Gerd Muller meraikan kejayaan Jerman menjulang Piala Dunia pada 1974.
DUNIA bola
sepak, khususnya di Jerman terutama kelab Bayern Munich berduka serta menangisi
kehilangan legenda mereka, Gerd Muller, 75, yang meninggal dunia pada Ahad,
15 Ogos, 2021 selepas enam tahun
menderita penyakit Alzheimer.
Muller yang dikenali dengan jolokan Der Bomber kerana kehebatannya menjaringkan gol akan dikenang sebagai penyerang terbilang pernah dilahirkan oleh kelab Bayern dan pasukan kebangsaan Jerman dengan mencipta pelbagai rekod sepanjang kariernya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Kredit foto: CelebSaga.com
Selama 15 tahun (1964-1979) menyarung jersi Bayern, beliau menjaringkan 552 gol dalam 607 perlawanan, muncul sebagai penjaring terbanyak Bundesliga sebanyak 11 kali serta mencipta rekod menjaringkan 40 gol semusim pada liga musim 1971-1972.
Rekod itu hanya mampu dipecahkan pada musim 2020-2021 apabila Robert Lewandowski meledak 41 gol bersama Bayern.
Sejak menyertai Bayern pada 1964, Muller memenangi empat gelaran Bundesliga, empat Piala Jerman, tiga Piala Eropah, satu Cup Winners’ Cup dan Piala Intercontinental, pertandingan yang mempertemukan antara pemenang Piala Eropah dengan pemenang benua Amerika Selatan, Copa Libertadores.
Muller menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Jerman kalahkan Belanda 2-1 pada final Piala Dunia 1974.
Muller juga akan dikenang sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia 1970 dengan 10 gol. Dua tahun selepas itu beliau membantu Jerman menjuarai Piala Eropah, menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir untuk mengalahkan Russia 3-0.
Kemuncak kepada kecemerlangannya adalah ketika membantu Jerman menjulang Piala Dunia pada 1974 dengan menjaringkan gol kemenangan, menewaskan Belanda 2-1.
Secara keseluruhan, Der Bomber yang menyarung jersi pasukan Jerman pada 1966 hingga 1974, menjaringkan sebanyak 68 gol dalam 62 penampilannya bersama pasukan negara, satu rekod yang hanya mampu dipadamkan oleh Miroslav Klose pada 2014 apabila menjaringkan gol ke-69 dalam perlawanan persahabatan menentang Armenia.
Begitu pun, Muller tetap dianggap lebih baik daripada Klose yang memerlukan 123 perlawanan untuk menghasilkan 69 gol sedangkan Der Bomber meledak 68 gol dalam 62 perlawanan sahaja.
Banyak lagi rekod lain dicipta oleh Muller, antaranya, beliau merupakan pemain Jerman pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik Eropah pada 1970.
Muller menjulang Piala Eropah sebanyak tiga kali bersama Bayern Munich
Namun, di sebalik gah namanya yang sering menjadi sanjungan, tidak ramai yang tahu kisah sedih dilalui Muller selepas bersara pada 1983 terutama pada penghujung usianya.
Muller yang mengecap pelbagai detik gemilang bersama Bayern, menghadapi kemurungan selepas mengantung but secara total pada 1983. Pada masa sama, beliau mula menjadi peminum arak tegar serta dibelenggu masalah kewangan.
Namun, Muller diselamatkan oleh bekas rakan-rakan sepasukan seperti Karl-Heinz Rummeningge, Uli Hoeness dan Franz Beckenbauer yang berjaya memujuknya agar menjalani pemulihan daripada ketagihan arak.
Dan apabila beliau berjaya mengatasi masalah itu, Bayern memberinya tempat sebagai jurulatih untuk pasukan bawah 23 tahun pada 1991.
Muller menganggap keupayaan untuk pulih daripada ketagihan arak dalam tempoh sebulan rawatan adalah satu kejayaan besar dalam hidupnya.
“Selepas empat minggu, saya sudah pulih. Berjaya melakukannya dalam tempoh yang singkat adalah satu pencapaian,” kata Muller.
Thomas Muller antara pemain yang pernah mendapat bimbingan Gerd Muller.
Gerd hanya tidur sepanjang hari. Saya sangat gembira bila dia membuka mata beberapa ketika
Namun, sejak enam tahun lalu, Muller diserang pula penyakit Alzheimer yang membataskan ingatan, pertuturan dan pergerakannya. Sejak itu, dia ditempatkan di sebuah pusat rawatan sambil ditemani isterinya, Uschi Muller, wanita yang dikahwininya pada 1967.
Mendedahkan keadaan Muller sempena sambutan ulang tahun kelahiran legenda itu yang ke-75, 3 November (2020) lalu, Uschi berkata suaminya hanya mampu terbaring 24 jam di atas katil dan sesekali membuka mata.
“Dia sukar menelan makanan, jarang membuka mulut dan terpaksa diberi makanan yang dikisar.
“Gerd hanya tidur sepanjang hari. Saya sangat gembira bila sesekali dia membuka mata beberapa ketika. Kadang-kadang dia boleh memberi isyarat ‘ya’ atau ‘tidak’ dengan mengedipkan matanya. Dia nampak tenang dan damai,” kata Uschi.
Sepanjang dirawat di pusat rawatan di Wolfratshausen, Uschi tidak pernah mengabaikannya. Namun, sejak dunia dilanda virus korona, beliau tidak dibenarkan menemani atau mengunjungi Muller selama tiga bulan.
Uschi sentiasa menemani Muller di pusat rawatan apabila suaminya mengalami penyakit Alzheimer sejak 2015.
Tapi apabila keadaan Muller kian tenat serta tidak diberi harapan untuk hidup lebih lama, pihak pusat itu membenarkan Uschi menziarahnya sambil orang kedua seperti anak tunggal mereka, Nicole dan rakan baiknya, Paul Breitner hanya dibenarkan melawat selama 20 minit sahaja pada setiap kali lawatan.
Dan, Ahad, 15 Ogos, 2021, legenda bernama Gerhard Gerd Muller menghembuskan nafas terakhir, menoktahkan sebuah perjalanan yang penuh gemilang namun disulami duka pada penghujung hayatnya!
Kemuncak karier Muller apabila menjulang Piala Dunia 1974 bersama Jerman.
Sepintas lalu, Muller dilahirkan pada 3 November 1945 di Nordlingen, Jerman.
Kerjaya bola sepaknya bermula apabila beliau menyertai kelab Nordingen pada usia 13 tahun. Beliau mewakili pasukan itu selama enam tahun dan menjaringkan 180 gol.
Pada 1963, beliau memulakan kerjaya sebagai pemain profesional bersama kelab 1861 Nordlingen dan menjaringkan 51 gol dalam 31 penampilan sehingga menarik perhatian Bayern Munich untuk membelinya pada 1964.
Ketika itu, Bayern bermain dalam divisyen
dua tapi selepas semusim kemasukan Muller, mereka berjaya layak ke liga utama,
Bundesliga dan mula mencipta kejayaan demi kejayaan seiring dengan kehebatan pemain
itu.
Muller mengakhiri kariernya di Amerika Syarikat dengan mewakili kelab Fort Lauderdale Strikers selama tiga musim pada 1979 hingga 1982 sebelum menggantung but. - KitaReporters
Kredit foto: The Famous People