Seni & Sukan 25 Jun, 2021

Pukulan arowana! Lapar terasa kenyang! Mengantuk segar semula! Badan letih kembali bertenaga!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


Terperuk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti sepanjang sekatan pergerakan penuh atau SPP (total lockdown)  yang bermula 1 Jun, 2021 hingga 28 Jun, 2021, membuatkan ramai orang stress.

Betapa tidak, kalau dulu, bosan-bosan duduk di rumah, kaum wanita khususnya di bandar boleh melakukan aktiviti ‘window shopping’ di pusat beli belah, sementara mak cik-mak cik di kampung pula boleh berkumpul untuk bersembang atau ‘membawang’.

Bagi kaum lelaki, mereka boleh melepak di warung kopi atau restoran mamak sambil bermain dam serta borak-borak dengan kawan-kawan berkenaan isu-isu semasa termasuk isu politik.

Pasangan yang ada anak-anak kecil boleh membawa anak bermain di taman permainan atau beriadah serta bersantai di taman rekreasi. Dan Anak-anak muda pula boleh ‘hang out’ di ‘port’ kegemaran mereka.

Tapi, segala-galanya kini tersekat. Walaupun kita tidak dikenakan perintah berkurung namun bila semua tempat ditutup, ke mana lagi dapat kita pergi selain berulang-alik dari bilik ke ruang tamu kemudian ke dapur, begitulah rutinnya kebanyakan orang sejak SPP dikuatkuasakan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ikan


Awie menukar air setiap tiga hari bagi memastikan akuarium sentiasa dalam keadaan bersih agar arowana selesa dan tidak ditimpa penyakit. - Kredit foto: Farriz Izzuan.


Namun, bagi yang bijak memanfaatkan situasi itu, SPP tidak memberi kesan yang besar kepada mereka. Sebaliknya mereka mengubah suai kehidupan bersesuaian dengan norma baharu yang perlu kita lalui sejak dilanda pandemik Covid-19. 

Farriz Izzuan, 38, atau lebih dikenali sebagai Awie,  dalam kalangan rakan-rakannya, kini lebih seronok berkurung di rumah sambil melayan ‘kerenah’ beberapa ekor ikan arowana yang menghiasai akuarium rumahnya di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.

Hobi yang mula dipupuk sejak 2016 lalu itu kini bukan sahaja memberi kepuasan malah menjadi terapi yang mampu menghilangkan tekanan sepanjang menghadapi Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Tak dinafikan, Covid-19 ini sudah mengubah kehidupan kita secara keseluruhannya, tidak terkecuali saya,” kata Awie. 

“Kalau diikutkan tekanan memang terasa kesannya terutama kepada orang macam saya yang berniaga kecil-kecilan.

“Sebagai peniaga burger di tepi jalan, pendapatan saya memang terjejas sejak Covid melanda tapi apa boleh buat, keadaan tidak dapat dielak, bukan saya seorang terkesan malah ramai lagi.

“Memang, kalau tidak kuat iman, kita boleh tertekan apabila berdepan situasi sebegini. Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang mana pergerakan kita amat terhad dan lebih banyak berkurung di rumah.


Melihat arowana membesar di depan mata serta dapat bermain-main dengannya memberi ketenangan kepada Awie terutama ketika menghadapi sekatan pergerakan penuh (SPP) sekarang. - Kredit foto: Farriz Izzuan.


“Tapi, saya bersyukur, dalam keadaan sekarang, Allah menghantar ikan-ikan arowana ini sebagai teman untuk menghiburkan saya, sekali gus menghilangkan tekanan serta memberi ketenangan. 

“Saya tak sangka, benda yang bermula dengan suka-suka kemudian bertukar menjadi hobi, kini menjadi penenang jiwa saya, malah turut memberi pendapatan sampingan bila ada penggemar arowana yang berminat membelinya,” ujar Awie.

Menurut Awie, dia mula jatuh cinta terhadap arowana sejak 2016, namun ketika itu tidak serius, hanya secara suka-suka. Tapi, sejak 2019, minatnya makin mendalam terutama selepas mula mahir selok belok menjaga ikan itu.

Sebagai pendatang baharu dalam komuniti pencinta ikan arowana ketika itu, Awie bermula dengan kategori gred paling rendah iaitu Arowana Silver yang dibelinya dengan harga RM50.

Apabila semakin mahir, dia meningkatkan ‘kelasnya’ kepada gred pertengahan seperti Arowana Highback Golden sambil terus menimba ilmu penjagaan dengan rakan-rakan yang lebih awal menceburi hobi berkenaan.

Selepas ilmu dituntut sudah ‘dikhatam’, barulah Awie memberanikan diri beralih ke gred lebih tinggi iaitu Malaysian Golden dan Super Red Arowana.

“Sebenarnya, ilmu sangat penting jika kita mahu membela arowana, kalau tidak kita akan mengalami kerugian jika ikan yang kita bela mati. Paling asas, kita perlu tahu bacaan asid (ph) untuk air dan bacaan suhu selain penyakit yang mudah dialami arowana seperti kembung perut dan jangkitan kulat.


Super Red, antara yang dikelaskan sebagai arowana kelas tinggi yang mana harganya mencecah ribuan ringgit. - Kredit foto: Farriz Izzuan.


“Sebab itu, bagi yang baru mahu berjinak-jinak, kita menggalakkan mereka bermula dengan arowana gred paling rendah, modalnya murah, kalau mati pun kita tak ralat sangat. 

“Bayangkan jika kita terus bermula dengan arowana paling mahal yang kita beli dengan harga beribu-ribu (ringgit), tiba-tiba ia mati kerana kita belum mahir mengendalikannya, sudah tentu kita tepuk dahi, menyesal tak habis,” katanya.

Awie berkata, walaupun membela arowana tidaklah terlalu cerewet namun jika pembelanya langsung tidak mempunyai ilmu, ikan yang dibela boleh mati.

“Arowana spesis ikan yang mudah dijaga, cuma perlu jaga rutin penukaran air sekurang-kurangnya setiap tiga hari sekali serta menjaga kualiti air. Daripada segi pemakanan, arowana jenis karnivor yang makan benda hidup seperti cengkerik, lipas, anak ikan dan lain-lain.

“Kos penjagaannya tak tinggi sangat, cuma sekitar RM100 sebulan. Selain pemakanan, kita perlu berbelanja untuk vitamin dan ubat-ubatan.

“Cuma, kos agak tinggi untuk penggunaan eletrik semasa ‘grooming’ kerana proses ini menggunakan lampu khas khusus untuk mengilatkan sisiknya, kita panggil ‘tanning’ yang memakan masa selama 12-24 jam sehari selama berbulan-bulan malah ada antaranya makan masa bertahun-tahun,” katanya.


Produk penjagaan berupa vitamin, ubat-ubatan, pencegah bakteria dan lain-lain diperlukan untuk memastikan arowana hidup sihat. - Kredit foto: Farriz Izzuan.


Menurut Awie, berbeza dengan kalangan penghobi lain yang lebih gemar membeli arowana yang sudah dewasa untuk dibela dan dijadikan hiasan akuarium di rumah, dia pula lebih berasa puas apabila membela ikan itu dari kecil.

“Melihat ikan itu membesar di depan mata membuat saya sangat teruja. Ia ibarat melihat anak kita yang baru lahir membesar, merangkak, berjalan sehingga berlari.

“Proses tumbesarannya sangat cepat iaitu antara enam hingga tujuh bulan untuk menjadi dewasa. Selalunya, daripada saiz lima atau enam inci, ia boleh membesar sehingga ke saiz 12-13 inci.

“Kepuasan lebih terasa apabila kita dapat menikmati kecantikan ikan itu yang terhasil daripada ‘grooming’ kita sendiri berbanding kita beli ikan yang sudah besar. Namun ia terpulang atas diri masing-masing,” ujar Awie.

Setakat ini, menurut Awie, dia memiliki lima ekor arowana yang terdiri daripada spesis Highback Golden, Malaysian Golden, Malaysian Golden Crossback, Tongyan dan Super Red.


Malaysian Golden antara spesis arowana terbaik serta diminati ramai kerana kecantikan sisiknya. 

Kredit foto: Farriz Izzuan.


Melabelnya dirinya sebagai penghobi bukan penjual, Awie yang merupakan pengasas laman Facebook  ‘Peminat Penghobi Arowana Malaysia’ yang kini mempunyai lebih 1,300 orang ahli, menganggap  ia sebagai rezeki jika ada yang berminat membeli ikan miliknya.

“Saya tidak serius mempromosi untuk jualan kerana niat saya lebih sebagai hobi. Tapi, jika ada yang berminat, saya akan pertimbangkan kalau harga ditawarkan berpatutan. Ia secara tidak langsung menjadi pendapatan sampingan saya.

“Harga bergantung pada gred dan saiz. Untuk anak ikan, harganya antara RM200 hingga RM300 sementara untuk dewasa antara RM800 hingga RM5000,” jelasnya.

Menggambarkan kepuasan dinikmati sepanjang membela arowana, Awie menjelaskan: “Masa saya, terutama bila SPP, banyak saya habiskan dengan melayan ‘anak-anak’ saya ini.

“Menjadi rutin saya, bangun pagi, wajib untuk saya melihat mereka, memastikan mereka sihat. Begitu juga bila balik daripada berniaga, saya akan ‘bermain-main’ dengan mereka dan sebelum tidur, saya jenguk mereka dulu sebelum masuk ke bilik.

“Saya boleh habiskan masa berjam-jam di depan akuarium. Melihat mereka berenang, memberikan ketenangan dan kepuasan. Pendek kata, kalau tengah lapar, tengok mereka hilang lapar, mata mengantuk, segar semula, jika letih kembali bertenaga. Begitulah penangannya,” kata bapa kepada lima orang cahaya mata ini. – KitaReporters



Jika ada yang berminat membeli, Awie (kanan)a tidak keberatan menjualnya pada harga berpatutan. - Kredit foto: Farriz Izzuan

21
2
0
0
0
You will be interested