Seni & Sukan 17 Sep, 2021

Sharul Nazeem ‘klon’ Aidil Zafuan! Tapi belum layak sarung jersi Harimau Malaya - Shahrom Kalam

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Sharul Nazeem Zulpakar bintang muda Selangor yang paling menonjol musim Liga Super 2021 ini. - Kredit foto: MFL


Liga Super 2021 yang melabuhkan tirainya pada Ahad, 12 September, 2021 lalu menyaksikan kelahiran beberapa pemain muda, membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat-bakat baharu walaupun bintang-bintang import dilihat lebih mendominasi saingan.

Kehadiran pemain seperti Arif Aiman Hanapi, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman (Johor Darul Ta’zim), Danial Asri, Sharul Nazeem Zulpakar, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Hakimi Abdullah (Terengganu), Quentin Cheng (Pulau Pinang) dan ramai lagi adalah petanda baik kepada bola sepak negara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Liga Super


Kredit foto: Cakap Sukan


Antara yang mendapat perhatian adalah pemain pertahanan tengah Selangor FC, Sharul Nazeem, 21, yang beroleh kepercayaan jurulatih dari Jerman, Karsten Neitzel untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan itu musim ini.

Kelincahan serta kekentalan Sharul Nazeem mengawal benteng The Red Giants memikat peminat serta pemerhati bola sepak sehingga mereka mencadangkan agar jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyenaraikan pemain muda itu dalam skuad Harimau Malaya.


Cheng Hoe dijangka akan menyerapkan beberapa muka baharu dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF dan puisngan ketiga kelayakan Piala Asia 2023. - Kredit foto: FAM


Skuad negara akan mengadakan latihan pusat pada 4-12 Oktober, 2021 sebagai persiapan menghadapi saingan Piala AFF pada Disember 2021 dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari, 2022 dengan jangkaan beberapa pemain muda bakal diserap ke dalam skuad kali ini termasuk Sharul Nazeem.

Turut terpikat dengan persembahan Sharul Nazeem adalah bekas kapten Selangor, Sharom Kalam yang melihat pemain berambut afro itu memiliki kualiti untuk menjadi benteng terbaik pasukan negara pada masa akan datang.

“Neitzel mengambil langkah berani meletakkan Nazeem dalam kesebelasan utama Selangor. Bukan mudah untuk pemain muda seperti Nazeem untuk mendapat kepercayaan sebegitu dan dia membalasnya dengan permainan yang meyakinkan.


Aidil Zafuan, pemain pertahanan dan kapten Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM


“Melihat gaya permainan Nazeem mengingatkan saya kepada Aidil Zafuan (Abd Radzak) semasa zaman remajanya. Mereka memiliki corak yang sama iaitu agresif dan semangat yang tinggi. Tidak keterlaluan jika saya katakan Nazeem adalah klon Aidil.

“Malah, saya melihat Nazeem adalah calon pengganti Aidil untuk skuad kebangsaan jika dia mampu mengekalkan kualiti permainannya. Dia mempunyai masa depan yang cerah,” kata Shahrom.

Walau bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan yang kini berjinak-jinak sebagai pengulas bola sepak itu menganggap adalah terlalu awal untuk terus menonjolkan Sharul Nazeem dalam skuad Harimau Malaya.

“Dia memang mempunyai prospek untuk menjadi pemain pertahanan terbaik skuad kebangsaan malah saya yakin masanya akan tiba untuk dia menyarung jersi Harimau Malaya namun buat masa sekarang dia belum layak untuk diberi tanggungjawab besar itu.


Sharul Nazeem (tengah) mempunyai potensi untuk menjadi pemain pertahanan terbaik negara.


“Masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki Nazeem sebelum dia dipilih ke skuad kebangsaan. Antaranya positioning (pemosisian) serta compose (ketenangan) mengawal keadaan terutama semasa dalam tekanan.

“Kita dapat lihat kelemahan Nazeem dalam aspek ini, contohnya apabila dia mudah diperdaya oleh pemain lebih berpengalaman seperti Amri Yahyah ketika Selangor menentang Sabah.

“Pada saya, Nazeem perlu beberapa tahun lagi untuk menjadi pemain yang lebih matang dan mantap. Saya bimbang, jika kita terlalu terburu-buru menonjolkan dirinya ke dalam skuad kebangsaan, dia akhirnya gagal untuk memikul tanggungjawab itu kerana belum bersedia.

“Adalah lebih baik kita mendedahkan dirinya secara berperingkat. Selain memberi peluang kepadanya menimba lebih banyak pengalaman dalam liga, Nazeem boleh didedahkan terlebih dahulu dengan skuad remaja kebangsaan seperti skuad Bawah 23 Tahun,” kata Shahrom.


Shahrom Kalam, bekas kapten Selangor. - Kredit foto: Harian Metro


Begitu pun Shahrom berkata, Nazeem mungkin boleh dipertimbangkan oleh Cheng Hoe untuk diserap sebagai pelatih skuad Harimau Malaya bagi memberi pendedahan awal kepada pemain itu.

“Pemain-pemain muda seperti Nazeem mungkin boleh diserap untuk menimba pengalaman daripada pemain senior dalam latihan tapi untuk meletakkan dia dalam skuad utama adalah satu perjudian yang perlu dielakkan,” kata Shahrom yang mengetuai skuad Selangor menjulang Piala Malaysia ke-33 pada 2015.

Untuk rekod, Sharul Nazeem memulakan karier bola sepaknya pada usia 17 tahun dengan bermain pada Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) sebelum mewakili Marcerra FC untuk Liga Kuala Lumpur dan kelab NPNG dalam Liga Selangor.

Dia kemudian terpilih menyertai skuad Belia Selangor dan pasukan Selangor 2 yang merupakan kelab sokongan (feeder club) kepada skuad utama The Red Giant.

Peluang untuknya menonjolkan kemampuan sebenar hadir apabila Neitzel menaruh kepercayaan ke atasnya mengisi tempat pemain import, Tim Heubach yang mengalami kecederaan. Dan Sharul Nazeem terus mendapat kepercayaan jurulatih dari Jerman itu sehingga ke penghujung musim. – KitaReporters


 

 

 

 

 

19
12
0
10
0
You will be interested