Seni & Sukan 06 Jan, 2022

Video| Keluarga Malaysia: Nilai kemanusiaan Aznil! Wujudkan kedai percuma untuk mangsa banjir!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Aznil Nawawi bersama sebahagian barang di Kedai Percuma PaK Nil. - Kredit foto: IG aznilhajinawawihm


Personaliti terkenal Datuk Aznil Nawawi, 59, lebih dikenali sebagai Pak Nil tidak tenang hati apabila banjir besar melanda hampir di seluruh negara. Baginya, orang tidak terjejas patut memberi bantuan kepada mereka yang terjejas mengikut kemampuan masing-masing.

Melihat penderitaan penduduk di Bukit Canggang, Banting, Selangor ketika melakukan misi kemanusiaan pascabanjir di kawasan itu baru-baru ini mendorong Aznil menubuhkan ‘Kedai Percuma Pak Nil’ mulai 30 Disember 2021.

‘Kedai Percuma Pak Nil’ menyediakan keperluan asas untuk pengguna meliputi bahan makanan dan keperluan harian lain.

Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Aznil Nawawi

Telur antara barangan keperluan untuk mangsa banjir di Kedai Percuma Pak Nil.



"Kedai Percuma Pak Nil’ ini akan berjalan selagi menerima sumbangan orang ramai, badan amal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat tertentu," tegasnya.

Pada peringkat permulaan, kewangan disedia oleh Aznil sendiri dan sejumlah anggota kelab peminatnya serta dua syarikat pengeluar barangan jenama Eskayvie dan Nakada.



Aznil yang merupakan pengacara, penyanyi dan pelakon ini terdorong menubuhkan kedai percuma itu setelah terkesan melihat mangsa banjir yang diletak di pusat perpindahan sementara (PPS) dengan sudah kehilangan harta benda.

Pada peringkat awal, Aznil tergerak melakukan kerja amal di Bukit Canggang, Banting setelah menerima ‘direct message’ (DM) daripada seorang peminatnya.

Kawasan itu teruk terjejas, namun kurang diberi perhatian oleh pihak NGO untuk menghulurkan bantuan. Ia mendorong Aznil mengumpul sejumlah sukarelawan bagi kerja pembersihan dan memasak 1,000 bungkus makanan yang dilaku secara rewang (gotong royong)  untuk penduduk di kawasan itu serta memberi sedikit sumber kewangan mangsa.  

Tidak cukup dengan kerja amal itu, Aznil merasakan perlu melakukan sesuatu yang lebih untuk penduduk setempat. Lalu terfikir untuk membuat kedai percuma setelah mendapat tempat sesuai dijadikan kedai percuma itu.


/

Penyediaan makanan secara rewang untuk manga banjir


Dengan bantuan sejumlah penduduk setempat akhir ‘Kedai Percuma Pak Nil’ menjadi kenyataan mulai 30 Disember 2021 lalu.

Penduduk kampung mengucap terima kasih kepada Aznil sudi mewujudkan ‘Kedai Percuma Pak Nil’ untuk faedah penduduk setempat yang terkesan dengan bencana banjir.

Aznil berharap orang ramai memberi sumbangan. Sumbangan barangan boleh dihantar terus ke kedai percumanya di Bukit Canggang kerana ada sukarelawan yang menguruskannya di sana. Bagi yang hendak memberi sumbangan berbentuk wang, boleh memasukkannya ke akaun Aznil Nawawi Maybank 564735801178.



Aznil akan mencatat nama pemberi sumbangan dan jumlah derma dalam Instagramnya sebagai bukti penerimaan.

Aznil menegaskan ia dilaku secara jujur. Dia tidak akan mengambil sebarang duit sumbangan dan akan diguna untuk pembelian barang-barang di ‘Kedai Percuma Pak Nil.

Bagi orang ramai yang ingin memberi sumbangan untuk mangsa banjir dan tidak tahu cara yang berkesan, boleh cuba menyalurkan bantuan kepada ‘kedai Percuma Pak Nil’ agar kedai percuma itu dapat bertahan lama. - KitaReporters


14
10
0
11
0
You will be interested