Seni & Sukan 22 Sep, 2019

SELAMAT PENGANTIN BAHARU ZAMANI SLAM, SUFIE RASHID

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this
HANYA selang sehari, dua penyanyi, dari angkatan lama dan baharu, Zamani ‘Slam’ serta Sufie Rashid menamatkan zaman bujang masing-masing dengan membawa gelaran ‘suami’.


Gambar atas: Zamani bersama isteri, Nur Juliana dan gambar bawah, Sufie Rashid dengan Nurulain Md Yusof pada majlis akad nikah masing-masing.


Mendahului, pemilik nama penuh Zamani Ibrahim,  48, membuat kejutan apabila selamat bernikah dengan pembantu peribadinya, Nur Juliana Abdul Rani, 36, dalam satu majlis secara tertutup semalam. (20 September). 

Majlis akad nikah Zamani. Foto dari IG Zime Production.

Manakala dengan sekali lafaz juga, Juara AF2015, Sufie Rashid, 28,  selamat bergelar suami kepada Nurulain Md Yusof pada majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya pagi tadi (21 September).

Sufie atau nama sebenarnya, Mohammad Sufie Rashid dinikahkan oleh ayah pengantin perempuan sendiri, Md Yusof dengan disaksikan Pendaftar Nikah Putrajaya, Ustaz Hasli Othman.

Majlis akad nikah Sufie Rashid yang berlangsung di Pulse Grand Hotel, Putrajaya pagi tadi (21 September).

Baik Zamani mahu pun Sufie, kedua-dua majlis dilangsungkan secara tertutup dengan kehadiran keluarga terdekat sahaja demi menghormati permintaan pihak kedua-dua buah famili.

Menerusi entri yang dimuat naik di laman Instagram Zamani Ibrahim Music Entertainment (Zime), Zamani memohon maaf jika ada yang terguris perasaan apabila majllis berlangsung tanpa pengetahuan media dan khalayak.

Pun begitu, Zamani berjanji akan mengumumkan tarikh majlis resepsi yang akan diadakan kelak, manakala Sufie Rashid telah menetapkan majlis resepsinya diadakan  esok (22 September) bertempat di  Glam Hall, Mustapha Kamal, Damansara Perdana, Selangor.

Seperti Sufie, Zamani turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan bersama sebentuk cincin mengiringi mas kahwin RM300, manakala mas kahwin Sufie pada jumlah sama, namun dalam dolar Singapura SG300 (kira-kira RM910.02)  serta wang hantaran melalui cek berjumlah RM20,0000.

Bagi pihak Zamani tiada pula maklumat berhubung wang hantaran, namun pasangan yang telah mengenali hati budi masing-masing sejak 14 tahun ini  dikatakan mengambil keputusan bernikah awal kerana mahu menunaikan umrah bersama tidak lama lagi.

Sufie mengikat tali pertunangan dengan pengasas produk makanan Krispy Krunchee, Nurulain Md Yusof pada 15 December 2018, manakala Zamani pernah membuat kejutan mengumumkan akan bertunang dengan Nur Juliana pada sebuah majlis Ceria Aidilfitri Bersama Zamani yang berlangsung pada 16 Jun lalu.

Sementara itu, rata-rata peminat kedua-dua penyanyi ini meninggalkan ucapan tahniah dalam ruangan komen masing-masing serta mendoakan kebahagiaan rumah tangga mereka dengan  titipan “Selamat Pengantin Baharu”.

Tahniah! Moga berkekalan hingga jannah dari team KitaReporters.

2
0
0
0
0
You will be interested