Seni & Sukan 28 Aug, 2021

Rasuah: Apa motif Taufik dedah sekarang? Jangan tutup mata! BAM kena siasat demi maruah negara!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Taufik mendakwa dia cuba disogok oleh pegawai Malaysia supaya tewas kepada Chong Wei pada perlawanan separuh akhir Sukan Asia 2006, Doha. - Kredit foto: Media sosial.


PENDEDAHAN bekas bintang badminton Indonesia, Taufik Hidayat bahawa dia cuba dirasuah oleh seorang pegawai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, tidak boleh dipekakkan telinga atau ditutup mata, sebaliknya perlu disiasat demi imej persatuan dan badminton negara.

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata walaupun kejadian didakwa itu sudah lama berlaku namun tidak bermakna ia boleh ‘disapu di bawah karpet’ apatah lagi apabila membabitkan nama baik BAM.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan badminton

Dr Zulakbal Abd Karim, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).


“Saya tidak bersetuju jika ada orang berpendapat kes ini sudah terlalu lama untuk diungkit atau dibangkitkan, apatah lagi dengan alasan mereka yang dikaitkan sudah tidak aktif. 

"Bagi saya, ini soal maruah kita, maruah BAM, maruah badminton Malaysia dan maruah negara kerana individu yang didakwa cuba menyogok adalah pegawai badminton kita.

“BAM kena siasat sejauh mana pendedahanTaufik itu benar kerana ia dakwaan yang serius serta boleh mencemarkan imej BAM. Jika benar, mereka perlu ambil tindakan ke atas pegawai itu walaupun individu berkenaan mungkin sudah tidak aktif. 

"Tapi, kalau dakwaan Taufik tidak benar, BAM perlu pula ambil tindakan ke atas pemain itu kerana memfitnah dan memburukkan nama BAM.

“Kalau kita hanya membiarkan saja kes ini berlalu, orang boleh membuat andaian ia benar sekali gus menghilangkan kepercayaan peminat pada intergriti pemain serta pegawai badminton kita, apatah lagi sebelum ini sudah ada kes rasuah membabitkan pemain Malaysia,” kata Zulakbal.


Taufik memenangi emas Sukan Asia 2006 selepas mengalahkan Lin Dan 21-15, 22-20 pada perlawanan akhir. - Kredit foto: Media sosial.


Taufik, 40, yang pernah menyandang status pemain nombor satu dunia, menggegarkan dunia badminton apabila mendedahkan pernah cuba disogok oleh pegawai badminton Malaysia agar tewas kepada Datuk Lee Chong Wei pada perlawanan separuh akhir Sukan Asia 2006.

Taufik mendakwa dia ditawarkan suapan sebanyak 400 juta rupiah (RM117,000) iaitu dua kali ganda daripada hadiah yang ditawarkan oleh negaranya kira-kira RM60,000. Tapi dakwanya, dia menolak tawaran itu dan akhirnya menewaskan Chong Wei 21-16 dan 21-18. 

Pada perlawanan akhir pula, Taufik berjaya meraih emas apabila menewaskan Lin Dan 21-15, 22-20.


Chong Wei dan Taufik (kanan). - Kredit foto: The Star


Mengenai tujuan Taufik mendedahkan perkara itu sekarang, yang menimbulkan persoalan kepada peminat badminton, Zulakbal berkata, agak sukar untuk kita meneka niat sebenar bekas pemain itu namun menganggap ia tetap relevan serta diambil secara positif.

“Ya, ada orang bertanya apa tujuannya? Mengapa baru sekarang dia mendedahkannya, mengapa tidak dahulu? Jawapanya, hanya Taufik yang tahu. Tapi, jika benar berlaku, walaupun sudah lama dan hanya didedahkan sekarang, namun ia tetap relevan kerana boleh dijadikan panduan kepada pemain lain.

“Mungkin niat Taufik hanya mahu berkongsi pengalamannya sebagai pemain sambil mendidik generasi muda betapa penting intergriti sebagai pemain dengan menjauhi gejala rasuah sebagaimana dia lakukan.

“Pengakuan Taufik itu juga membuktikan, bukan bola sepak sahaja terdedah kepada gejala rasuah sebaliknya sukan seperti badminton juga tidak terlepas. Malah, ia mencetuskan kesangsian kita terhadap beberapa keputusan luar dugaan yang pernah kita saksikan,” katanya.


Chong Wei, Taufik dan  Peter Gade Christensen berganding dalam satu perlawanan pertunjukan. - Kredit foto: Media sosial.


Sementara itu, Chong Wei ketika ditanya media mengenai pendedahan Taufik itu mengakui mengenali individu yang didakwa cuba menyogok pemain Indonesia itu, namun tidak mahu mendedahkan siapakah pegawai berkenaan demi menjaga maruahnya.

“Saya tahu individu itu tetapi perkara ini sudah berlaku sejak sekian lama. Saya percaya kita harus pandang ke depan. Saya tidak mahu menyebut nama atau memalukan sesiapa saja,” kata Chong Wei.

Dipetik daripada laporan New Strait Times, Chong Wei berkata dia menghubungi Taufik sebaik sahaja dakwaan berkenaan tersebar untuk mendapatkan kepastian daripada rakan baiknya itu.

“Sejujurnya, saya tidak tahu mengenai perkara ini. Saya terkejut ketika orang mula menghubungi saya. Taufik adalah kawan baik saya, jadi saya segera menghubungi dia dan dia memberitahu apa yang telah berlaku,” ujar Chong Wei.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mengakui dia juga pernah didekati oleh bookie untuk mengatur perlawanan tetapi menegaskan tidak pernah terbabit dengan semua aktiviti itu.

"Saya akui saya juga pernah didekati satu ketika dulu untuk sengaja tewas dalam perlawanan. Ketika itu saya masih muda. Tapi, membawa nama negara adalah keutamaan saya. Sebab itulah saya menjauhkan diri daripada aktiviti seperti itu," kata Chong Wei yang mengumumkan persaraan pada 2019. 


Kredit foto: Instagram Taufik  Hidayat


Pada 2018, dua pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang masing-masing dikenakan hukuman penggantungan selama 20 dan 15 tahun oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana mengatur perlawanan. - KitaReporters

0
1
0
0
0
You will be interested