Seni & Sukan 23 Jan, 2022

Pening-pening! Teong Kim tak puas hati! Hamidin okey je! Pan-gon bukan jaminan ke Piala Asia?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

HAMIDIN Mohd. Amin (tengah) diapit oleh Dell Akbar Hyder Khan dan Scott O'Donell dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor mengumumkan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya dan rumusan Badan Siasatan Bebas Piala AFF pada 21 Januari 2022. - Kredit foto: FAM


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, Lim Teong Kim mulai tidak berpuas hati dengannya sejak penamatan khidmatnya sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan pada 2018.

Sebelum itu kata Hamidin, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas perantara kebangsaan itu yang turut dicanangkan oleh ramai warganet, baru-baru sebagai yang paling layak menjadi ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, menggantikan Tan Cheng Hoe.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hamidin Mohd Amin

LIM TEONG KIM - Kredit foto: Vocket FC


“Saya dan Teong Kim tiada masalah sebelum ini sehingga saya dan Exco (Jawatankuasa Eksekutif) FAM membuat keputusan menamatkan khidmatnya sebagai ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan.

“Semenjak itu, dia tidak puas hati dengan saya. Selepas pasukan itu tidak layak peringkat tertentu (saingan Kumpulan A Kejohanan B-16 AFC di Bukit Jalil untuk ke Piala Dunia B-17 FIFA di Peru), memang automatiknya (tidak disambung khidmat).

“Ini keputusan kami bersama,” kata Hamidin dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, pada 21 Januari 2022 lalu, mengenai ‘pencalonan’ bekas jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) kelab gergasi Jerman, Bayern Munich dari 2001 hingga 2013 itu oleh warganet.


LIM Teong Kim (kanan, gambar berasingan) yang gagal membantu kemaraan skuad B-16 Malaysia ke pusingan akhir Piala Dunia B-17 di Peru, 2019. - Kredit foto: FAM


FAM selepas mesyuarat khas pertama Exconya pada tahun 2022 ini, mengumumkan warga Korea Selatan, Kim Pan-gon, 52, sebagai pengendali baharu Harimau Malaya dengan kontrak dua tahun dan dua tahun lanjutan bergantung kepada prestasi pasukan.

Hamidin walau bagaimanapun masih membuka pintu Wisma FAM kepada Teong Kim, 59, yang juga anggota skuad pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 itu untuk duduk berbincang dengannya mengenai kemajuan bola sepak negara.

Sesiapa sahaja bukan dia seorang, boleh jumpa saya dan Exco bila-bila masa di FAM. Kita hendak sama-sama naikkan bola sepak (Malaysia),” katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).


HARIMAU Malaya (jersi kuning) kecundang lebih awal dalam Piala AFF kerana persiapan terhad, tanpa pemain teras dan pasukan yang kurang harmoni, menurut Badan Siasatan Bebas. - Kredit foto: FAM 


Hamidin turut mengakui kehadiran Pan-gon, bekas ketua jurulatih Hong Kong dari 2009 hingga 2010 dan 2012 hingga 2017, tidak akan menjamin Harimau Malaya akan layak ke Piala Asia 2023 menerusi pusingan ketiga kelayakan dari 8 hingga 14 Jun 2022.

“Menerusi penilaian kami, khidmatnya antara yang dapat diperoleh daripada senarai pendek tiga calon. Kami fikir dia paling layak untuk menaikkan (ranking) pasukan kebangsaan kita pada peringkat Asia Tenggara dan Asia.

“KPI (indeks prestasi utama) buatnya, kita kena beri peluang dalam dua tahun (mengikut kontraknya sehingga Februari 2024). Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell akan tampil dengan saranannya dan dua tahun selepas itu, kami akan tengok (semula),” kata Hamidin.


KIM Pan-gon meninggalkan Hong Kong enam bulan sebelum kontraknya berakhir untuk menyandang jawatan Pengarah Teknikal pasukan Korea Selatan pada 2017. - Kredit foto HKFA


Exco FAM turut menerima peletakan jawatan Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya pada 21 Januari 2022 yang menyusuli pengunduran Cheng Hoe pada pertengahan Disember 2021.

Kedua-duanya memikul tanggungjawab kegagalan skuad negara ke separuh akhir Piala AFF 2020 (2021) setelah terkandas di tempat ketiga Kumpulan B dengan kekalahan 3-0 dan 4-1 kepada Vietnam dan Indonesia namun mengutip enam mata, mengalahkan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 dari 6 hingga 19 Disember 2021.  

Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya Dalam Piala AFF yang turut membentangkan 10 dapatan dan 10 saranan dalam mesyuarat Exco FAM dan sidang media pada 21 Januari 2022, berpendapat bahawa jawatan pengurus pasukan kebangsaan perlu digantikan dengan hanya ketua delegasi.


YUSOFF Mahadi mahu menumpukan tugas Timbalan Presiden FAM dan Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL) sebagai alasan peletakan jawatan pengurus pasukan kebangsaan. - Kredit foto: FAM


BADAN Siasatan Bebas Harimau Malaya Dalam Piala AFF yang dipengerusikan Dell Akbar Hyder Khan (kanan) menjalani empat sesi mesyuarat untuk merumuskan 10 dapatan dan 10 saranan kepada FAM. - Kredit foto: FAM


“Kalau perlu pilih kalangan pegawai kanan FAM, mungkin boleh gunakan pendekatannya sebagai ketua delegasi untuk urusan majlis rasmi sahaja yang tiada kena-mengena teknikal pasukan. Ketua jurulatih negara boleh terus merangkap pengurus pasukan,” kata Pengerusi badan itu, Dell Akbar Hyder Khan.

Beliau turut melahirkan kehairanan dengan keanggotaan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan Hamidin dengan Yusoff selaku Timbalannya selain Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM.

Kata mantan Setiausaha Agung FAM yang juga bekas bek kanan kebangsaan dan Selangor dari 1968 hingga 1973 ini, “daripada senarai yang saya peroleh, kebanyakannya tidak berlatarbelakangkan teknikal dan kejurulatihan sedangkan jawatankuasa ini amat penting dalam mencorakkan dasar.

Tanpa latar belakang yang lebih sesuai sebagai sokongan termasuk kalangan bekas pemain kebangsaan dan berkelayakan kejurulatihan, FAM tidak akan mendapat hasil yang maksimum. Keanggotaannya perlu dilihat semula dan dibuat sedikit perubahan daripada saranan Badan Siasatan Bebas ini,” katanya.


TAN Cheng Hoe enggan ditemu duga secara hadir bersemuka oleh Badan Siasatan Bebas di Wisma FAM tetapi hanya memberikan maklumat menerusi telefon. - Kredit foto: FAM

14
16
0
10
0
You will be interested