Seni & Sukan 25 May, 2020

3 servis, 3 blocking! Reunion Legenda Libas Sukan Asia 1990!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

GAMBARKAN begini: Tiga servis berturut-turut dan tiga blocking lawan di hadapan jaring yang merentang dan membahagikan gelanggang seluas 81.74 meter persegi. Jika lepas kesemuanya, pasti Majlis Makan Malam Reunion Legenda Emas Sepak Takraw Sukan Asia 1990 membawa makna besar dan menjadi kenangan terindah atau 'penyudah tepat' pada 3 Oktober 2020 ini. : KitaReporters

NOOR Rani Adnan, tekong regu ketiga yang memastikan emas Sukan Asia Beijing 1990 buat Malaysia. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan


‘Servis dan blocking’ pertama ialah berkaitan kutipan dana untuk membiayainya, yang kedua - sejauh mana penularan semasa pandemik Covid-19 di negara dan ketiga, perkembangan semasa dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Skuad 12 pemain negara mencatat kejayaan bersejarah pada temasya edisi ke-11 itu dengan membawa pulang dua pingat emas dari Gimnasium Fengtai, Beijing, China pada 28 September dan 3 Oktober 1990 itu.

SKUAD Sukan Asia 1990 mengadakan reunion pertama mereka pada 2 Julai 2011 di Rumah Kelab Sukan Makswip, Kuala Lumpur. 


Anak-anak buah Haris Abdul Rahman dan Mohd. Yunus Ibrahim itu menumpaskan musuh tradisi, Thailand 2-1 dan 2-0 dalam perebutan emas acara regu berpasukan dan antara regu – pencapaian yang sudah berusia 30 tahun tetapi belum dapat diulangi sehingga hari ini.

Selama enam jam 10 minit mereka bermandi keringat dan berbanting kudrat dalam perlawanan terakhir liga regu berpasukan Sukan Asia itu sebelum Jalur Gemilang mampu dinaikkan dan lagu Negaraku didendangkan di gimnasium berkenaan.

Sebagai ikhtiar awal, mug (cawan) cenderamata yang memaparkan nama dan wajah para pemain skuad ini, dibuka untuk jualan kepada orang ramai sejak beberapa hari lalu dalam mencari dana majlis reunion yang dicadangkan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu.

Kepada sesiapa yang berminat untuk membeli mug berharga RM16 sebiji itu sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas jasa mereka kepada sukan negara, boleh berhubung dengan jurucakapnya, Rosli Ab. Rahman melalui talian 013-3021008.

VIDEO mug cenderamata Legenda Emas Sepak Takraw Sukan Asia Beijing 1990.


Bagaimana jika dananya ditambah dengan jualan koleksi memorabilia milik pemain dan jurulatihnya seperti jersi, seluar, sut trek, kasut, pengalas kepala (bandana), bola sepak takraw atau peralatan silam lain yang pernah digunakan ketika Sukan Asia 1990?

“Boleh difikirkan,” kata Rosli atau dikenali sebagai Adik, apit kiri dan pengumpan regu kedua skuad ini yang bergandingan dengan tekong, Ahmad Jais Baharun dan apit kanan juga perejam serta kapten pasukan, Shaari Hashim.

“Satu idea yang baik. Juga boleh dipanjangkan kepada rakan sepasukan,” tambah apit kiri, Abd. Malek Samsudin – pemenang emas berganda dengan Nordin Sabarudin dan Rehan Mohamad Din yang menundukkan Thailand 15-10, 15-11 bagi acara antara regu.

LAPORAN Utusan Malaysia menyiarkan gambar Abd. Malek Samsudin (kanan) bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah pada majlis penyampaian pingat sepak takraw Sukan Asia Beijing 1990. 


Sepak takraw, sukan warisan Melayu yang ‘diantarabangsakan’ sejak Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 ini turut mempunyai sekian banyak pengumpul (collectors atau curators) barangan antik atau memorabilia sukan di seluruh negara yang pasti mengidamkannya.

Tentu lebih menarik dan ditunggu-tunggu peminat sepak takraw jika reunionnya turut diselitkan perlawanan persahabatan legenda Sukan Asia 1990 Malaysia-Thailand mirip bola sepak Piala Sultan Selangor (Selangor-Singapura)?

“Sebuah universiti di utara dulu pernah melangsungkan perlawanan persahabatan antara legenda Malaysia dan Thailand ini (disertai tekong Sukan Asia Thailand itu, Pakdee Dangwattanapaibul).

“(Tetapi) kalaulah hendak jemput mereka, kita perlukan kedudukan kewangan yang kukuh (berkaitan penajaan makan, minum dan penginapan serta pengangkutan mahupun penerbangan),” kata Malek.

Juga beraksi dalam Sukan Asia 1990 ialah Raziman Hassan, Engku Abd. Halim Ku Musa, Noor Rani Adnan, Mohd. Noor Abdullah, Baharum Jahar dan Suhaimi Yusof sementara pengurus pasukannya, Shaharuddin Mohd. Jani.

Selain Pakdee, 'Si Gajah Putih' dibarisi Narong Chaikeawnopparat, Ittipol Komchaisak, Kriengkrai Mutalai, Khamnuan Sonnanont, Chucheep Kongmeechun, Surat Na Chiengmai, Wirach Ponmoung dan Visut Boonsuya. - KitaReporters

LEGENDA emas '90, dari kiri, Nordin Sabarudin, Engku Abd. Halim Ku Musa, Rehan Mohamad Din, Ahmad Jais Baharun, Baharum Jahar dan Rosli Ab. Rahman. 

10
1
0
0
2
You will be interested