. Selalunya,dia akan keluar dari kelas apabila tidak suka sesuatu mata pelajaran atau cikgu yang mengajarnya. Dia tidak pergi jauh, tapi sekadar bersembunyi di dalam tandas,” cerita Salmah.

Begitupun, satu kelebihan Latif adalah dia menjadi harapan sekolah dalam sukan dengan menyertai beberapa acara seperti lompat jauh, lompat tinggi, bola sepak, futsal dan lain-lain.

“Mereka (cikgu) terutama Cikgu Chot dan Cikgu Sanusi sanggup mencari Latif di rumah jika dia tidak turun berlatih. Malah, mereka menjemput dan menghantar serta membelanjanya makan semata-mata mahu memastikan dia datang berlatih.

“Seorang lagi guru yang banyak memberi galakan ialah Cikgu Alauddin. Walaupun bukan mengajar di sekolah sama namun dia tinggal sekampung dan menyedari bakat yang dimiliki Latif. Dia kerap memberi duit belanja malah pernah membeli kasut sukan untuk anak saya itu,” ujar Salmah.


Semasa di bangku sekolah, Latif aktif dalam pelbagai bidang sukan. - Kredit foto: Album keluarga.


Pembabitan anak jati Kampung Ketiri, Perlis itu dalam sukan bermula di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Tunjung, kemudian Sekolah Menengah Syed Alwi, sebelum mewakili negeri dalam kedua-dua kategori iaitu normal dan kurang upaya.

Walaupun secara fizikalnya, Latif tidak mengalami sebarang kecacatan namun dia dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami ketidakmampuan intelektual (intelectual disability).

Kemampuan Latif memenangi emas acara lompat jauh pada Sukma 2014 di Perlis telah membuka mata Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia untuk membentuknya menjadi atlet Paralimpik kebangsaan.

“Sejak dia aktif bersukan sehingga mewakili negara, kami sekeluarga berasa sangat lega dan tidak lagi serabut kepala memikirkan tingkah lakunya.

“Dulu, saya selalu risau bila memikirkan mengenai Latif, sudahlah tidak ada masa depan dalam akademik, suka merempit pula.


Latif bersama rakan-rakan sekolahnya. - Kredit foto: Album keluarga.


“Walaupun keadaannya tidak sesempurna orang lain tapi pengaruh Latif dalam kalangan kawan-kawan sebayanya cukup kuat. Kalau tak ada Latif, tak adalah rempit, muncul saja Latif berderumlah bunyi motosikal budak-budak kampung merempit. Sebab itu saya dia panggil dia ‘kepala’ rempit.

“Tapi sejak Latif ke Kuala Lumpur, budak-budak yang dulu aktif merempit juga senyap sunyi. Aman Kampung Ketiri. Malah, kalau Latif balik sekarangpun, dia dan kawan-kawannya tidak merempit lagi,” ujar Salmah.

Apabila terpilih mewakili negara, Latif tidak menunggu lama untuk mencipta nama di pentas antarabangsa. 

Dalam penyertaan pertamanya pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014, dia membawa pulang pingat emas acara lompat jauh T20 yang kemudian dipertahankan pada kejohanan sama di Jakarta pada 2018.

Dia terus mendominasi pentas antarabangsa apabila memenangi emas Kejohanan Para Dunia di Dubai pada 2015 dan 2017 di London.


Latif mencipta rekod dunia pada Sukan Paralimpik 2016, Rio de Janeiro. - Kredit foto: MSN


Namun, kejayaan paling manis bagi Latif adalah  Sukan Paralimpik 2016 di Rio apabila dia memecah rekod dunia sebanyak tiga kali dengan catatan terbaiknya adalah 7.64m.

Kejayaan itu melayakkan Latif dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2016, atlet para pertama memenangi anugerah berprestij itu.

Pada Paralimpik kali ini, Latif gagal memecahkan rekodnya dengan mencatat 7.45m selepas mengalami kecederaan pangkal paha semasa lompatan kelima. Namun, ia sudah cukup untuk mempertahankan emas yang dimenangi di Rio, lima tahun lalu.

Kejayaan Latif itu ditonton secara langsung oleh  Salmah; suaminya, Romly Mat serta keluarga lain yang setia menunggu di depan televisyen dengan penuh debar. 

Tahniah Latif! - KitaReporters

Ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

19
11
0
16
0
You will be interested