Seni & Sukan 02 Jun, 2020

Jangan marah Fizi! Pintu syurga tak tertutup kalau tiada ibu

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this

SEBUT sahaja Upin Ipin ‘wajib’ semua kenal tidak kira yang kecil mahupun yang veteran. Malah kewujudan Upin Ipin bukan sahaja hiburan semata-mata tapi mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia. Namun baru-baru ini tular dalam media sosial apabila watak Fizi dalam animasi terkenal berkenaan dilihat celupar sehingga mencetuskan kontrovesi dalam kalangan penonton dewasa. : KitaReporters

KATA-KATA Fizi membuatkan Upin Ipin tersentuh hati berikutan mereka sudah tiada kedua-dua ibu bapa. - Kredit foto: Odisi.


Fizi yang merupakan sahabat kepada Upin Ipin menuturkan ungkapan "Kalau tak ada ibu, tak adalah syurga."

Kisah berkenaan menjadi bualan hangat bukan hanya di Malaysia, tapi juga di Indonesia yang mempertikai dialog dalam siri kartun terbitan Les’ Copaque Production.

Ekoran daripada teguran netizen dari Malaysia dan Indonesia, Les’ Copaque baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan permohonan maaf atas kontroversi dialog tersebut menerusi Instagram Upin Ipin.

Menurut produksi,Fizi adalah seorang yang jujur dan tidak tahu apa yang dikatakan sehingga boleh menyinggung perasaan orang lain.


Bagaimanapun, ‘kisah’ berkenaan mendapat reaksi berbeza daripada penceramah bebas Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman

Dia menyifatkan tindakan Fizi itu adalah realiti sebenar seorang kanak-kanak yang menutur berdasarkan pandangannya tersendiri.

Berkongsi pandangan menerusi Instagram miliknya, Cik Man berkata, dia tidak bersetuju apabila ramai yang menyalahkan watak Fizi berkenaan, namun menyifatkan kanak-kanak itu individu yang berterus-terang.


CIK MAN pula menyifatkan ungkapan Fizi adalah pandangan luhur daripada seorang anak kecil. 


“Korang jangan salahkan Fizi. Cik Man tak setuju korang salahkan dia. Dia budak kecik. Fikir ikut logik. Kita yang dewasa ni perbetulkan keadaan. 

“Kanak-kanak belum baligh. Tiada beban dosa. Bercakap apa yang mereka faham. Watak Fizi memaparkan itulah realiti kanak-kanak. Kita juga pernah jadi kanak-kanak,” kongsinya.

Tambah penceramah bebas itu orang ramai perlu lebih terbuka dan perlu melihat watak Fizi dari sudut positif.

“Pertama, untuk pemasaran Upin Ipin itu sendiri. Kedua, dan ini lebih penting, bagaimana sewajarnya ibu bapa mendidik dengan neraca ilmu yang betul.

KARTUN animasi Upin Ipin  bukan sahaja memiliki peminat di malaysia tetapi juga di Indonesia. 


“Ini kerana Fizi (sikap dan cara fikir) sangat ramai dalam dunia kanak-kanak. Lebih sadis yang tua bangka pun ada yang fikir macam Fizi,” jelasnya.

Beliau dalam masa, turut memberi kata-kata semangat kepada mereka yang telah kematian ibu.

Katanya, walaupun seseorang itu sudah tidak mempunyai ibu tapi tidak perlu bersedih kerana jalan ke syurga tetap ada. 

“Wahai anak yang tiada mak, jangan sedih ya. 

"Walaupun mak kita dah meninggal, jalan ke syurga tetap ada. Iaitu doa anak yang soleh. Apa guna kalau mak ada tapi jadi anak derhaka,” katanya lagi.

Tegasnya, dalam dunia ini ramai yang masih ada ibu tetapi tidak menghargai kelebihan yang dimiliki, malah sanggup melebihkan kekasih daripada ibu dan sanggup menghantar ke rumah orang tua.

Biarpun kata-kata daripada PU Azman dilihat begitu santai, namun maksud yang tersirat di sebaliknya amat menusuk jiwa.

Terima Kasih Cik Man dengan nasihat yang diberi!

Semoga pandangan tersebut memberi manfat kepada kita semua. - KitaReporters

6
0
2
1
0
You will be interested