Seni & Sukan 27 Jul, 2021

Jenama tempat lain, buat di tempat lain! Ikan Bekok Tumpat Rohani semakin popular dalam talian!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Rohani Ya memilih ikan gelama segar untuk menghasilkan ikan bekok yang berkualiti.


HANYA bermodalkan RM50, menggunakan jenama jajahan lain tetapi menjalankan perusahaan itu di jajahan lain, kini ikan bekok yang diusahakan oleh Rohani Ya, 51, semakin popular termasuk dijual secara dalam talian.

Ikan bekok bukan satu nama asing bagi menu di Kelantan, mereka yang terhidu baunya akan terbuka selera apabila ikan itu siap digoreng, diperah asam limau, ditabur bawang goreng serta cili api untuk dimakan bersama nasi pada waktu tengah hari atau bila-bila masa sahaja.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ikan

Ikan Bekok Tumpat dibungkus dalam pek vakum untuk dijual dalam talian dan tempahan penghantaran.


Antara jenama popular menu itu ialah Ikan Bekok Tumpat yang menjadi perusahaan kecil-kecilan keluarga Rohani bersama suaminya Shaari Zakaria, 53, serta anak-anak di Kampung Kubang Golok, di Jajahan Bachok bukannya di Jajahan Tumpat, Kelantan, berdasarkan nama yang digunakan.

Rohani berkata, suami dia seorang nelayan sepenuh masa yang setiap hari akan turun ke laut memukat udang serta ikan dan untuk menambah pendapatan keluarga beliau bersama-sama lima anak dengan dibantu menantu membuat ikan bekok

Menurutnya, mungkin rezeki dia sekeluarga perusahaan kecil-kecilan yang dilakukan bagi mengisi masa lapang itu memberi pendapatan tambahan tidak disangka dan semakin mendapat sambutan di pasaran tempatan selepas diusahakan awal tahun 2020 lalu. 


Rohani memasukkan ikan bekok ke dalam pek vakum bagi memastikan kesegarannya terjamin. - Kredit Foto: Speed Media


Beliau berkata, pada awal mengusahakan ikan bekok itu dia berasa gusar juga apabila menghadapi masalah untuk dipasarkan termasuk mencari pemborong kerana stok ikan itu semakin banyak dan beliau tidak mempunyai peti sejuk beku yang besar.

“Kebetulan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, menantu saya memuat naik perusahaan ikan bekok ini dalam media sosial menyebabkan pasaran ikan itu menjadi agak lancar dan mendapat sambutan di seluruh negara kecuali di Sabah serta Sarawak.

“Ikan yang dijual dalam talian itu disediakan dalam pek vakum bagi memastikan terjamin segar sepanjang tempoh penghantaran dan kini boleh dikatakan hampir setiap hari ikan itu akan diposkan kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya.


Cuaca panas terik sesuai untuk proses membuat ikan bekok daripada ikan gelama.


Rohani berkata, apabila cuaca panas terik adalah faktor utama yang sesuai untuk proses membuat ikan bekok daripada ikan gelama yang akan dijemur selama tiga jam kemudian dibersihkan serta diperap dengan garam kasar semalaman.

Menurutnya, dia dapat proses menjemur 40 kilogram ikan sehari, adakalanya melebihi daripada jumlah itu bergantung kepada permintaan terutama bagi memenuhi jualan dalam talian dan tempahan penghantaran yang mencecah 100 kilogram ikan bekok gelama segar. 

Katanya, beliau kini belum kesampaian untuk membeli peti sejuk beku yang besar bagi membolehkan menyimpan stok ikan bekok dalam kuantiti banyak kerana peti terpakai digunakan sekarang tidak mampu menampung simpanan ikan.

Shaari pula berkata, ketika stok ikan banyak, ia menjadi masalah kepada mereka untuk menyimpan dalam peti sejuk beku kerana peti sejuk ruang bekunya terhad, namun kini beliau berusaha untuk memohon bantuan daripada pelbagai pihak terbabit bagi mendapatkan sebuah peti sejuk beku yang baharu dan lebih besar.


Rohani dan suaminya Shaari memerlukan peti sejuk beku yang besar untuk menyimpan stok ikan bekok.


Menurutnya, selain tempahan menerusi dalam talian mereka juga memerlukan pemborong bagi membantu pemasaran ikan bekok berkenaan lebih cepat di samping dapat memenuhi ketepatan masa untuk sampai kepada pelanggan.

“Bagaimanapun kami sekeluarga perlu berhati-hati untuk berurusan dengan pemborong kerana baru sahaja untuk berkembang maju ada antara mereka yang tidak jujur membuat pembayaran tempahan ikan bekok sehingga kini belum dijelaskan,” katanya.

Kepada mereka yang ingin menikmati menu yang semakin popular dari Kelantan itu boleh membuat tempahan Ikan Bekok Tumpat Rohani secara dalam talian menerusi WhatsApp 010 525 0824. - KitaReporters

Selepas dijemur tengah panas terik selama tiga jam ikan itu akan diperap dengan garam kasar semalaman.

21
1
0
0
0
You will be interested