APAKAH para peminat sukan tanah air dan rakyat Malaysia mahukan?
Melihat pingat emas sulung Malaysia dalam Sukan Olimpik? Menyaksikan Harimau Malaya mengaum buat kali pertama di pentas pusingan akhir bola sepak Piala Dunia? Carta ranking dunia yang sentiasa dikuasai jagoan negara?
Atau bolehkah sukan menjadi satu lagi sumber kekayaan baharu?
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan
ULTRAS Malaya, VSN 2030 inilah peluang anda merencanakan hala tuju Harimau Malaya ke Piala Dunia. - Kredit foto FAM.
Kanvas Visi Sukan Negara (VSN) 2030 membuka peluang untuk anda 'mencoret, mewarnakan dan melakarkan serta menzahirkannya' selepas pelancaran rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican secara maya, pada 7 April 2021.
Ikrar Reezal: “VSN 2030 akan menjadikan tempoh 10 tahun akan datang ini sebagai 'Dekad Emas Sukan Malaysia’."
Kementerian kini menawarkan segala input VSN 2030 daripada rakyat mulai April hingga September 2021 ini menerusi laman sesawang, vsn2030.my, sesi libat urus kumpulan bersasar dan balai raya rakyat (sesi dialog atau townhall).
LEE Zii Jia (kiri), juara baharu Seluruh England kini digalaskan harapan pingat emas sulung Malaysia dalam Sukan Olimpik. - Kredit foto FB Reezal.
Justeru, sesiapa sahaja warganegara Malaysia mampu menjadi sebahagian pemegang taruh sukan tanah air.
Reezal berkata, sesi libat urus berkenaan akan menujukan golongan pemegang taruh seperti persatuan-persatuan dan kelab-kelab sukan, media, pengamal sains sukan dan ahli akademik dan penggiat industri sukan.
GOLONGAN anak muda paling dialu-alukan sebagai pemegang taruh Visi Sukan Negara 2030. - Kredit foto FB Reezal.
”Lain-lain termasuk atlet-atlet, para jurulatih dan pengurus pasukan serta bekas-bekas, anak-anak muda dan penuntut institusi pengajian tinggi serta mantan pentadbir agensi kementerian,” katanya, dipetik daripada siaran langsung menerusi Facebook Majlis Sukan Negara.
Terdahulu kementerian ini pernah mempunyai Dasar Sukan Negara 1988 dan 2009.
“Enam komponen VSN 2030 yang dikenal pasti ke arah mencapainya ialah pembudayaan sukan, kecemerlangan sukan (Program Podium, Pelapis dan bakat baharu).
PENDEMOKRASIAN sukan dalam VSN 2030 turut menuntut penambahbaikan akses kepada fasiliti sukan. - Kredit foto FB Reezal.
"Turut ditekankan nanti ialah pengenalpastian dan pembangunan bakat, hab sukan, pemerkasaan industri sukan dan keterbukaan serta profesionalisme sukan,” katanya.
Jelasnya, VSN 2030 dapat diterjemahkan melalui pendemokrasian sukan dengan menambah baik dan memantapkan penglibatan segenap lapisan rakyat, berdasarkan latar dan geografi, latar ekonomi dan akses kepada fasiliti sukan.
STADIUM Nasional, Bukit Jalil antara gelanggang utama Malaysia yang sudah menyaksikan banyak kejayaan cemerlang sukan dan atlet negara.