Seni & Sukan 03 Apr, 2022

Video| Alif Satar menangis dapat menyanyi bersama Raihan! Hasilkan EP khas! Idolanya masa kecil!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


Kata orang, tiada yang lama, tiadalah yang baharu. 

Tutur kata itu tepat diperkatakan bagi penyanyi, pelakon dan pengacara prolifik, Alif Satar, 31bersama kumpulannya, The Locos, apabila berpeluang bekerjasama dengan kumpulan nasyid idola mereka sejak kecil lagi, Raihan dalam sebuah EP khas berjudul ‘The Sunnah The Better’, barangkali diinspirasi daripada perkataan bahasa Inggeris 'The Soonest The Better'? 

“Sesungguhnya ia merupakan penghormatan besar buat kami, pemuzik pelapis, dapat bekerjasama dengan senior-senior dalam industri muzik Malaysia seperti Raihan. 

"Kami semua peminat Raihan sedari kecil lagi, kebanyakan lagu mereka kami sudah hafal by heart. Kami juga pernah bekerjasama sebelum ini, jadi chemistry yang ada memudahkan lagi proses rakaman,” ujar Alif Satar pada majlis pelancaran ‘The Sunnah The Better’ di Restoran Hydramawt Kitchen Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Alif Satar


Berkongsi saat beliau menitiskan air mata sebak kerana tidak menyangka dapat merakamkan lagu bersama-sama kumpulan nasyid bertaraf antarabangsa itu. 

Alif menyambung kata, “Lagu-lagu Raihan amat menyentuh perasaan dan penuh kesedaran, bukan saya seorang sahaja yang terasa sebaknya, bahkan anggota The Locos juga turut menitiskan air mata malah perasaaan kebersamaan atau ukhuwah itu jelas terasa.”

Akui Alif, mereka semua membesar mendengar lagu-lagu Raihan yang penuh dengan pengajaran dan peringatan sebagai umat Islam, dan melalui kolaborasi ini, mereka ingin menghidupkan semula semangat tersebut dan mengembalikan nostalgia lagu-lagu berunsur spiritual sekaligus memperkenalkan Raihan kepada generasi muda sekarang,

Pada 2019 lalu, Alif pernah merakamkan ‘#Sesungguhnya2019’ dan ‘Damba CintaMu’ yang mendapat sambutan luar jangkaan daripada penggemar muzik. 

Kini, Alif Satar & The Locos sekali lagi mengorak langkah dengan mengeluarkan EP yang memuatkan 5 hits terbaik Raihan dalam bentuk audio dalam laman YouTube bermula 1 April 2022 seperti ‘Bismillah’, ‘25 Rasul’, ‘Puji-Pujian x Syukur (Medley)’, ‘Assolatuwassalam’ dan ‘Rayuan Rindu’, manakala video muziknya (MV) pula dilancarkan secara berperingkat-peringkat sepanjang bulan Ramadan. 



“Tujuan utama kami menghasilkan EP ini adalah untuk menghibur dan membawakan mesej-mesej berguna dengan jujur dan ikhlas. 

"Semoga ramai dapat menerimanya dengan hati yang terbuka dan sama-sama meriahkan bulan Ramadan yang mulia ini dengan mendidik anak- anak melalui konsep edutainment malah kami juga ingin mengajak mereka yang bukan beragama Islam untuk turut mendengar dan secara tidak langsung dapat belajar tentang agama Islam,” jelas Alif sambil memberitahu perancangan ke arah kolaborasi mengambil masa perbincangan berbulan-bulan sebelum keputusan diambil untuk memulakan sesi rakaman yang hanya memakan masa selama 2 hari sahaja.

“Apa yang menariknya, setiap lagu yang dihasilkan hanya ‘sekali jalan’, maksudnya tiada pengubahsuaian mahupun rakaman semula ibarat nyanyian secara langsung yang bertempat di Drum Asia, Kota Damansara,” cerita Alif puas.

Sambung beliau lagi, banyak yang dipelajari daripada Raihan malah agak gementar juga ketika mula-mula hendak bekerjasama.


Alif dan kumpulan The Locos bersama Raihan.


“Iyalah mereka sudah bertaraf antarabangsa. Namun begitu, mereka tetap merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu selain menerima cadangan-cadangan kami,”  tambah Alif.

Menurutnya, ada beberapa kelainan yang ditonjolkan melalui EP ini yang mana jika sebelum ini kebanyakan lagu-lagu Raihan dibawakan secara acapella tetapi pada kali ini mereka memasukkan bunyi-bunyian dari alatan muzik, manakala Che Am dan Alif bertindak selaku ketua vokal. 

“Tidak banyak yang diubah kerana komposisi terdahulu sudah cukup sempurna agar mood yang dibawakan tidak lari dari bunyi yang asli. Selain itu, ahli The Locos juga turut menyumbangkan suara mereka selaku penyanyi latar,”  jelas Alif.



Selain EP terbitan Warner Music Malaysia, kesemua video muzik The Sunnah The Better arahan saudara Zaidan Zainuddin dari Shutterspeak Studio menampilkan konsep yang ringkas namun menarik dengan jalan cerita yang mudah difahami setiap lapisan umur termasuk kanak-kanak kerana tujuan utamanya adalah memberi nasihat melalui lagu yang disampaikan. 

Kesemua video muzik  EP ini boleh ditonton berperingkat-peringkat secara eksklusif dalam saluran YouTube Alif Satar seperti berikut; 

  • 3 April 2022: Bismillah; 
  • 7 April 2022: 25 Rasul; 
  • 13 April 2022: Pujian-pujian + Syukur (Medley); 
  • 19 April 2022: Assolatuwassalam dan 
  • 24 April 2022: Rayuan Rindu. 

Kelima-lima video muzik ini akan dilancarkan pada jam 5.00 pagi iaitu pada waktu sahur bagi umat Islam pada bulan Ramadan. - KitaReporters


11
11
0
12
0
You will be interested