Seni & Sukan 11 Nov, 2021

Maulid Al Nur Yayasan Sofa tambah kecintaan kepada Rasulullah! Kenali Muhammad ibn Abdullah!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Muhammad Rijal (berjubah biru) bersyukur kerana dapat meraikan sambutan Maulidur Rasul 1433H dengan majlis ilmu. - Kredit foto: FB Institut Imam Ahmad Idris

KEHADIRAN bulan penuh bercahaya, Rabiu'ul Awal 1443H tahun ini memberi makna yang besar buat Muhammad Rijal Mohd Nor, 33, seorang juruteknik di sebuah kilang pemprosesan makanan di Seremban, Negeri Sembilan.

Ini kerana dia berpeluang mengikuti pelbagai majlis ilmu, hadharah serta program pembacaan kitab-kitab hadis sepanjang 12 hari terawal sambutan Maulidur Rasul atau disebut Maulid Al Nur yang dianjurkan oleh Yayasan Sofa baru-baru ini.

Walaupun sekadar majlis online melalui aplikasi Zoom pada setiap malam, namun dia dan isterinya dapat merasai aura majlis ilmu yang pastinya dinaungi para malaikat.

Pemuda berusia 33 tahun ini menyambung pautan dari telefon bimbit ke televisyen untuk mendengar dan melihat paparan kuliah yang lebih jelas. - Kredit foto: Muhammad Rijal
"Saya menyambung pautan di telefon ke televisyen bagi membolehkan kami berdua mendengar kuliah dan pengajian ilmu daripada Dato' Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin dengan selesa dan paparan gambar yang jelas.

"Alhamdulillah, banyak sangat ilmu yang diperoleh dalam setiap kuliah yang disampaikan terutama tentang betapa istimewanya makhluk teragung bernama Muhammad ibn Abdullah ini.

"Sebelum ini, kita mungkin tidak mengetahui secara khusus tentang keistimewaan Rasulullah SAW selaku nabi akhir zaman. 

Tetapi dengan mengikuti program Maulid Al Nur ini, rasa kecintaan dan kerinduan pada Baginda semakin kuat dan mendalam.

"Sebagaimana yang disebutkan Walid, hakikatnya setiap nikmat yang kita kecapi dari sekecil-kecil hingga sebesar-sebesar nikmat iman dan Islam, semuanya bersumberkan daripada Nabi Muhammad SAW. Allahu Akbar. 

"Memang setiap malam, saya pasti akan sebak apabila mendengar pelbagai kisah dalam sirah Rasulullah SAW yang jarang kita dengar dalam kuliah-kuliah umum," ujar Muhammad Rijal yang baru menyertai pengajian ilmu bersama Yayasan Sofa secara serius awal tahun ini.


Pandemik Covid-19 menyebabkan banyak kelas pengajian dilaksanakan secara dalam talian sekali gus membuka lembaran baru dalam menuntut ilmu agama.

Tambahnya, memang dia sudah lama mengenali Yayasan Sofa kerana pernah bergelar antara pelajar terawal di Maahad Taufiqi, iaitu sekolah pondok pertama yang diasaskan yayasan berkenaan.

Bagaimanapun, sebagai anak muda yang jiwa sentiasa bergolak, dia pernah tersasar dalam berdepan ujian kehidupan. 

Segala ilmu yang dipelajari satu ketika dahulu, dibuang jauh-jauh dan leka dengan arus duniawi. 

Namun, syukur kerana hidayah dari Allah kembali hadir dalam hati nuraninya sekali gus berusaha memperbaiki diri dengan menyertai tarekat dan mendalami ilmu tasawuf yang mampu menyucikan hati.

"Tipulah kalau kata saya tak sedih bila mengenangkan kesilapan lalu, tapi saya percaya kasih sayang Allah mengatasi segala-galanya. Mungkin berkat doa ibu bapa dan adik-beradik, nikmat sebegini dapat saya kecapi. Alhamdulillah," ungkap anak ke-12 daripada 14 adik-beradik ini.


Muhammad Rijal bersama isterinya, Noorazianty berharap akan terus istiqamah mendalami ilmu agama sebagai bekal di hari kemudian.
Sementara itu, isterinya, Noorazianty Mat Din, 30 mengakui gembira melihat perubahan suaminya.

"Sejak kami berkahwin kira-kira lima tahun lalu, suami memang baik cuma dia jarang mengikuti kelas agama atau majlis ilmu sebegini. 

"Sekarang saya rasa bahagia melihatnya sentiasa bersemangat dan istiqamah menuntut ilmu termasuk sanggup membeli jubah yang mahal sempena meraikan Maulidur Rasul tahun ini. 

Semoga Allah tetapkan imannya hingga ke akhir hayat kami," tutur Noorazianty yang berasal dari Kluang, Johor.

Majlis kemuncak Maulid Al Nur telah berlangsung pada malam 19 Oktober 2021 lalu di Sekolah Tinggi Islam As Sofa,  Rembau, Negeri Sembilan secara bersemuka memandangkan kebenaran merentas negeri telah dibuka oleh kerajaan.


Majlis sambutan kemuncak Maulid Al Nur diadakan secara bersemuka di Dewan Ahmad Idris yang terletak di Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Rembau, Negeri Sembilan.

Bertempat di Dewan Ahmad Idris yang tersergam indah, majlis turut disiarkan secara siaran langsung melalui aplikasi Zoom dengan tausiyah dan talqin ijazah Tarekat Ahmadiah Muhammadiah oleh Prof. Dr. Sayyid Abdul Wahhab Al Tazi Al Hasan Al Idrisi selaku ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah Sedunia.

Majlis diserikan dengan bacaan Maulid Berzanji dan persembahan qasidah yang dipimpin oleh Ustaz Md. Farid Samad Al Hafiz yang merupakan Pengarah Jabatan Pentarbiahan Institut Imam Ahmad ibn Idris bersama Ustaz Abdul Latif Mohd. Ali.  - KitaReporters

Sheikh Muhammad Fuad menyampaikan tausiyah dan turut mengijazahkan beberapa sanad khusus kepada para ahli pengajian yang hadir sempena mengambil keberkatan pada sambutan hari kelahiran teragung, Rasulullah SAW.

Para ahli pengajian turut meluangkan masa membaca Al-Quran pada majlis yang penuh keberkatan itu.

Majlis turut diserikan dengan membakar bunga api di sekitar kawasan Dewan Ahmad Idris.

36
11
1
14
1
You will be interested