Seni & Sukan 12 Jun, 2024

24 ke 25? Saiz kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris! Tunggu 30 Jun 2024! Siapa pembawa Jalur Gemilang?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

HANNAH Yeoh (depan, tengah), Mohamad Norza Zakaria (kiri) dan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian MSN dan persatuan sukan kebangsaan di MSN, Bukit Jalil pada 11 Jun 2024. - Kredit foto: MSN 


SEHINGGA 30 Jun 2024, barulah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dapat memastikan saiz kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 ini, kata Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Setakat ini saiz yang dijangkakan ialah sekitar 24 atau 25 atlet apatah lagi peluang dua pemain golf untuk layak ke temasya ke-33 itu seakan samar berikutan ditimpa kecederaan.

“Setakat ini kami jangkakan saiz kontinjennya dalam 24/25 (atlet). Kami menunggu ke penghujung bulan ini sama ada penambahan mereka atau tidak.

“Yang (pemain) golf (Gavin Kyle Green dan Ashley Lau) kena berada dalam (ranking) 60 teratas dunia. Ada yang tercedera dan MOM akan melihat perkembangan semasanya dengan Persatuan (Golf Malaysia – MGA),” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan di MSN, Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.


SETIAUSAHA Agung BAM, Datuk Kenny Goh (kanan) menerima salinan Memorandum Perjanjian MSN-persatuan sukan kebangsaan daripada Abdul Rashid (kiri) sambil disaksikan oleh Mohamad Norza (dua dari kiri) dan Hannah Yeoh.  - Kredit foto: MSN


Norza walau bagaimanapun menganggap perlunya majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara dinilai semula yang kadangkala kurang memberikan impak kepada prestasi mereka.

“Majlis ini lebih kepada simbolik sahaja… tidak mahu disebabkannya, semua atlet kena tunggu. Kita tiada kontinjen besar (bukannya seperti) Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Kami juga belum ada calon pembawa Jalur Gemilang (Olimpik Paris). Biarkan Ketua Kontinjen (Datuk Hamidin Amin) selesaikannya,” katanya yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Mereka yang telah layak ke Olimpik 2024 dan bakal dipertimbang sebagai calonnya ialah Ariana Nur Dania Zairi (memanah), Lee Zii Jia, Aaron Chia/Soh Wooi Yik, Goh Jin Wei, Pearly Tan/M. Thinaah dan Chen Tang Jie/Toh Ee Wei (badminton).

Artlet-atlet lain termasuk Nur Aisyah Zubir, Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Asri (berbasikal), Bertrand Rhodict Lises (akuatik terjun) dan Khairulnizam Afendy serta Nur Shazrin Latif (pelayaran).

Sasaran sebenar Malaysia di Paris, bagaimana? 

“Saya belum bincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Kami tidak mahu atlet kita dalam keadaan tertekan.

“Kebanyakan atlet negara, impiannya ialah ke Olimpik (kerana) sudah mengusahakannya (selama) empat tahun. Ini perjalanan akhir mereka dan kami perlu menyokong mereka sekuat-kuatnya,” kata Norza. - KitaReporters


SHAH Firdaus Sahrom (kiri), Hamidin Amin, Azuzlhasni Awang dan Nurul Izzah Izzati Asri bergambar ketika pertemuan Ketua Kontinjen itu di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan dengan skuad berbasikal negara ke Olimpik. - Kredit foto: MSN 


20
8
0
12
0
You will be interested