‘MAKUTA’ itulah judul lagu terbaharu pilihan duo hip hop popular, Kmy Kmo dan Luca Sickta yang kali ini memilih penyanyi yang digelar mereka sebagai ‘legenda’ muda, Hazama, setelah merakamkan tiga single dengan legenda tersohor seperti Dato M. Nasir, Dato Jamal Abdillah dan Dato Seri Siti Nurhaliza sebelum ini.
Melalui M. Nasir terhasilnya lagu ‘Zuhud’ diikuti ‘7 Nasihat’ daripada Siti Nurhaliza serta ‘Neraca’ daripada Jamal Abdilah tetapi kali ini ada kelainan apabila memilih judul ‘Makuta’.
Lagi
Apa sebenar maksud Makuta?
“Makuta yang bermaksud mahkota dari bahasa Sunda ini mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi yang berlaku pada dunia pekerjaan mahu pun kehidupan harian kita,” ujar Kmy atau nama sebenarnya, Lukmanul Hakim.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh dua penyanyi muda ini sememangnya memiliki mesej yang cukup mendalam selain menggabungkan elemen hip hop dan rock serta konsep Nusantara.
“Makuta atau 'Mahkota' juga lebih menjuruskan kepada ketua, pengurus, dan juga wanita kerana golongan ini mempunyai mahkota tersendiri dengan kuasa yang dimiliki. Mereka mampu membawa setiap agenda atau tanggungjawab itu ke arah kebaikan atau sebaliknya dengan mempergunakan Makuta/Mahkota sebagai senjata kuasa veto,” Kmy berpendapat.
Menurut beliau lagi, penghasilan Makuta menitikberatkan gambaran serta amaran yang sudah dan bakal berlaku dalam memberi kesedaran kepada pendengar secara menyeluruh.
“Tidak dinafikan pengurus atau ketua yang diberikan mahkota dalam satu perbadanan mampu mengubah pengikut-pengikut menjadi lebih baik dengan penuh rasa tanggungjawab, malah golongan ini juga mampu mempergunakan pengikut-pengikutnya dengan kuasa “Mahkota” yang diamanahkan demi kepentingan diri sendiri.
Tambah Kmy, jika dilihat daripada sudut wanita, ‘Mahkota’ boleh disifatkan sebagai sesuatu yang berharga dan dalam masa sama mampu menjadi senjata yang berbahaya atau membunuh jika ia digunakan dengan niat jahat,”
Wah! Begitu tersurat dan tersirat maksud di sebalik buah tangan terbaharu mereka ini malah pemilihan Hazama diputuskan selepas mengambil kira bakat, karakter dan personaliti seorang penyanyi rock,
“Saya melihat kehadiran Hazama ini sebagai seorang legenda muda. Hazama juga seorang penyanyi yang sangat kami hormati dengan bakat dan karakternya yang begitu bersahaja,” jelas Kmy.
Sementara itu, mengulas pembabitannya bersama Kmy dan Luca, Hazama meluahkan penghargaanya dapat berkolaborasi bersama kedua-dua penyanyi rap berkenaan yang telah bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri seni tanah air seperti M. Nasir, Jamal dan Siti Nurhaliza.
“Saya berpendapat, Makuta adalah satu naskhah yang penuh berisi dan saya berikan sepenuh jiwa untuk menggalas tanggungjawab menyumbangkan suara dalam karya hebat ini agar sampai ke hati para pendengar” kata pelantun lagu ‘Relakan Jiwa’ ini sambil menganggap Kmy dan Lua perlu diberikan perhatian yang lebih apatah lagi lagu mereka memiliki mesej yang cukup mendalam.
Beralih mengenai cabaran menghasilkan lagu Makuta, Luca berkata, lagu terbabit sepatutnya dilancarkan lebih awal namun disebabkan pandemik Covid-19, pihaknya tidak dapat memperdengarkan kepada peminat sehingga dirinya sukar untuk bergerak menghasilkan lagu seterusnya.
“Demo pertama dirakam pada 2020 sebelum pandemik dan vokal Hazama dirakam pada pertengahan tahun lepas. Saya akui proses kali ini agak ‘slow & steady’ kerana jadual pengeluaran kami terpaksa ditangguhkan hampir dua tahun kerana wabak berbahaya ini.
“Bagaimanapun berpeluang berkerjasama dengan penyanyi yang bersuara rock ini sangat menyeronokkan. Kami cuma perlukan satu sesi rakaman, walau konteks lagu ini agak serius tapi Hazama berjaya menghadam lirik lagu ini dengan cepat,” sambung Luca atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin seraya memberitahu muzik video (MV) Makuta masih mengekalkan produksi Cinema Malaya selepas kejayaan menghasilkan tiga MV terdahulu.
Tambahnya lagi, Hazama adalah seorang penyanyi yang sangat menjiwai setiap apa yang di amanahkan.
“Dia tahu apa itu seni lagu dan seperti yang semua tahu setiap lagu yang disampaikan Hazama menusuk ke kalbu,” akhiri Luca Sickta puas. - KitaReporters