Kebiaasan kita dapat melihat kenderaan yang dieskot oleh pihak polis adalah mereka dari golongan ternama atau VVIP sama ada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Raja ataupun mereka yang terdiri daripada Menteri mahupun wakil delegasi dari negara luar yang mempunyai majlis rasmi di negara ini. Kali ini, pelajar-pelajar pula menerima penghormatan tersebut. : KitaReporters
Maka, ia sesuatu yang boleh dibanggakan dan dijadikan kenangan manis oleh mahasiswa kerana perjalanan pulang mereka dari universiti ke destinasi negeri masing-masing untuk balik ke rumah telah diiring oleh kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau MPV.
Macam pergerakan jemaah haji menaiki bas dari kompleks haji ke lapangan terbang pulak!!
Kredit video: FB Mamu Ali.
Seorang pengguna media sosial, Mamu Ali telah membuat naik satu video dalam akaun Facebook miliknya di mana dalam video tersebut kita dapat melihat beberapa kenderaan seperti motosikal dan kenderaan polis mengiringi bas yang membawa pelajar-pelajar ini.
Seperti kita tahu, mahasiswa ini antara golongan yang terperangkap di universiti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac 2020 dan disebabkan itu juga, pihak kerajaan telah mencari jalan terbaik bagi membenarkan mahasiswa ini pulang ke rumah masing-masing mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Antara prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan melalui nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu setiap penuntut akan menjalani ujian saringan kesihatan sebelum menaiki bas.
Selain itu, mereka juga perlu mematuhi penjarakan sosial dan setiap bas dihadkan hanya 20 pelajar, manakala mereka yang menunjukkan simptom atau gejala tidak sihat seperti batuk atau demam tidak dibenarkan pulang.
Setakat ini, hanya pergerakan pulang ke negeri-negeri yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan bagi memastikan keadaan lebih selamat selain mencegah penyebaran COVID-19. - KitaReporters