Seni & Sukan 04 Sep, 2020

Mira dah kahwin! Releven ke lagi program In Love with Mira?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Rasanya satu ‘Malaya’ dah pun maklum mengenai pernikahan pelakon, pengacara, model dan usahawan jelita tanah air, Mira Filzah bersama lelaki pilihan hatinya, Wan Emir Astar yang berlangsung malam tadi (Khamis, 3 September 2020). Jadi apakah pernikahan 'mengejutkan' itu akan menjadikan program baharu yang bakal disiarkan mulai Isnin, 7 September berjudul 'In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta' ini basi dan tidak relevan lagi? - KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan Mira Filzah:

https://kitareporters.com/search?search=Mira+FIlzah


'In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta' merupakan program terbaharu, mengisahkan perjalanan Mira Filzah dan tunangnya (sebelum bernikah) dalam mencari jawapan kepada pelbagai persoalan tentang alam rumah tangga, sebagai persiapan untuk melangkah ke fasa kehidupan yang seterusnya.

Program eksklusif berdurasi 30 minit itu akan berlangsung selama 8 episod berturut-turut melalui salura Naura, saluran gaya hidup Muslim kontemporari bermula jam 9 malam mulai 7 September 2020 di saluran 109.

Korang yang bakal melalui detik-detik ke alam perkahwinan sudah tentu tidak mahu ketinggalan menontonnya waima ‘In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta’ akan menyaksikan pasangan Mira dan Wan Emir dipertemukan dengan beberapa individu disegani  bagi mendapatkan nasihat dan bimbingan terbaik demi kelangsungan dan kebahagiaan hubungan kedua-dua mempelai itu sebelum ke jinjang pelamin.


Melalui program tersebut, Mira dan Wan Emir dilihat berdepan dengan personaliti terkenal seperti Datuk Prof Dr Muhaya, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, Ustaz Dato' Badli Shah, Imam Muda Asyraf, Ustazah Asni Mansor dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

“Kami amat teruja apabila dapat bekerjasama dengan figura serba boleh dan diminati ramai, Mira Filzah untuk menghasilkan sebuah kandungan yang cukup eksklusif ini. Audiens, terutamanya peminat Mira dapat mengenalinya dengan lebih dekat dan turut sama menyaksikan perjalanan beliau menuju ke gerbang perkahwinan,” ujar Azlin Reza Azmi selaku Naib Presiden Saluran Perniagaan Melayu Astro.


Beliau melahirkan rasa terima kasih di atas kesudian mempelai ini yang memberi sepenuh kepercayaan kepada Naura untuk merekodkan momen-momen terindah mereka, menjadikannya sebuah penceritaan yang cukup eksklusif dan tidak pernah diipaparkan di mana-mana platform media lain sebelum ini.

“Kami yakin, program ini bukan sahaja boleh mencetuskan inspirasi buat wanita Muslim moden di negara ini, malah ia juga dapat memberikan perspektif baharu untuk mana-mana individu yang sebelum ini mungkin mempunyai pelbagai persoalan tentang perkahwinan yang masih tidak lagi terjawab,” tambah Azlin.

Azlin berharap dengan penghasilan program berkenaan, audiens terutama yang bakal mendirikan rumah tangga dapat memanfaatkan segala nasihat yang diutarakan barisan tetamu jemputan, sekali gus turut bersama berkongsi kegembiraan Mira dan tunangnya (kini suaminya) meniti hari-hari bahagia mereka.


Begitulah gambaran dan perancangan yang dikemukakan oleh Astro tetapi kini Mira sudah pun bernikah, mungkinkah siaran episod pertama ‘In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta di Naura (saluran 109), Ria HD (saluran 104) dan Astro Ria (saluran 124) mulai Isnin, 7 September depan masih relevan atau ketinggalan?

Hanya anda sebagai penontonnya kelak dapat menjawabnya. 

Apapun, selain di TV,  penonton boleh menyaksikan program berkenaan  di platform media sosial melalui Instagram @naurashares atau @mysalammusim termasuk dalam youtube My Salam Muslim.


Untuk pengetahuan mereka yang masih belum tahu, Mira Filzah atau nama penuhnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 28, sudah pun bergelar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar, 30, dengan sekali lafaz di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur, kira-kira jam 8.58 malam Khamis, 3 September 2020.

Pasangan mempelai dinikahkan oleh bapa Mira, Badioezaman Ab Khalik sendiri dengan mas kahwin berupa seutas gelang.

Pihak lelaki menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas 11 daripada pihak perempuan dan menariknya antara hantaran istimewa Mira  berupa seutas jam tangan yang dihantar khas ke Hong Kong bagi proses pengukiran nota pendek Mira kepada suami tercinta.

Selain itu, lima daripada 11 hantaran daripada Mira khabarnya dibuat sendiri neneknya yang berusia 81 tahun seperti sirih junjung, tepak sirih, halwa, biskut dan kek fondant.

Wow! Masih kuat nenek Mira ya...

Apa pun,  Mira  dilaporkan bakal mengadakan dua lagi majlis resepsi di Le Meridien, Putrajaya hari ini (Jumaat, 4 September 2020)  dan di A-Park, Puchong, Ahad 6 September 2020 ini. Pasangan yang merupakan rakan sekolah tetapi terpisah lama sebelum bertemu kembali mengikat tali pertunangan pada 17 Julai 2020.


Melalui perkongsian di laman instagramnya, Mira memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan untuk menjemput tetamu lebih ramai waima beliau ingin memulakan fasa baharunya dengan hati yang bersih dan tenang.

Dan sebaik sahaja memuat naik entri majlis pernikahannya, ia mendapat maklum balas daripada sebilangan besar rakan artis antaranya seperti Nelydia Senrose, Fazura, Zahirah MacWilson, Lisa Surihani dan ramai lagi malah terdapat sejumlah 13,181 komen yang sudah tentu daripada pengikut Instagramnya yang berjumlah 6.7 juta. - KitaReporters



0
4
1
0
2
You will be interested