Pelakon Azhan Rani, 46, mengalami kecederaan dengan tulang belikat pecah, tulang bahu dan rusuk sebelah kiri retak akibat kemalangan motosikal di Jalan Templer, Rawang, Selangor pada tengah hari Isnin, 17 Januari 2022.
Azhan yang terkenal dengan watak Ustaz Hasmadi dalam drama bersiri ‘Nur’ yang menunggang motosikal berkuasa tinggi berlanggar dengan sebuah motorsikal. Ia menyebabkan dia mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan.
Azhan kini dirawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Azhan Rani
Berita malang ini dinyatakan oleh rakan baik Azhan, pelakon Beto Kusyairy yang memuatkan berita itu dan foto Azhan di hospital dalam Instagramnya.
Menurut Beto, Azhan pada mulanya dikejar ke Hospital Selayang dan kemudian dipindah ke sebuah hospital swasta dan diberi ubat tahan sakit dos tinggi.
Tambah Beto, hasil ujian imbasan X- ray, Azhan mengalami beberapa kecederaan pada anggota badan seperti tulang belikat pecah, tulang bahu dan rusuk retak. Kesemua kecederaan yang dialami adalah pada bahagian kiri badan.
Beto masih tidak dapat bertemu dengan Azhan kerana dia dikuarantin dalam bilik dan hanya dapat bercakap melalui telefon.
"Kepada semua sahabat, kenalan dan wartawan yang cuba menghubunginya secara peribadi, Azhan mohon maaf kerana tak dapat nak jawab segala panggilan dan mesej untuk sementara waktu ini. Namun dia tetap menghargai segala perasaan ambil berat ke atas dirinya," kata Beto.
Azhan dan Beto mempunyai hobi menunggang motosikal dan sering melakukan tunggangan bersama atau bersama kumpulan motosikal kuasa tinggi yang lain. - KitaReporters