Seni & Sukan 12 Sep, 2020

Nak atasi stres? Cikgu kayuh basikal sekitar bandar Melaka!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

BANYAK pihak melakukan pelbagai usaha bagi membantu guru mengatasi masalah stres dan kemurungan supaya tidak menjejaskan karier perguruan mereka dalam mendidik anak bangsa. Ketahuilah bahawa guru-gurulah yang menjadi lilin membakar diri demi anak bangsa : KitaReporters

Ahli Kelab Basikal SMKSK setiba di tepi Sungai Melaka. - Kredit photo Ahli Kelab Basikal 


Lagi cerita-cerita berkaitan guru-guru:https://kitareporters.com/search?search=guru


Sehubungan dengan itu, jika ada guru disahkan pakar perubatan menghadapi masalah kesihatan mental atau kemurungan mereka akan ditempatkan dalam jawatan kumpulan (pool) bagi memudahkan menerima rawatan sewajarnya.

Bagaimanapun, bagi guru-guru Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota (SMKSK), Melaka mempunyai cara tersendiri bagi menghilangkan rasa stres dan tekanan tugas harian sebagai guru dengan menubuhkan Kelab Basikal sejak 2020 Julai lalu.

Kelab itu yang kini disertai 20 guru dan kakitangan sokongan SMKSK akan mengadakan aktiviti kayuhan basikal empat atau lima kali seminggu bergantung kepada keadaan cuaca yang membabitkan jarak antara 15 dan 40 kilometer sama ada pada waktu siang atau malam hari.

Memeriksa keadaan basikal sebelum mengayuh ke lokasi seterusnya.


Pengetua SMKSK itu, Md Isa Mohd Jani, berkata objektif penubuhan kelab itu adalah bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah berkenaan yang seharian sibuk dengan tugas di sekolah.

Menurutnya, aktiviti riadah selepas waktu sekolah itu juga secara tidak langsung merapatkan hubungan silaturahim antara guru, kakitangan sekolah serta masyarakat setempat di lokasi kayuhan yang mereka rentasi.

Ahli Kelab Basikal SMKSK berhenti di lampu isyarat sebagai mematuhi peraturan lalu lintas.


“Paling penting aktiviti ini dapat membantu guru dan kakitangan sekolah memulihara kesihatan diri seperti  membantu menurunkan berat badan dan menenangkan fikiran bagi mengatasi masalah stres yang sinonim dengan kerjaya perguruan,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Promosi dan Marketing Kelab itu, Cikgu Zanahariah Jaafar, berkata sambutan kepada kelab itu semakin memberangsangkan apabila ada sebahagian guru dan kakitangan sekolah berkenaan membawa ahli keluarga mengikuti aktiviti kayuhan basikal itu.

Antara lokasi laluan kayuhan basikal yang direntasi Ahli Kelab Basikal SMKSK.


Menurut beliau, penyertaan dalam kelab itu juga membuka peluang menimba pengalaman baharu sukan basikal dan sesetengah ahli berkongsi pengalaman mereka yang pernah menyertai kayuhan basikal yang dianjurkan pelbagai pihak seperti kayuhan 1,000 kilometer dan Hari Kemerdekaan negara.

Katanya, kayuhan basikal itu biasanya akan bermula dari sekolah itu dan merentasi beberapa laluan yang ditetapkan, bagaimanapun ia tidak sama setiap minggu seperti Dataran Pahlawan, Klebang, Tengkera, Menara Jam Besar, Mata Kuching, Jambatan Bailey, Kampung Hulu, Eye On Melaka, Bangunan Merah dan kembali semula ke SMKSK.

Cikgu Zanahariah (depan) bersama-sama rakan guru berehat di hadapan Bangunan Merah. 


“Apabila tiba di ‘check point’ yang ditetapkan kami akan berehat seketika seperti untuk menghilangkan rasa penat dengan meminum air dan sebagainya selain memeriksa keadaan basikal supaya berada dalam keadaan baik.

“Kami sentiasa mengutamakan keselamatan semua ahli kerana laluan yang direntasi kadang-kadang bersimpang siur dan turut digunakan pelbagai kenderaan awam lain dan mematuhi peraturan lalu lintas apabila mengayuh basikal di jalan raya,” kata Cikgu Zanahariah yang mengajar subjek Sejarah di SMKSK.


Guru dan kakitangan sokongan Ahli Kelab Basikal SMKSK menjamu selera dalam perjalanan pulang ke lokasi kayuhan bermula iaitu SMKSK.

13
3
0
1
0
You will be interested