Seni & Sukan 19 Jul, 2022

Video| Nak membawang? Saksi teater Dara & Makcik Bawang! Panggung Sari, Melaka! 22-24 Julai 2022!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


UNTUK mencapai matlamat mewujudkan Kelab Seni Budaya dan Kebajikan bagi membantu wanita di kampung, Makcik Aminah akan ‘mengegarkan’ Panggung Sari, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka bagi mendapatkan ‘sokongan’ selama tiga hari mulai 22 Julai 2022 ini.

Bagi mereka yang menetap berhampiran Melaka Bandaraya Warisan Dunia seperti Seremban, Putrajaya, Sepang dan Kuala Lumpur tidak seharusnya melepaskan peluang untuk hadir bagi melihat gelagat Makcik Aminah nanti yang pasti terhibur.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Fauziah Ahmad Daud


Semua itu dapat disaksikan dalam pementasan teater bertajuk Dara & Makcik Bawang yang mengisahkan Makcik Aminah yang merupakan pengusaha produk industri kampung berasaskan bawang bersama bantuan rakan-rakan wanitanya

Pelbagai insiden berlaku apabila usahawan wanita itu bersama rakan-rakannya ingin mewujudkan Kelab Seni Budaya dan Kebajikan bagi membantu wanita di kampung pula.

Pementasan teater selama tiga itu dibarisi artis-artis wanita popular tanah air seperti Ogy Datuk Ahmad Daud, Datuk Ziela Jalil, Liza Abdullah, Mak Wan Latah, Dr Rosminah Tahir, Deera Amin, Pavy Raj, Joyce Alau dan Anis Eixora.


Barisan pelakon giat menjalani latihan bagi menjamin pementasan terbaik teater Dara & Makcik Bawang.



Pengarah projek teater berkenaan, Zanahariah Jaafar, berkata Dara & Makcik Bawang adalah produksi teater CTRA Production serta Gagasan Anak Seni yang membabitkan penulis, wartawan dan pengeluar teater terkenal iaitu Siti Rohayah Atan.

Menurutnya, skrip dan arahan teater berkenaan oleh Dr Rosminah yang mendapat kerjasama dari MOTAC, JKKN dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Paling menarik produksi teater itu menggunakan hampir 60 peratus tenaga kerja wanita yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun Melaka Bandaraya Warisan Dunia.

“Teater ini menggunakan sembilan pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Sarawak manakala watak utama Aminah dibawakan oleh Ogy yang pasti menarik untuk ditontoni semua lapisan masyarakat,” katanya.


Pengarah Projek Teater Dara & Makcik Bawang, Zanahariah Jaafar (dua dari kiri) bersama pengarah, penerbit serta barisan pelakon teater berkenaan selepas sidang media pada 14 Julai 2022.


Zanahariah berkata, tarikh pementasan sudah ditetapkan pada 22, 23 dan 24 Julai 2022 iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad di Panggung Sari, Kompleks JKKN Melaka dengan menawarkan tiket berharga RM20, RM50 dan RM200 untuk VIP Gold yang boleh dari pihak produksi menerusi talian +6011 1010 5236 seberapa segera sebelum kehabisan.

Menurutnya, dalam tempoh tiga hari itu pementasan teater berkenaan akan membabitkan empat persembahan bagi memberi peluang orang ramai datang menonton di samping memeriahkan sambutan sempena ulang tahun Melaka Bandaraya Warisan Dunia.

“Saya yakin pementasan teater ini akan mendapat sambutan daripada orang ramai khusus peminat teater termasuk mereka yang menetap luar dari Melaka berikutan sudah lama tiada persembahan sedemikian dilakukan selepas negara dilanda pandemik Covid-19. 

“Panggung Sari mampu menampung 499 penonton untuk satu masa dan pasti gamat apabila dapat melihat pelakon popular beraksi di atas pentas dengan babak cerita yang sangat menarik serta menghiburkan,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat serta membuat tempahan tiket teater berkenaan boleh menghubungi Cikgu Zana menerusi nombor telefon 011-1010 5236. - KitaReporters

Penggerak utama bagi menjayakan pementasan teater Dara & Makcik Bawang merakam kenangan di Panggung Sari, Kompleks JKKN Melaka.

19
8
0
9
0
You will be interested