Seni & Sukan 13 Jun, 2022

Jangan ketinggalan! Teater Muzikal Moyang Salleh kisah legenda Negeri Sembilan! 26-31 Ogos 2022!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


KITA sering dengar tentang kehebatan pahlawan Mat Kilau dari Pahang dan kisah Hang Tuah bersama rakan-rakan sewaktu empayar Melaka, bila bercerita tentang sejarah tanah air. Namun jarang sekali kita diperkenalkan dengan kehebatan Moyang Salleh, pahlawan dari Negeri Sembilan pada era 1758.

Sewaktu penulis hadir majlis temu kasih produksi teater Muzikal Moyang Salleh dan majlis serahan surat pelantikan dan kontrak pementasan teater di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), 11 Jun 2022 lalu, keterujaan untuk mengetahui tentang kehebatan pahlawan tersebut amat tinggi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan seni pementasan teater

Antara barisan pelakon dan tenaga produksi yang akan menjayakan Teater Muzikal Moyang Salleh di Istana Budaya nanti bergambar kenangan dengan Datuk Maarof Mat Rashad (berdiri tengah),


Mendengar cerita selingan daripada Datuk Mendika Menteri Akhirul Zaman, Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Jelebu tentang sejarah Moyang Salleh, kisah perjuangan pahlawan itu patut dihebahkan kepada orang ramai dan dibukukan sebagai rujukan. 

Bagi yang baru mengetahui tentang kewujudan Moyang Salleh, anda boleh mengikuti kisahnya menerusi teater muzikal Moyang Salleh yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 26 hingga 31 Ogos 2022 nanti, sempena Hari Kemerdekaan.   

Memandangkan Moyang Salleh orang Negeri Sembilan, maka teater arahan Roslee Mansor, 55, amat menitikberatkan pelakon yang benar-benar mampu bertutur dialek Nismilan.

“Kami buat uji bakat dua kali untuk mencari pelakon. Watak heroin Seri Banun, kami tidak dapat melalui uji bakat yang kami buat. Kalau kami lihat artis yang ada di Malaysia ini pun kami tak dapat kerana tak ada yang boleh menyanyi dan menari. Kalau menari boleh tapi menyanyi kena lip-sync (pergerakan bibir), kita tak ambil.


Pengarah Roslee Mansor dan Maarof Mat Rashad,, Undang Luak Jelebu yang menyokong penuh pementasan teater tersebut.


“Kalau nak berlakon pula kena cakap Negeri Sembilan. Kalau yang biasa menonton TV drama yang cakap Negeri Sembilan itu tak real.  Kami nak tunjukkan the real budaya Negeri Sembilan. 

"Pelakon baharu, Melisa Kelvin yang melakonkan watak Seri Bainun, dia anak Negeri Sembilan. Biarlah tak dikenali tak apa kerana kita ada pasukan publisiti dan promosi untuk melakukan kerja.

“Macam Datuk Ahmad Tamimi Siregar sebagai Moyang Salleh, dia faham tentang konsep teater ini  kerana pernah menetap dan bersekolah di Negeri Sembilan. Jadi dia tak ada masalah bertutur dan faham budaya Negeri Sembilan, lagipun dia rapat dengan Datuk Undang Luak,” jelas Roslee tentang kriteria pemilihan pelakon untuk teater yang dinaungi Undang Luak Jelebu itu. 


Ahmad Tamimi Siregar sebagai Moyang Salleh dalam teater yang bakal dipentaskan mulai 26 Ogos hingga 31 Ogos ini.


Tambah Roslee, teater muzikal Moyang Salleh melibatkan lebih 150 orang tenaga produksi, termasuk para pelakon dan pasukan kreatif serta tenaga pengurusan. Namun untuk permulaan, hanya 30 peratus daripada jumlah tersebut diperkenalkan kepada media.

“Pada 18 Jun 2022 kita akan sempurnakan keseluruhannya. Bersama kami dalam yang kecil ini adalah sebahagian daripada pelakon yang terlibat dalam pementasan. Mereka adalah yang terbaik dan bersesuaian dengan watak yang dibawa.

Sebagai sebuah persembahan muzikal yang menggabungkan elemen muzik, tari dan lakonan, sudah tentunya para pelakon wajib mempunyai kebolehan dan menguasai dalam bidang tersebut.

“Berlakon, menari dan menyanyi, sebenarnya di mana-mana benua pun apatah lagi di Malaysia, tidak ramai orang seni yang mempunyai kebolehan tersebut. Itulah sebenarnya kesukaran kami dalam proses pemilihan para pelakon supaya bersesuaian dengan konsep persembahan berbentuk muzikal ini,” kongsinya.


Along Eyzendy sebagai Si Amat.


Ujarnya, teater yang ditulis oleh Subroto Katimin itu berlatarkan seni dan budaya masyarakat di Negeri Sembilan, maka para pelakon membawa peranan mengikut latar kurun ke-17.

Bermakna lebih daripada 75 peratus, para pelakon harus mahir berdialog dalam loghat Negeri Sembilan atau Nismilan dan  selebihnya ia berlatarkan negeri Johor.

Pelakon-pelakonlain yang terlibat ialah Khir Rahman (Sultan Abdul Jalil Muazam Shah), Aloeng Silalahi (Datuk Penghulu Rembau), Along Eyzendy (Si Amat), Azhar Jalil (Si Amat), Hairi Safwan (Datuk Bendahara). Mubarak Majid (Datuk Temenggung) dan Zuhairi Ibrahim (Tok Laut Api), Raja Mohd Hafiz (Tok Gagah Lela Perkasa), Haf Dzi Sofi (Tok Beruang Hitam) dan Zaim Zainal (Tok Bauk).


Hairi Safwan sebagai Datuk Bendahara.


“Skrip ini sudah ditulis lama oleh Subroto dan kami mengkaji semula skrip yang dah siap itu pada November 2021. Tak silap saya penulis dah siapkan skrip itu 12 tahun lalu. Dia dah bawa skrip ini banyak tempat, mohon dipentaskan tapi tak ada lagi pihak yang sanggup mementaskan, sehinggalah bertemu dengan saya.

“Selepas bertemu, saya kemukakan kepada Penerbit Eksekutif, Mohd Yunus Md Ali dan kebetulan beliau ada hubungan rapat dengan Yang Teramat Mulia Datuk Undang dan Datuk Undang bersetuju. Jadi bermulalah produksi ini.

“Subroto anak orang Negeri Sembilan, menetap di Paroi. Dia memang mengkaji tentang skrip ini dan bila bertemu, saya minta dia berjumpa dengan penasihat yang telah dicadangkan oleh Datuk Undang iaitu Dr. Firdaus yang turut menyerahkan sebuah buku kepada Subroto untuk rujukan tambahan,” jelasnya.

Kata Roslee, muzikal ini lebih kepada muzik tapi ada unsur lakonan dan tarian. Cerita berjalan seperti biasa, cuma dalam skrip itu dimasukkan elemen lagu. Setiap babak akan ada lagu-lagu dan cerita bertolak dengan elemen muzik.

"Lagu-lagu dicipta oleh Yuzaifullah Mohd. Yusof, selaku Pengarah Muzik dan ada 16 buah lagu baharu. Kebanyakan lagu berlatarkan budaya Negeri Sembilan, dinyanyikan oleh pelakon terbabit dan penyanyi latar juga.


Penulis skrip, Subroto Katimin (kiri) , Siti Salbiah Zahari )penerbit) bersama pengarah (kanan) dan pelakon teater Moyang Salleh.


“Apa yang ingin diangkat dalam naskhah ini adalah soal kepimpinan. Pada masa itu (1758) Jelebu di bawah pemerintahan Johor, sedangkan Sultan Johor semasa itu tidak sekalipun pernah datang melawat tanah jajahannya, baik Jelebu atau pun Rembau. 

“Datuk Moyang Salleh lontar rasa tak puas hati kerana tidak pernah muncul seorang Sultan melawat tanah jajahannya. Selain itu, teater ini juga berkisar tentang Sultan yang ingin memperisterikan seorang anak penghulu Rembau yang sudah bertunang. 

“Kita tahu di Negeri Sembilan, adatnya memang berpegang kuat kepada adat budaya dan janji, jadi pinangan daripada Sultan terpaksa ditolak. Dikirimkan Si Amat ini atas cadangan Datuk Moyang Salleh ke Johor sebagai utusan untuk sampaikan penolakan pinangan tersebut. 

“Atas alasan utusan tidak akan diapa-apakan tapi apa yang berlaku Si Amat dihukum bunuh oleh Sultan. Sebab itulah Moyang Salleh yang pada awalnya tidak bersetuju dengan Sultan datang ke Johor atas rasa tanggungjawab ke atas kematian Si Amat untuk mengadap Sultan tapi Sultan enggan bertemu.

“Maka empat pendekar ini menunjukkan kebolehan. Si Beruang Api menyembur api, Datuk Bauk menggesel-geselkan badannya di dinding, begegarlah istana. Moyang Salleh mencampak dastarnya dan menjadi payung. Maka riuh rendah di istana Johor dan barulah Sultan berfikir untuk menerima kehadiran mereka,” ceritanya serba ringkas perjalanan teater yang berdurasi satu jam 45 minit itu. 



Ujarnya, untuk mementaskan teater di pentas berprestij itu kos yang diperlukan lebih RM1 juta. Namun produksi bersyukur kerana Datuk Medika Akhirul Zaman, mengambil berat dan di bawah naungannya,  ada dana-dana yang masuk.

Selain itu, produksi teater Moyang Salleh juga mendapat sumbangan daripada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia) iaitu geran sepadan selain berharap kepada jualan tiket pada kadar  RM48 hingga ke RM228 yang menawarkan cenderamata dan bertemu pelakon. - KitaReporters


Menyambut kedatangan Undang Luak Jelebu ke majlis pra pelancaran teater Muzikal Moyang Salleh, baru-baru ini.

12
9
0
15
0
You will be interested